09 Mac 2012

PKFZ: Liong Sik diarah bela diri

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik membela diri atas tuduhan menipu kerajaan berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang satu dekad yang lalu.

Pada 29 Julai 2010, Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan agar memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek Mega Distribution Hub yang kini dikenali PKFZ.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Presiden MCA itu di akhir kes pendakwaan.

Liong Sik, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Liong Sik, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Beliau dibicarakan selama tiga bulan bermula 1 Ogos tahun lepas.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah telah memanggil seramai 25 orang saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.

Sinar Harian

Tiada ulasan: