09 Mac 2012

Maut jatuh dari balkoni jiran

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Cuba mengelak diri daripada polis dengan memanjat balkoni rumah jiran mengundang padah kepada seorang warga Afrika apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di sini, petang semalam.

Difahamkan, sepasukan anggota polis menyerbu satu unit rumah Kondominium Vista Milinium di Puchong Perdana di sini, kira-kira jam 2.30 petang selepas menerima maklumat berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, selepas pintu jeriji dipecahkan, terdengar bunyi bising dan kelihatan beberapa orang berebut-rebut keluar ke balkoni dan bilik tidur pangsapuri itu.

Menurutnya, secara tiba-tiba salah seorang daripada lelaki berkenaan dikatakan memanjat balkoni dan cuba melompat ke rumah bersebelahan untuk melarikan diri.

“Tanpa memikirkan tindakannya boleh membawa maut, lelaki terbabit cuba turun dari tembok batu ke tingkat bawah dengan berpaut pada sebatang saluran paip plastik.

“Tidak tahan beban berat badan lelaki itu, saluran plastik berkenaan pecah menyebabkan dia terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lapan warga Afrika termasuk seorang wanita di dalam pangsapuri berkenaan.

“Masing-masing tiga dari Liberia, dua dari Guinea, dua dari Nigeria dan seorang dari Ghana. Enam daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja manakala dua lagi positif dadah jenis heroin dalam ujian saringan air kencing dijalankan.

“Turut ditemui seberat 1.47 gram ganja,” katanya lelaki yang ditemui maut dikenali sebagai Eddy berusia lingkungan 20-an dari Liberia.

Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: