12 Mac 2012

Mesin pengundian elektronik timbulkan keraguan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG wanita mengundi menggunakan sebuah mesin pengundian di Sandy Springs, Georgia AS. Keyakinan orang ramai terhadap mesin itu semakin terhakis kerana ia boleh digodam dengan mudah.

WASHINGTON - Masalah-masalah yang dialami oleh mesin pengundian elektronik menimbulkan persoalan baharu berkaitan teknologi pilihan raya ketika sistem komputer itu bakal digunakan pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada November depan.

Sebanyak 25 peratus rakyat AS dijangka menggunakan mesin-mesin pengundian tersebut. Namun, keyakinan terhadapnya dilihat semakin terhakis, jelas Yayasan Pengundian yang Disahkan (VVF).

Yayasan itu yang mahukan sistem pilihan raya lebih bagus menyatakan mesin pengundian di 11 buah negeri adalah elektronik sepenuhnya. Ia juga tidak mempunyai sistem kertas bagi tujuan kiraan semula.

Tahun lalu, pihak Microsoft Research menerbitkan satu laporan yang menjelaskan tentang pelbagai kelemahan sistem Rakaman Elektronik Lanngsung (Direct Recording Electronic, DRE) yang membolehkan penggodam mengubah bilangan undi dalam jumlah besar tanpa boleh dikesan.

Aspek keselamatan dan teknologi pilihan raya telah menjadi isu di AS sejak pilihan raya presiden pada tahun 2000 yang dicemar oleh 'undi hantu' di negeri Florida yang membuatkan keputusan bercelaru.

"Masih terdapat beberapa buah negeri yang tidak memiliki sistem kiraan semula yang meyakinkan. Sekiranya berdepan masalah, mereka tidak mampu menanganinya," kata Pamela Smith daripada VVF.

Pada September tahun lalu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Roger Johnston daripada Argonne Lab membuktikan bahawa undian di sebuah mesin pengundian dapat diubah. Dengan hanya menggunakan satu peranti berharga AS$25 (RM75) ia mampu memanipulasi skrin sentuh mesin pengundian dan boleh dikawal dari jarak jauh. - AFP

Pendidik punya jawapan kepada masalah negara

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Saya menyambut baik hasrat YAB TPM dalam usaha jelajah seluruh negara untuk mengumpul pandangan yang bernas dalam menaik taraf pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada pembangunan negara. Kementerian sepatutnya membawa halatuju pendidikan kita ke arah yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pendidikan yang murah daripada pra-sekolah sehingga menara gading adalah ciri utama sebuah sistem pendidikan yang merakyat. Kementerian perlu adil dalam pengagihan bantuan kepada sekolah-sekolah samada di bandar atau luar bandar. Bukan sekadar membantu sekolah yang sudah cemerlang tetapi juga berpandangan positif kepada sekolah yang punya rekod buruk. Guru yang mengajar di sekolah juga perlu dianggap sebagai individu yang sangat penting di sekolah, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Taraf guru sepatutnya diangkat tinggi dan menjadi inspirasi kepada semua penggerak masyarakat. Kebajikan guru sepatutnya menjadi keutamaan, bukan mengejar bilangan A yang belum tentu menjamin kecemerlangan yang berkekalan. Guru yang tidak stabil emosinya akan memberi natijah yang buruk kepada perkembangan anak murid.

Selain itu, institusi pendidikan sepatutnya dipimpin oleh individu yang dihormati oleh semua guru. Jawatan guru, pengetua malah naib canselor adalah ketua kepada semua pendidik, bukan CEO kepada sesebuah syarikat. Untuk menjadi ketua pendidik, seseorang mesti sudah membuktikan kepakarannya dalam bidang kependidikan. Sukar untuk pelajar menghormati pengetua sekiranya pengetua itu sendiri tidak dihormati para guru. Urusan birokrasi pula sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan bukan akademik, bukan dibebankan kepada para pendidik. Akibat buruk daripada gejala ini akan menyebabkan pendidik melupakan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak murid menjadi manusia.

Silibus pelajaran kita juga sepatutnya dirombak supaya pelajar yang keluar daripada institusi pendidikan akan menjadi manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar pekerja kepada industri. Fenomena pengindustrian pendidikan hanya memberi industri lebih kata putus dalam membentuk halatuju sesebuah institusi dan menyebabkan pandangan pendidik tidak diambil kira. Pendidik yang telah berkhidmat berpuluh tahun tentulah lebih arif tentang bidang masing-masing. Malah krisis kewangan yang dihadapi dunia hari ini membuktikan bahawa industri itu sendiri telah tersilap percaturan. Mengapa perlu mendengar kata mereka? Mungkinkah para pendidik kita punya penyelesaian yang lebih tuntas?

Sebagai penutup, kementerian perlu mendengar luahan hati daripada para pendidik. Malah tidak perlu jelajah seluruh negara. Yang penting hala tuju kementerian jelas dan menghormati status pendidik sebagai obor penerang bangsa.

Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Perkasa takut dengan kekuatan Nik Aziz

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Permintaan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menggesa supaya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz mengundur diri daripada menjadi Menteri Besar Kelantan adalah tidak masuk akal.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, kenyataan itu menunjukkan Perkasa mahupun Barisan Nasional (BN) takut dengan kekuatan yang ada pada Nik Aziz.

Katanya, Nik Aziz mempunyai kekuatan yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa, malah rakyat di Kelantan sendiri mahukan beliau terus mentadbir di negeri itu.

“Pihak lain tidak perlu masuk campur dan menyuruh beliau (Nik Aziz) undur daripada menjadi Menteri Besar Kelantan, sedangkan itu adalah keputusan rakyat.

“Rakyat yang memilih dan memberi hak kepadanya mentadbir, orang lain tidak perlu bersusah payah memikir menjatuhkannya,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin Ibrahim membuat kenyataan itu kerana bimbang kedudukannya dan takut dengan kelebihan yang dimiliki Nik Aziz bagi memastikan Pas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Sepanjang Nik Aziz memerintah di Kelantan, banyak kemajuan dan pembangunan di lakukan.

“Malah banyak material pembangunan, hotel besar, pasar raya besar mula membangun di negeri tersebut.

“Kita perlu hormati keputusan rakyat, kerana rakyatlah yang akan menentukan masa depan negeri mereka sendiri, bukannya Ibrahim, mahu pun pihak lain,” katanya.

sinar harian/-

Kes pelik bekas IGP, AG dan ketua kongsi gelap

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Maklumat baru kini diperolehi bagi memperjelaskan kes luar biasa yang didakwa membabitkan bekas polis paling berkuasa di negara ini, seorang peguam negara dan juga tokoh kongsi gelap lima tahun lalu.

Dokumen yang mendedahkan bagaimana maklumat yang dibekalkan oleh beberapa pemberi maklumat sehingga tertangkapnya ‘ketua’ kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau juga dikenali sebagai Tengku Goh pada 2007 kini dimiliki oleh Malaysiakini.

NONEDokumen yang sama itu digunakan bagi memalitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes itu.

Pemberi maklumat itu kemudiannya membuat kenyataan bersumpah bahawa mereka dipksa menukar maklumat asal oleh pasukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Sebaliknya, enam pegawai polis dijadikan mangsa dan didakwa memalsukan bukti terhadap Tengku Goh yang didakwa terbabit dalam perjudian dan pengubahan wang haram. Mereka bagaimanapun akhirnya dibebaskan, yang terakhir adalah pada pertengahan 2011.

Mimpi ngeri pegawai polis selama empat tahun itu bermula apabila mereka atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Johari Baharum, mula menyiasat Tengku Goh (Untuk peranannya dalam skandal ini, Johari sendiri pernah dituduh mengamalkan rasuah dan juga disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.)

johari baharumJohari (kanan) kemudian mengarahakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff, yang sebelum ini adalah Ketua Polis Pahang untuk menjalankan siasatan dan bertindak.

Ramli kemudian mengumpulkan lebih kurang enam pegawainya untuk menyiasat dan semasa menjalankan tugas, mereka mendapati ketua mereka, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Johor yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 2006 juga ada kaitan dan terbabit dengan kes berkenaaan.

Siasatan JSJK mendapati bahawa meskipun Musa ketika berkhidmat di Johor - telah menututp pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, beliau pada masa yang sama membantu "menyusunkan semula" beberapa sindiket berkenaan yang beroperasi di bawah “sistem payung" dikawal oleh Tengku Goh.

Berbekalkan maklumat daripada pemberi maklumat, JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan dan diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad.

Bagaimanapun kes semakin pelik.

ghani patail gani 060409Peguam Negara Tan Sri Tan Sri Abdul Gani Patail (kiri) campur tangan dan beliau didakwa menggunakan BPR untuk mengakses fail sulit (digelar "Cicero") dalam kes itu.

Adalah difahamkan bahawa tiada sesiapa, termasuk Ketua Polis Negara mahupun Peguam Negara dibenarkan untuk mempunyai akses kepada fail 'Cicero' apabila seorang pegawai telah diamanahkan mengendalikan kes berkenaan.

Tindakan menggunakan BPR untuk campur tangan dalam kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati di JSJK kerana ini adalah campur tangan terang-terangan dalam kerja-kerja polis.

Namun, JSJK tetap diarahkan supaya menyerahkan fail sulit berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara, dan hasilnya kertas Cicero berada di tangan BPR.

Berdasarkan maklumat dari fail sulit itu, BPR memburu pemberi maklumat yang maklumatnya digunakan sehingga tertangkapnya Tengku Goh.

BPR kemudiannya menggunakan ugutan, taktik menakut-nakutkan dan menuoal-siasat pemberi maklumat itu berhari-hari sehingga mereka menukar kenyataan sebelum ini.

malaysiakini/-

Letupan Gereja Di Nigeria, Empat Terbunuh

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NIGERIA: Sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan, pada Ahad diletupkan di luar gereja Katolik di bandar bergolak di tengah Nigeria, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan yang lain, kata seorang jurucakap yayasan.

Letupan itu berlaku pada pagi Ahad di luar Gereja Katolik St Sinba di bandar Jos. Empat orang terbunuh kata Mark Lipdo, penganjur untuk sebuah pertubuhan Kristian di Jos yang dikenali sebagai Yayasan Stefanos.

Pengebom itu dilihat memberhentikan kereta sebelum memasuki perkarangan gereja, kata seorang pegawai penyelamat.

Tidak dapat dipastikan sama ada gereja mempunyai aktiviti pada masa serangan itu. Pegawai penyelamat rasmi bercakap tanpa mahu dikenali kerana beliau tidak dibenarkan untuk mengumumkan angka mangsa kepada wartawan.

mstar/-

Adakah wanita penentu generasi hari esok?

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Galuran susur sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA)

Wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk negara ini yang kini telahpun mencecah lebih kurang 28 juta orang. Demikian pula, wanita juga merupakan separuh daripada populasi dan penghuni bumi. Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun itu sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa tanggal 8 Mac 2012 baru-baru ini merupakan sambutan HWA untuk kali yang ke 101 tahun. Sekaligus membawa maksud usaha pemberdayaan wanita dari kacamata Barat (termasuk wilayah pengaruh jajahannya) telah dilipatkaligandakan secara terancang lebih kurang satu abad yang lalu, sekalipun kelihatannya agak terkemudian berbanding pengiktirafan ke atas wanita yang telah diberikan Islam, iaitu lebih kurang 1400 tahun yang silam.

Kali pertama HWA ini disambut ialah pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland. Terdahulu, ideanya bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dengan dijayakan bersama-sama dengan kaum lelaki.

Di peringkat negara kita sendiri, HWA telah disambut kali pertamanya pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, negara pada 8 Mac 1975 telah melancarkan Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun. Malangnya, tarikh ini adalah hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu Umno yang sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.

Nah, ini antara cabaran kita dalam menyatukan kepelbagaian wanita itu agar upaya duduk semeja bagi membincangkan perihal paling butuh dan paling perlu demi kelangsungan Generasi Hari Esok, yang nantinya bisa belajar bagaimana untuk terus memacu kebangkitan dan kemajuan meski dalam wadah yang cukup berbeda! Iyya, perbedaan itu sesungguhnya tidak wajar merencat apa jua usaha ke arah yang lebih baik, apatah lagi jika kita meletakkan kepentingan kelangsungan warga manusia dan martabat kemuliaan wanita itu sendiri di neraca kewajarannya.

Siapa wanita hari ini dan apa cabarannya?

Bila kita bercakap tentang siapakah wanita itu pada hari ini, maka kita mesti jujur dalam menyatakan siapakah sebenarnya wanita itu. Kita tidak boleh bersikap, bila bicara sahaja soal wanita maka kita terperangkap dalam fahaman wanita itu adalah kita semata-mata. Jika dengan andaian itu, maka tentulah kita sebenarnya gagal untuk sejujurnya memahami, mengenali dan menyantuni segala persoalan yang berhubungkait langsung dengan kehidupan realitas para wanita, sekaligus segala yang berimpak daripada kewujudannya.

Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik. Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil. Ada yang suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti peguam, doktor, jurutera, ahli politik, aktivis Sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup mereka terpaksa menjadi pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status dan hidup mewah. Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah (di mana 3.4 juta wanita kita merupakan ibu tunggal), dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup “terpenjara”, terpaksa menjadi “hamba” khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab. Ada yang terperangkap dengan “cinta nafsu”, akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.

Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Nah, rencam bukan? Inilah realiti wanita kita pada hari ini. Justeru, kita semua kaum wanita seharusnya sedar yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu kita baik pada masa kini hatta pada masa akan datang. Bahkan sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita, juga pada setiap derap dan langkah kita adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.

Apatah lagi tanggungjawab kita bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - WAJIB untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya ; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini WAJIB BANGKIT merubahnya dengan TANGAN dan perbuatan! 18 Mac 2012 insya Allah pastikan kita semua menjadi penyumbang kepada suatu Kebangkitan Baru: WANITA SUARA PERUBAHAN!

Keyakinan kita, insya Allah, setiap perjuangan yang benar itu betapa ditekan tetap ia menjalar. Tanpa dibaja kan tetap ia mekar. Tanpa udara sekalipun kan tetap ianya segar. Medium dan seni perjuangan itu luas dakwahnya. Jangan sama sekali disempitkan sesempit aqal yang tumbesarannya bonsai dalam asuhan Regim!

Rumusan saya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak. Maka adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan itu kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan kita para pejuang wanita yang insya Allah nantinya akan memastikan kita berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan.

Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, kita tidak mungkin upaya menjadi pencorak dan penentu Generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat kita pada hari esok.

Bangkitlah Wahai Adik-Adikku Wanita-Wanita Muda.

Bangkitlah Wahai Seluruh Denyut Nadi Dan Srikandi Negara.

Jangan Biarkan Langkahmu Hanya Terhenti Di Rumah! Sungguh, Ummah Sedang Menanti Senimu Dalam Berdakwah. Segala Derita Dan Sengsara Mereka Mesti Disembuh, Mesti Dirawat Dengan Segala Hikmah Dan Fatanah. HIDUP KEBANGKITAN BARU!

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Rakyat akan nilai sendiri permohonan maaf Najib

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Mac: PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan, keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia walaupun dengan permohonan maaf Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak.

“Ini kerana mereka sedar bahawa PM mereka hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Dari segi agama, Tuan Ibrahim menerangan sikap meminta maaf adalah sifat mahmudah, samada terhadap manusia apatah lagi dengan Allah.

“Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah seseorang itu akan memohon maaf. Memohon maaf dengan manusia atau rakyat teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan.

"Kerana itu, apabila ada yang lakukan tentulah ianya menjadi bahan perbincangan awam,” terang beliau pada persoalan mengapa permohonan maaf Najib mendapat liputan meluas media.

Namun tegas Tuan Ibrahim, permohonan maaf Najib tanpa sebarang niat dan tindakan untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan telah membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap keikhlasan PM.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang itu, tindakan Najib memohon maaf kepada rakyat bermakna beliau bersalah dengan rakyat, namun hanya rakyat saja yang mampu menilai samada menerima atau tidak.

“Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai. Lantaran itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat, cuma Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan kita,” tambah beliau.

Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan, tegas Tuan Ibrahim adalah sifat terpuji, namun ia bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.

harakahdaily/-

11 Mac 2012

2 terbunuh, 10 cedera kemalangan di PLUS

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dua terbunuh, manakala sepuluh cedera apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dalam kemalangan di Km 181. 5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Parit Buntar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, dua penumpang dalam kenderaan yang sama, yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan, mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Sepuluh lagi penumpung kedua-dua buah kenderaan termasuk seorang pemandu salah sebuah kenderaan itu cedera dan dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 7.10 pagi apabila kereta jenis Toyota Estima yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Alphard.

Ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Selatan ke Utara.

Katanya identiti mangsa yang meninggal dunia dan yang masih dirawat masih belum diketahui dan polis sedang menyiasat.

- Bernama

Umno Cheras anggap drama 'Makcik Bollywood'

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu 'drama'.

NONESyed Ali (kanan) berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.

"Kalau berhenti, berhenti sahajalah. Tapi kenapa macam nak main tarik tali. Kenapa perlu kumpulkan wartawan hari ini sedangkan esok ramai wartawan akan buat liputan di Parlimen.

"Ini semua Bollywood punya cerita. Saya boleh katakan dia ini sebagai makcik Bollywood," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selepas kontroversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat sebentar tadi mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Syed Ali berkata, tindakan Shahrizat itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan peletakan jawatan itu bukan disebabkan rasa bersalah, tetapi kerana tempoh sebagai senator sudah tamat.

NONE"Dia nak tunjuk glamour kot supaya esok ada Wanita yang datang menangis, merayu pada dia supaya jangan letak jawatan.

"Saya bersyukur dia nak berhenti, tetapi kecewa kerana dia nak berhenti bila tamat tempoh senator. Saya tak faham kenapa. Ini menunjukkan dia tidak komitmen dan tidak berintegriti kepada parti," katanya.

"Kalau saya jadi dia, saya akan berhenti serta merta."

Umno Cheras antara bahagian paling lantang membuat desakan itu sebelum ini selain bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafizah Aziz supaya tidak menjadi beban kepada parti.

Malaysiakini/-

Shahrizat sah undur bulan depan

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

"Saya dengan ini nak shahrizat taman desa pc resign resignation step down 110312memaklumkan bahawa pada 8 April apabila tamatnya penggal saya sebagai ahli Dewan Negara saya akan berundur diri sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat," katanya.

Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Berhubung jawatan sebagai ketua Wanita beliau berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.

"Dan semasa jadi satu powerful force, Wanita BN kini powerful force yang bawa perjuangan untuk rakyat Malaysia.

'Nantikan hasil siasatan NFC'

Ditanya tentang isu NFC, Shahrizat menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan kes itu dan hanya berkahwin dengan pengerusinya.

"Tetapi sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab, saya rasa ini tindakan tepat untuk berundur dengan baik.

"Saya ingin jelaskan, ini keputusan saya sendiri. Dan saya mahu pastikan apabila saya berundur, siasatan akan diteruskan mengikut lunas undang-undang dan kita semua nantikan hasilnya," katanya.

shahrizat jalil jatuh bangun 110312Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April ini.

Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan.

Selain desakan pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar "jangan sayang kepada jawatan."

Malaysiakini/-

14 pejuang Palestin maut, 20 cedera

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ANGGOTA polis Hamas memeriksa bangkai sebuah kenderaan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di Bandar Gaza kelmarin.

BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Sebanyak 14 pejuang Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam beberapa serangan udara Israel ke atas Genting Gaza, kata beberapa pegawai perubatan Palestin semalam.

Tentera Israel berkata, tentera udara rejim Zionis melancarkan 13 serangan udara merangkumi pelbagai sasaran termasuk ke atas seorang ketua militan Palestin.

Serangan tersebut berlaku selepas pihak Palestin membedil puluhan roket dan mortar ke selatan Israel bermula pagi kelmarin dengan menyebabkan empat orang cedera, seorang daripada mereka parah.

Serangan balas yang dilancarkan tentera udara Israel meragut nyawa ketua Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC), Zohair Al-Qaisi dan seorang anggota kumpulan berkenaan, Mahmud Hanani.

Susulan kematian mereka, PRC mengancam akan membalas dendam. Sekitar 45 roket dilancarkan tidak lama kemudian ke arah selatan Israel.

Pada masa yang sama, Briged Al-Quds yang merupakan sayap tentera kumpulan Jihad Islam menyatakan siri serangan udara rejim Zionis itu membunuh sepuluh anggota mereka.

"Beberapa pesawat menyerang dua fasiliti pembuatan senjata dan dua tapak pelancar roket di utara Genting Gaza, sebuah kilang membuat senjata di tengah Genting Gaza dan tapak aktiviti keganasan di selatan Genting Gaza," kata tentera Israel dalam satu kenyataan semalam.

"Serangan dilancarkan bagi membalas bedilan roket terhadap komuniti Israel," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan sama, sistem pertahanan peluru berpandu Kubah Besi Israel memintas sepuluh peluru roket yang disasarkan ke bandar Beersheva, Ashdod dan Ashkelon di selatan Israel yang secara keseluruhan dihuni lebih 500,000 penduduk. - AFP

Pecah tembelang kahwin dua kerana Facebook

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Tembelang seorang lelaki beristeri dua di AS pecah selepas kedua-dua isterinya menjadi kenalan di laman perkongsian sosial Facebook.

Undang-undang AS melarang lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri pada masa yang sama.

Susulan pembongkaran tersebut, seorang pegawai pemulihan akhlak, Alan L. O'Neill didakwa kerana mengamalkan bigami atau beristeri dua.

Menurut kertas pertuduhan yang difailkan Khamis lalu, O'Neill mengahwini seorang wanita pada 2001, berpindah pada 2009 dan menukar namanya sebelum berkahwin lain tanpa menceraikan isteri pertamanya.

Isteri tua pertama kali menyedari O'Neill berkahwin lain apabila dia menjadi kenalan madunya melalui pautan "Orang yang mungkin anda kenali" di Facebook.

"Isteri pertama kemudian melihat laman Facebook isteri kedua dan melihat suaminya bersama kek perkahwinan," kata pendakwa raya daerah Pierce County, Mark Lindquist kepada agensi berita Associated Press (AP)

Isteri pertama kemudian berkunjung ke apartmen madunya dan berulang kali menyoal suaminya sama ada mereka sudah bercerai tetapi dia menjawab: "Tidak, kita masih suami isteri.,"

O'Neill, 41, sebelum ini menggunakan nama Alan Fulk. Dia yang dihadapkan ke mahkamah Khamis lepas boleh dipenjara lima tahun jika didapati bersalah. - Agensi

Remaja belasah pelajar Malaysia dijel 7 tahun

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -


Beau Isagba

LONDON - Seorang remaja Britain dipenjara tujuh tahun kelmarin kerana membelasah sehingga mematahkan tulang rahang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli ketika bandar raya ini dilanda rusuhan tahun lalu.

Beau Isagba, 18, mengaku salah pada perbicaraan sebelum ini kerana mencederakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berusia 21 tahun itu dan menyamun basikalnya di Barking, timur bandar raya ini pada 8 Ogos tahun lalu.

Rakaman selepas Asyraf diserang yang menunjukkan dua lelaki mencuri beberapa barangan di dalam beg sandang mangsa dengan berpura-pura membantunya telah mencetuskan kemarahan orang ramai selepas ia tersebar di laman perkongsian video YouTube.

Hakim Witold Pawlak memutuskan di Mahkamah Diraja Wood Green, utara bandar raya ini bahawa Isagba akan ditahan di sebuah institusi pemulihan belia dan dijangka dibebaskan secara bersyarat selepas menjalani hukuman selama 42 bulan.

"Saya harap hukuman ini akan mendorong mereka yang berniat jahat seperti kamu, berfikir dua kali sebelum bertindak di samping meyakinkan orang awam dan pelawat ke negara ini bahawa perbuatan seperti ini akan diberikan balasan setimpal," kata Pawlak.

Seminggu lalu, barisan juri di sebuah mahkamah di sini memutuskan dua lelaki berusia 22 tahun, John Kafunda dan Reece Donovan bersalah kerana mencuri barang-barang milik Asyraf. Hukuman terhadap mereka akan diputuskan Selasa ini. - AFP

Menteri EU tolak penyelesaian di Syria

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

COPENHAGEN – Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) menolak penyelesaian menggunakan tentera diambil ke atas Syria dan mengulangi gesaan supaya Presiden Bashar al-Assad menghentikan pembunuhan dengan segera.

“Syria bukan Libya. Apa yang paling kami bimbangkan adalah risiko tercetusnya perang saudara di negara itu dan jika ia berlaku, Assad perlu bertanggungjawab,” kata Menteri Luar Perancis, Alain Juppe dalam satu mesyuarat Menteri-Menteri Luar EU di Copenhagen, semalam.

Qatar menggesa penempatan pasukan tentera pengaman Arab dan antarabangsa di Syria, tetapi Juppe bersama rakan sejawatnya dari EU menolak gesaan itu. – AFP

145 dikhuatiri maut dalam kejadian salji runtuh

18 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KABUL 11 Mac – Sekurang-kurangnya 145 orang hilang dan dipercayai maut akibat insiden runtuhan salji yang melanda wilayah Badakhshan, timur laut Afghanistan minggu lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Pegawai Afghanistan awal semalam meletakkan angka korban akibat siri runtuhan salji sejak 4 Mac lalu itu seramai 56 orang di daerah Shekay, Badakhshan.

PBB dalam pada itu turut memberi amaran banjir mungkin akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang ekoran pencairan salji.

Afghanistan dilanda musim salji paling buruk dalam tempoh 15 tahun yang telah meragut banyak nyawa. – AFP