13 Mac 2012

Maut terjatuh tingkat 10

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN - Seorang pelajar jurusan fizik Universiti Sains Malaysia (USM) sempat memohon maaf kepada rakan dan ahli keluarganya di laman sosial Facebook sebelum dia ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 10 Flat Desa Universiti, Sungai Dua di sini semalam.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan Tan Chee Boon, 23, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan akibat terjatuh melalui tingkap bilik tidur rumah sewanya.

Pelajar tahun akhir itu dikatakan baru sahaja sampai ke rumah itu pada malam kelmarin selepas menghadiri majlis perkahwinan abangnya di Taman Gunung Perak 2, Alor Setar, Kedah.

kosmo/-

Pemaju resort pertimbang tarik diri dari Gebeng

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sebuah syarikat pemaju hartanah sedang mempertimbangkan keputusan sama ada untuk menarik diri daripada projek membina sebuah resort dan perumahan bernilai jutaan ringgit berhampiran Kuantan berikutan pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada kilang memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng.

stg resort kuantan gold coast lynasMenurut akhbar harian Cina Nanyang Siang Pau, pengarah Kumpulan STG Alex Tan Siong Seng berkata syarikatnya akan membatalkan projek Kuantan Goldcoast jika kerajaan bertegas mahu meneruskan kilang penapisan nadir bumi itu.

Langkah ini adalah untuk mengelakkan risiko kerugian dan pada masa yang sama melindungi kepentingan pelabur STC, kata akhbar itu yang memetik Lee.

Lee dalam laporan itu mendakwa Kumpulan STG telah membelanjakan RM3 juta bagi projek hartanah itu dan akan menghadapi kerugian antara RM20 juta hingga RM30 juta jika kilang milik Lynas dari Australia itu mula beroperasi.

Sementara itu, ahli jawatankuasa pusat PKR Pahang Lee Chean Chung menimbulkan kebimbangan bahawa operasi berkenaan akan menjejaskan ekonomi di Kuantan.

"Kuantan adalah bandar pelancongan. Jika operasi memproses nadir bumi itu bermula, ia akan mempunyai kesan domino yang akan memberi impak yang tidak dapat dibayangkan ke atas ekonomi Kuantan. Ini termasuk pada ikan, makanan laut, sarang burung, perladangan, hartanah mahupun pelancongan," kata Lee.

Lynas diberi geran

Katanya, projek Kuantan Goldcoast di Sungai Balok yang juga bernilai jutaan ringgit Kuantan hanya terletak beberapa kilometer dari Gebeng, tempat Lynas mendirikan kilang mereka. Projek hartanah itu juga akan mewujudkan antara 500 dan 600 peluang pekerjaan dan sebahagian besar penduduk tempatan akan mendapat manfaatnya.

"Sebaliknya, Lynas hanya mampu mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan sehingga kini. Ia juga diberi taraf perlepasan cukai untuk selama 12 tahun dan tanah yang dibeli untuk tapak kilang itu di Zon Perindustrian Gebeng juga dikecualikan daripada duti setem.

"Di samping itu, kerajaan turut memberikan Lynas geran bernilai kira-kira RM1.2 juta untuk melatih pekerja Malaysia," katanya.

Lee (tengah) juga membidas Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan kerana enggan mengiktiraf bahaya akibat sisa yang ditinggalkan oleh kilang penapisan Asia Rare Earth di Bukit Merah, Perak.

"Raja Aziz berkata bahawa Kementerian Kesihatan tidak mempunyai data sejarah mengenai leukemia di kawasan itu. Oleh itu, katanya, tidak ada asas untuk membuat perbandingan bagi menentukan sama ada ARE adalah punca leukemia itu.

"Malah, tergamak beliau berkata oleh kerana seorang penduduk tempatan Lai Kwan (kiri) yang bekerja untuk sub kontraktor (dalam loji itu), anaknya, Kok Leong yang terencat itu, adalah tanggungjawab kontraktor berkenaan dan bukannya kerajaan .

"Adakah ini bermakna bahawa jika penduduk Kuantan berhampiran kilang Lynas yang mempunyai apa-apa penyakit akibat radiasi, kerajaan yang meluluskan kilang itu tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab?" soalnya.

Lee menuntut bahawa Raja Aziz memohon maaf bagi keceluparannya itu.

malaysiakini/-

Boss bola sepak Brazil letak jawatan

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RIO DE JANEIRO (Brazil) 13 Mac - Ketua Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF), meletak jawatan ketika kontroversi tuduhan rasuah melanda, demikian menurut persekutuan tersebut.

Ricardo Teixeira yang mengumumkan bercuti kerana alasan kesihatan pada minggu lalu telah melepaskan dua jawatan iaitu sebagai ketua CBF dan ketua jawatankuasa penganjur tempatan Piala Dunia 2014.

Ketika ini Jose Maria Marin menjadi pemangku jawatan presiden CBF. - AFP

Beri warganegara jadikan PRU13 paling kotor

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: PAS Wilayah Persekutuan menyokong pandangan Datuk Mahfuz Omar yang menggesa kerajaan supaya menghentikan pemberian taraf kewarganegaraan kepada mana-mana warga asing yang datang ke negara ini sehingga Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) selesai diadakan.

“PAS WP menganggap gesaan Naib Presiden PAS itu sebagai suatu usaha bagi mengelakkan warga asing mengundi dalam PRU13,” kata Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, kerajaan wajar mengambil langkah itu bagi mengelakkan prejudis rakyat bahawa warga asing turut diberikan hak kerakyatan dan mengundi dalam PRU13 seperti mana yang sering dibualkan sebelum ini.

Menurutnya, pilihan raya umum dalam sebuah negara demokrasi adalah hak buat rakyat Malaysia, justeru idak wajar bagi sesebuah kerajaan menggunakan warga asing bagi memenangkan partinya.

Tindakan itu, ujarnya adalah satu penipuan dan pencabulan terhadap hak demokrasi di negara ini.

Bagi PAS WP, tambahnya ebih elok kalah pilihan raya melalui undi rakyat negara yang sah, kerana ia adalah kekalahan bermoral dan terhormat daripada menang dengan cara penipuan.

“Biarkan rakyat negara ini sendiri yang menilai pemerintahan negara kerana mereka kenal pemimpin mana yang betul dan salah untuk dipilih,” ujarnya lagi.

Rakyat asing pula, kata beliau tidak berhak campur tangan dalam politik negara ini serta menentukan masa depan dan pemerintahan negara.

Justeru, katanya PAS WP meminta kerajaan mengambil perhatian terhadap cadangan yang diutarakan itu jika kerajaan benar-benar bersikap telus dalam memastikan perjalanan PRU13 berlangsung dengan adil dan bersih.

“Jika tidak, selamanya kerajaan negara ini tidak bersih dari persepsi masyarakat bahawa sistem demokrasi dan pilihan raya umum di Malaysia amat kotor dan mungkin PRU13 adalah pilihan raya paling kotor dalam sejarah,” katanya.

harakahdaily/-

Kebakaran di Istanbul ragut 11 nyawa

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 11 terbunuh selepas khemah buruh binaan di sebuah tapak pembinaan pusat membeli-belah Istanbul, Turki terbakar, kelmarin.

Datuk Bandar daerah Esenyurt, Necmi Kadioglu berkata, kebakaran di tapak yang menempatkan 200 tenaga buruh itu dikatakan berpunca daripada masalah alat pemanas dalam khemah tersebut.

Sebuah khemah berhampiran turut terbakar, namun anggota penyelamat tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa lain yang mungkin terkorban dalam insiden itu.

sinar harian/-

Taliban ikrar balas dendam

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA orang tentera AS berkawal di hadapan sebuah kem tentera di Panjwai, wilayah Kandahar. AS kini berdepan tekanan daripada Taliban yang mahu membalas dendam. - Agensi

KABUL – Kumpulan Taliban Afghanistan semalam berikrar akan membalas dendam ke atas kekejaman Amerika Syarikat (AS) berikutan insiden seorang tentera AS menembak mati 16 orang penduduk kampung di dalam rumah mereka.

Taliban menegaskan ia akan membalas tindakan kejam bagi pihak setiap seorang yang terkorban itu, jelas satu kenyataan di laman webnya.

Kelmarin, seorang tentera AS keluar dari pangkalan tentera di Kandahar sebelum memecah masuk ke dalam beberapa buah rumah di kampung berdekatan dan membunuh 16 orang yang terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.

Dia kemudian ditahan. AS mengeluarkan kenyataan simpati kepada keluarga mangsa, selain berjanji akan mengambil tindakan.

“Kebanyakan mangsa ialah wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Pengganas AS mahu mencari alasan atas jenayah tidak berperikemanusiaan ini dengan mendakwa pelakunya mengalami masalah mental.

“Jika benar sekali pun dia sakit mental, ini membuktikan satu lagi krisis moral tentera AS kerana mereka memberikan senjata kepada orang gila dan menembak orang awam Afghanistan yang tidak bersenjata tanpa memikirkan kesannya,” jelas laman web Taliban. – AFP

Piala Monsun gagal, tamparan buat Umno Terengganu

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 13 Mac: Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mendedahkan sebenarnya penganjuran Piala Monsun sejak tujuh tahun lalu gagal meraih pulangan memberi tamparan kepada pemimpin kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Ahmad Shabery dilaporkan berkata kerajaan membelanjakan RM20 juta setiap tahun bagi penganjuran Piala Monsun dan jumlah itu adalah perbelanjaan terbesar dalam penganjuran bagi satu acara sukan.

“Kita mahu berbincang dengan semua pihak sama ada Piala Monsun akan diteruskan dengan format sedia atau menggunakan kaedah lain memandangkan tujuh tahun penganjuran, sebahagian perbelanjaan datangnya daripada kerajaan berjumlah RM20 juta.

“Jumlah ini besar berbanding pengendalian acara sukan lain di negara ini,” katanya mengulas isu khabar angin Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ingin mengambil alih penganjuran Piala Monsun daripada T-Best Events Sdn Bhd yang masih belum disambung kontrak penganjuran tahun depan.

Sekaligus, kenyataan terbuka Shabery menolak dakwaan kerajaan Umno/BN Terengganu bahawa Piala Monsun tidak membazir.

Pada tahun 2007, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri ketika itu, Datuk Mohamed Awang Tera dipetik berkata, kejohanan itu ternyata telah mampu meletakkan nama Pulau Duyong dan Terengganu khasnya di peta dunia sejak penganjuran sukan tersebut.

"Memang biasalah orang suka memburuk-burukkan kerajaan, lebih-lebih lagi dekat pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Bio Global Tech Sdn Bhd dan Luher Management Berhad.

Beliau berkata, kononnya, kejohanan kapal layar itu ditonton oleh hampir 1.2 bilion orang di seluruh dunia dan sekaligus telah memperkenalkan Terengganu di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti di Kuala Terengganu yang antara lain turut membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penganjuran sukan itu yang dikatakan membazir dan tidak menguntungkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan itu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Mohamed berkata dakwaan itu tidak tepat kerana acara Piala Monsun adalah satu acara yang dilihat mampu meningkatkan kehadiran pelancong setiap tahun ke negeri ini terutama di waktu musim tengkujuh.

"Piala Monsun salah satu acara yang sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong yang datang ke Terengganu dan juga peningkatan pengunaan bilik hotel," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mendapat banyak manfaat daripada projek Teluk Warisan dan juga acara Piala Monsun manakala penduduk Pulau Duyong sendiri ditawarkan membeli kondominium rakyat dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran semasa.

Melalui marina yang dibina pula, beliau berkata ia telah berjaya menarik kapal-kapal masuk ke Sungai Terengganu.

Sebaliknya Bekas Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Duyong (Pekeduy) Muzafez Affyulzaifuzan Mohamad mendakwa ia adalah bohong semata-mata.

Beliau yang dihubungi Buletinonline berkata, apa yang berlaku sebenarnya, penganjuran Piala Monsun tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya penduduk Pulau Duyung.

Beliau yang merupakan anak jati Pulau Duyung berkata, kondominium atau pangsapuri yang dibina oleh kerajaan Umno/BN bukanlah dijual kepada penduduk kampung.

Begitu juga Marina yang dibina, tidak ada kapal-kapal yang masuk berlabuh dan kini terbiar begitu sahaja.

harakahdaily/-

Polis Sahkan Mayat Rentung Adalah Dirang

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Nurul Nadirah

JOHOR BAHARU: Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin hari ini mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam pada 8 Mac lalu sebagai kanak-kanak malang yang dilaporkan hilang sebelum ini iaitu Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang.

Beliau berkata, hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap mayat berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada Isnin mengesahkannya.

"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurutnya, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.

Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.

Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa. Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.

Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Majlis bertunang anak PM: Jingga buat laporan SPRM

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NGO Jingga 13 hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kerajaan membiaya majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pasangannya di Seri Perdana.

Laporan, itu juga menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Ia mendakwa bahawa RM409,767 wang rakyat digunakan pada majlis tertutup yang diadakan pada 17 Jun tahun lalu yang dihadiri oleh pembesar negara , tokoh-tokoh terkenal dan sahabat taulan perdana menteri dan isteri beliau.

Ketua Jingga 13, Fariz Musa ketika dihubungi berkata, laporan itu dibuat di ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam petang ini.

"Kami dedahkan semua dokumen berkaitan, khususnya Borang Pesanan Majlis Bankuet atau 'Banquet Event Order' yang dikeluarkan di atas nama Pejabat Perdana Menteri.

"Kami harap bahawa SPRM akan menyiasat dokumen itu dengan bersifat telus dan profesional dan jika perlu mendakwa Najib di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah-gunakan kuasa," kata Fariz.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana majlis swasta itu boleh dianjurkan dengan menggunakan wang rakyat.

"Jingga 13 mempersoalkan bagaimana majlis pertunangan anak perempuan yang bersifat peribadi sejumlah RM409,767 ditanggung oleh rakyat Malaysia?

"Sejumlah RM 18,792 untuk kos jamuan VIP seramai 36 orang yang bernilai RM522 seorang, RM309,975 bagi kos jamuan tetamu seramai 862 orang dan kos pengendalian ialah RM81,000," kata Fariz.

Dokumen yang menunjukkan bahawa Jabatan Perdana Menteri membuat pesanan untuk majlis itu, pertama kali didedahkan oleh pengarah strategi PKR Rafizi Ramli.

Walau bagaimanapun, JPM menafikan bahawa dana awam digunakan untuk membiayai jamuan yang diadakan di Shangri-la Hotel itu.

Rafizi turut mendesak Najib supaya membuktikan bahawa perbelanjaan untuk majlis berkenaan ditampung daripada kocek beliau sendiri.

Anak perempuan Najib dan Rosmah, Nooryana Najwa bertunang dengan seorang warga Kazakhstan pada 17 Jun 2011 dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya.

malaysiakini/-

12 Mac 2012

FGVH ke Parlimen, PAS buat persediaan rapi

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus membawa isu Felda khususnya penyenaraian Felda Global Ventures Holding Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia pada persidangan Dewan Rakyat penggal kelima yang bermula hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub (gambar) berkata, pihaknya sudah membuat persediaan yang rapi dalam isu Felda termasuk akan menyatakan fakta-fakta yang jelas mengenai keburukan penyenaraian FGVH sewaktu sesi perbahasan nanti.

"Kita akan memberikan yang terbaik pada kali ini. Kita sudah membuat persediaan yang secukupnya dan kita akan memberikan fakta-fakta yang lebih jelas khususnya tentang penyenaraian FGVH.

"Kita rasa inilah masa dan medan terbaik untuk kita membawa hasrat hati nurani peneroka yang mahukan masa depan mereka lebih terjamin.

“Ini masa terbaik untuk kita gunakan dan kita akan bawa isu FGVH ini dengan ruang yang ada di persidangan kali ini," kata Naib Presiden PAS itu ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima persidangan Parlimen ke-12.

Dalam titah yang di-Pertuan Agong, baginda menyebut kerajaan kerajaan telah memperkenalkan dasar-dasar dan program-program yang berkaitan transformasi luar bandar yang menggariskan pendekatan strategik bagi membuka ruang dan kaedah baru meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar termasuk Orang Asli dan etnik minoriti di Sabah dan Sarawak.

Antara pendekatan ini titah baginda, adalah pewujudan Pusat Transformasi Luar bandar, yang pertama di Gopeng, Perak sebagai pusat integrasi perkhidmatan. Selain daripada itu, Felda turut melaksanakan program meningkatkan lagi taraf sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli pula berkata, isu Felda yang sedang membarah di kalangan peneroka kini tidak dapat diselesaikan hanya melalui titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya berliau berkata, ianya memerlukan penjelasan kerajaan terutama penyenaraian FGVH yang menimbulkan rasa tidak puas hati peneroka.

"Isu Felda ini adalah isu yang sangat teknikal dan melibatkan beberapa perkara yang sangat besar ertinya kepada peneroka dan kepada kerajan negeri.

"Jadi saya tidak yakin Tuanku boleh menyebut secara detail apa yang hendak disampaikan. Namun kita merasakan isu felda ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan disebut dalam ucapan begini.

"Banyak perkara yang sudah mula timbul dan memerlukan penjelasan kerajaan dalam perbahasan nanti," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

harakahdaily/-

Anak Taib diarah senaraikan harta dalam 7 hari

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini mengarahkan anak Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib untuk mengemukakan dokumen berkaitan asetnya kepada bekas isteri beliau.

Keputusan itu telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Syariah Mohamad Abdullah yang menolak bantahan awal yang dibuat oleh peguam Mahmud Abu Bekir.

Dengan ini, pengerusi Cahaya Mata Sarawak itu diwajib menyenaraikan asetnya dalam masa tujuh hari bagi menentukan tuntutan harta sepencarian yang dibuat oleh bekas isterinya Shahnaz A Majid.

Menurut tuntutan Shahnaz, bekas suaminya mempunyai pelbagai aset dalam bentuk saham, hartanah di dalam dan luar negara.

Berikutan penceraian itu, beliau menuntut harta sepencarian dan hadiah berjumlah RM400 juta.

Kedua-dua Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz hadir di mahkamah, hari ini.

malaysiakini/-

Treler muatan petrol terbabas

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERAI – Sebuah treler yang membawa muatan 32,000 liter petrol terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan papan tanda dalam satu kejadian berhampiran Jalan Perusahaan Perai, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kemalangan sekitar jam 5.45 petang itu berlaku ketika pemandu baru hendak memulakan perjalanan menuju ke Ipoh, Perak dari syarikatnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kejadian bukan sahaja mencemaskan pengguna yang bimbang berlaku kebocoran, malah turut menyebabkan kesesakan sejauh lebih satu kilometer hingga ke bulatan Perai.

Bagaimanapun, pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun bahagian hadapan kenderaannya hampir remuk.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba Perai, Mohd Azri Mad Saad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.50 petang

Menurutnya, pasukan yang tiba dua minit selepas itu bertindak membuat pemeriksaan ke atas treler berkenaan, bagi mengesan jika berlaku sebarang kebocoran pada tangki yang bermuatan petrol itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan pada bahagian stereng.

“Meskipun hanya kemalangan kecil, namun kami tidak boleh memandang remeh kerana apa saja boleh berlaku jika tangki itu bocor. Begitu pun, hasil pemeriksaan mendapati, tiada kebocoran mahu pun keretakan pada tangki petrol yang dibawa. Akan tetapi, kami perlu bersedia sepanjang proses menunda lori berkenaan keluar dari kawasan rumput ini bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

sinar harian/-

Maki wartawan: Adnan gali kubur sendiri

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN, 12 Mac: “Mana-mana pemimpin yang memaki hamun wartawan bermakna sedang menggali kubur sendiri,” kata Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Beliau mengulas insiden Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang secara terang-terang menjerit mengatakan “wartawan bodoh”, “akhbar bodoh” dan mengulanginya beberapa kali ketika sidang medianya selepas perasmian Karnival Buku Pahang 2012 di sebuah hotel di sini kelmarin.

Beliau juga dikatakan turut mengusir wartawan-wartawan daripada akhbar Cina dan disaksikan oleh orang ramai.

Adnan bertindak demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan laporan akhbar-akhbar Cina yang yang menurutnya menyiarkan kenyataan beliau berkaitan sisa proses kilang Lynas akan dilupuskan di lombong tinggal di Sungai Lembing.

Suhaimi berkata, sepatutnya jika kenyataan tersebut bohong beliau memanggil sidang akhbar dan menafikannya bukan bertindak secara emosi.

“Wartawan adalah pelapor kepada rakyat apa yang kerajaan yang mereka pilih, ingin lakukan dan mereka bekerja secara profesional. Takkan itupun Menteri Besar tak tahu.

“Jadi mengusir wartawan samalah seperti mengusir rakyat. Sebab itu saya kata beliau mahu menggali kubur politiknya,” katanya.

Tambah Suhaimi, jika Adnan bertindak lebih matang beliau boleh mengarahkan pengawal hotel terbabit menghalang terus wartawan akhbar Cina masuk ke dalam hotel itu daripada menjerit dan menghalau wartawan berkenaan.

Sementara itu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) turut mengutuk keras kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kerana menggelar petugas media sebagai "bodoh".

Presiden NUJ Chin Sung Chew berkata, pihaknya amat terkejut dengan reaksi Adnan itu dan menganggapnya sebagai menghina maruah wartawan, biadap dan turut mencampuri kebebasan media.

Menurut saksi, Adnan juga menolak kamera yang dipegang oleh seorang jurugambar dan mencabar aksi itu disiarkan. Tiga wartawan akhirnya meninggalkan sidang akhbar tersebut.

Sebelum ini Adnan juga pernah dikaitkan dengan “samseng” kerana pernah menunjukkan isyarat lucah ketika hari pencalonan Pilihan raya Kecil Sanggang, Temerloh.

Adnan juga pernah naik angin dalam dewan undangan apabila dicelah oleh ketua pembangkang daripada PAS ketika itu Ustaz Idris Omar.

harakahdaily/-

Lebih 30 kenderaan terkandas

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Banjir. Begitulah yang terjadi di jalan Sungai Ular di mana lebih 30 kenderaan terkandas dan terpaksa menunggu kira-kira satu jam bagi memastikan paras air surut.

Selain motosikal, pelbagai jenis kenderaan kecil lain dilihat mengalami kerosakan setelah meranduk air banjir sedalam kira-kira 0.5 meter.

Dari tinjauan dibuat mendapati tekanan air dari Sungai Ular tidak dapat disalirkan dengan lancar setelah limpahan air bukit memenuhi sepanjang parit.

Ia berlaku berikutan laluan air bawah tanah sedia ada tidak mampu menampung kuantiti air berkenaan lalu melimpah.

Kakitangan awam, Saari Mohamad Noor, 35, berkata, masalah itu sering berlaku tetapi tidak ada mana-mana pihak mengambil tindakan segera untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

“Air yang turun dari bukit deras dan ia mengakibatkan banyak kenderaan kecil takut untuk merandok air kerana khuatir kenderaan mereka rosak atau dihanyutkan. Sebelum ini pernah seorang penunggang motosikal dihanyutkan oleh arus deras bagaimanapun orang ramai yang berada di tempat kejadian sempat menyelamatkannya. Diharap Jabatan Kerja Raya (JKR) memandang serius masalah ini dari terus berlarutan,” katanya.

Sementara itu beberapa bongkah batu dan pokok kelapa sawit dilihat tumbang ditengah jalan dan menghalang perjalanan pengguna jalan raya.

Menurutnya, selain itu hakisan serius juga kelihatan dengan jelas di dinding lereng bukit dan kejadian ini boleh mengakibatkan runtuhan tanah.

Sekiranya berlaku runtuhan tanah, lebih ramai pengguna jalan raya bakal berdepan dengan bahaya.

sinar harian/-

16 Atlet boling padang bakal wakili negara ke kejohanan dunia

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 16 atlet boling padang, lapan lelaki dan lapan wanita, telah dipilih sebagai anggota Skuad Elit yang akan mewakili negara ke Kejohanan Dunia di Adelaide Australia, November ini.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, skuad tersebut yang berada di bawah pengendalian jurulatih, Dr Simon Botha dan Zuraidi Puteh akan turut menjalani persediaan untuk Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

"Mereka adalah teras pasukan kita yang akan menyertai World Championship pada akhir tahun ini di mana tiga tahun sudah kita mendapat tempat ketiga.

"Kebanyakannya adalah pemain muda dan ada juga pemain veteran. Paduan antara bakat baru dan lama ini kita harap dapat mempertahankan Malaysia sebagai ranking tiga terbaik dunia atau menduduki tempat teratas," katanya selepas menutup Kejohanan Boling Padang Perseorangan Kebangsaan 2012 di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini hari ini.

Skuad tersebut dibarisi atlet lelaki Safuan Said, Saufi Rosli, Fairuz Izwan Abdul Muin, Muhd Syamil Syazwan, Khairul Anuar Abd Kadir, Mohd Azwan Shuhaimi, Mohd Hizlee Abd Rais dan Mohd Fairuz Jabal. - Bernama