14 Mei 2012

Wanita terjun sungai

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang wanita mengidap sakit mental dipercayai terjun dari jejambat ke dalam sungai di Brickfields di sini, malam kelmarin.

Sebelum kejadian, wanita yang berusia 47 tahun itu menaiki sebuah teksi yang selalu digunakan keluarganya seorang diri dari Puchong ke Jalan Syed Putra.

Sejurus tiba di sebuah sekolah menengah di kawasan itu, wanita itu terus membuka pintu, berlari ke arah jejambat dan terjun tanpa menghiraukan larangan pemandu teksi tersebut.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, dia nampak wanita terjun dan dibawa arus.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul, berkata, abang wanita itu, namanya tidak diberitahu polis, mengesahkan adiknya itu menghidap sakit mental.

“Ada saksi ternampak pemandu teksi berkenaan cuba menghalang wanita itu terjun ke dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari wanita itu bermula jam 10.40 malam, 15 minit selepas kejadian, sebaik sahaja menerima maklumat orang awam.

“Operasi dihentikan tengah malam kerana arus sungai deras dan disambung semula jam 8 pagi semalam dan ditangguhkan pula pada jam 5 petang,” katanya.

Operasi itu akan disambung semula pagi esok.

Sinar Harian

Jurutol cedera pondok tol dirempuh treler

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang jurutol yang sedang bertugas cedera di bahagian tangan kanan apabila sebuah treler merempuh pondok tol di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, treler yang membawa muatan atap itu dari Pulau Pinang menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu merempuh pondok tol itu sehingga runtuh.

Menurut saksi yang enggan dikenali, jurutol hanya mengalami kecederaan di lengan dan beberapa jurutol lain masih terkejut dengan kejadian itu.

"Petugas tol itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala treler juga tidak mengalami kerosakan," katanya.

Agency

12 Mei 2012

Imigresen tahan 14 warga asing kerja di pasar


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - JOHOR BAHRU: Seramai 14 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P di sebuah pasar raya di sekitar kawasan Pandan, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, serbuan disertai 20 anggota dan pegawainya itu memeriksa 25 warga asing yang bekerja di pasar raya terbabit.

Menurutnya, seramai 14 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh, berusia antara 21 hinggs 45 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, kehadiran anggota yang berpakaian preman tidak disedari warga asing ini.

Warga asing ini ditahan berdasarkan loghat suara ketika sedang menarik perhatian orang ramai untuk membeli ikan dan ayam di premis yang mereka kerja.

Apabila serbuan dibuat, ada pekerja asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di bawah rak sayur.

Kesemua warga asing ditahan berikutan lokasi pasar raya ini sudah dikepung terlebih dahulu.

Mohamad Nasir berkata, warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan sah ke negara ini.

Mereka juga ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana kesalahan menyalahguna pas lawatan dimiliki.

Kesemua warga asing terbabit juga disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Akta Pasport 1960, katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa komplek Setia Tropika untuk dokumentasi sebelum di hantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian.- Harakahdaily

Himpunan Umno tak boleh saingi Bersih 3.0


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KEPALA BATAS, 12 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berpendapat perhimpunan sempena Ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Bukit Jalil malam tadi tidak boleh menyaingi perhimpunan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 28 April lalu.

Ini, katanya kerana peserta Bersih 3.0 datang dengan hati yang ikhlas supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bertindak adil menguruskan sistem pilihan raya berbanding Umno diangkut secara percuma dengan sedikit habuan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh sama sekali mengukur kedatangan orang ramai ke sambutan ulang tahun Umno itu sebagai bukti maruahnya telah pulih dan kembali mendapat sokongan rakyat jelata,

"Perhimpunan yang datang dari hati yang suci semata-mata inginkan pilihan raya bersih jauh dari perbuatan yang kotor tidak sama dengan ulang tahun Umno ke 66 di mana kedatangan mereka dari kalangan ahli Umno dan penyokong tegar yang diupah serta diangkut dari pelosok negara," jelasnya mengulas ucapan Najib semalam yang yakin Umno sudah mendapat sokongan dengan manusia membanjiri stadium berkenaan.

Katanya, peserta Bersih 1.0, 2.0 atau pun 3.0 baru-baru ini bukan diundang dengan habuan atau kenderaan percuma tetapi kedatangan mereka disebabkan mahukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR mempertimbangkan saranan Bersih agar pilihanraya di Malaysia berjalan dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yakin Umno sukar dipulihkan kerana kepimpinanya terlalu sinonim dengan rasuah dan mengabaikan rakyat bawahan yang mengharapkan simpati.

Keadaan bertambah parah kata Mahfuz, apabila pasukan polis bertindak kejam terhadap peserta Bersih 3.0 sekaligus mencalarkan maruah dan kepercayaan orang ramai terhadap polis.

Justeru itu, ujarnya Najib terpaksa menggunakan bekas perdana menteri dan dua bekas Ketua Polis Negara sebagai talian hayat menjelang pilihan raya umum ke 13 apabila di samping menubuhkan panel penasihat bebas.

"Gunalah siapa pun rakyat kini sudah bijak menilai, ukan macam rakyat 1970-an, 1980-an atau 1990-an yang rela angguk setiap kali pilihan raya," ujarnya. - Harakahdaily

Rasa macam esok nak mengadap Agong - Najib


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - Melihat sambutan Ulangtahun Umno ke-66 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil memberangsangkan, Presidennya, Datuk Seri Najib Razak secara berseloroh berkata beliau rasanya 'macam esok' ingin mengadap Yang Dipertuan Agong esok bagi mengadakan pilihan raya.

"Oleh kerana bahang pilihan raya dah dapat kita rasai dan ramai sudah kena demam pilihan raya, saya lihat malam ini hebat.

"Rasanya esok saya nak menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya sambil menerima sorakan dan tepukan hampir 100,000 ahli parti dari seluruh negara di majlis tersebut.

Meneruskan ucapannya, Najib turut bertanya kepada semua peserta yang digelar sebagai 'gelombang merah' sama ada telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Dengan penuh bersemangat, Najib bertanya: "Kita sudah bersedia? Kita boleh menang? Bila nak pilihan raya? Esok? Bulan Jun? Tahun depan?," katanya.

Hadirin yang rata-rata terdiri daripada golongan muda menyahut pertanyaan Najib dengan menjawab: " Sudah bersedia... Boleh menang."

Dalam pada itu, Najib turut menegaskan walaupun sudah berusia 66 tahun, tetapi Umno bukanlah sebuah parti yang 'mabuk kuasa'.

Najib menjelaskan, parti itu sanggup melakukan apa sahaja perubahan demi perjuangan bangsa, agama dan negara.

Berbeza dengan pembangkang yang gemar memperlekehkan Umno, Najib berkata, hakikatnya Umno merupakan sebuah parti yang demokratik dan banyak berjasa kepada negara.

"Tak ramai yang jangkakan bila Umno lahir 66 tahun yang lalu kita boleh bawa negara kita seperti yang kita saksikan sekarang ini. Kita tak mabuk kuasa. Kita sanggup buat perubahan jika masa menuntut untu berubah, kalau persekitaran berubah...Umno juga perlu berubah.

"Dasar kita boleh ubah tetapi prinsip perjuangan kita kekal demi bangsa, agama dan negara. Orang pembangkang suka memperlekehkan Umno dan menghina kejayaan kita. Nak hina Umno, tetapi mereka sebenarnya tidak ada jasa pada negara," katanya.

Tujuh prinsip hadap p'raya
Perdana menteri juga mengemukakan tujuh prinsip sebagai panduan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pertimbangan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata tujuh prinsip itu dikemukakan berdasarkan tempoh hampir tujuh dekad Umno telah berjasa kepada negara.

"Saya nak papar tujuh prinsip yang boleh bantu kita buat penilaian dan pertimbangan. Pertama, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mana satu kepimpinan yang dipercayai dan janji ditepati? Siapa yang buat segalanya? Barisan Nasional!"

"Selain itu, 22 janji yang pembangkang beri... sebahagian besar tak ditunaikan di Selangor. Siapa yang gagal uruskan soal air? Banyak lagi mereka gagal.

"Yang kedua, kita mesti tentukan esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang siapa yang boleh jamin rakyat Malaysia esok lebih baik dari hari ini," katanya.

Persoalan Najib itu seterusnya disambut dengan sorakan hangat kira-kira 100,000 anggota Umno yang hadir .

Seterusnya, Najib berkata rakyat juga perlu membuat pertimbangan pihak mana yang boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesucian agama Islam dan Raja-Raja Melayu serta hak-hak kaum lain di negara ini.

Prinsip keempat, katanya, adalah rakyat perlu memilih siapakah antara BN dan pembangkang yang mampu menguruskan ekonomi dengan baik dan boleh membawa pertumbuhan yang memberangsangkan.

"Kelima, siapa yang boleh pelihara keharmonian negara? Keenam, siapa yang boleh buat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa yang buat transformasi negara?" katanya.

Prinsip terakhir, kata perdana menteri, adalah rakyat perlu memilih pihak yang benar-benar boleh memelihara kemakmuran negara sehingga Malaysia dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Najib berkata perhimpunan malam ini menjadi bukti sokongan dan dukungan kaum Melayu yang semakin meningkat kepada Umno dan BN.

"Di malam yang bertuah dan bersejarah ini biarlah stadium ini jadi saksi kita semua umat Melayu berkumpul dengan penuh semangat dan keyakinan. Siapa kata sokongan dan dukungan Melayu pada Umno sudah menurun?

"Hari ini kita saksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak, institusi negara diperlekeh... siapa ke depan pertahankan kalau bukan Umno?," katanya.

Perdana menteri berkata rakyat perlu memelihara kemakmuran yang telah dibawa ke seluruh pelosok tanah air dan tidak sesekali membiarkannya dibinasakan di tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Biar berputih tulang, jangan rakyat dan bangsa putih mata. Kerana kelak kita tidak mahu lihat anak-anak cucu terbangsat hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman janganlah kita terpalit darah meracun sandiwara lawan dan menempah alam kegagalan.

"Ayuhlah! Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redah. Jangan ribut taufan pun mesti kita harungi. Jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi. Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita terangi. Ayuhlah semua.

"Biar berdentum guruh di langit, walau kilat sambar-menyambar. Berpaksikan kepada parti Umno, berbekalkan kepada janji oleh Barisan Nasional. Hidup Umno, hidup Barisan! Selamat hari ulang tahun Umno," katanya.(sumber Malaysiakini)

Pengarah Jais mengaku ahli Umno


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin adalah ahli Umno.

Ketika ditanya peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili pemimpin PAS dan Harakah dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi semalam, Marzuki mengaku beliau adalah ahli Umno.

Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Umno Selangor menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dalam laporan itu, Mustafa selaku Setiausaha Agung PAS mendakwa beliau mendapat maklumat, serbuan ke atas gereja itu didalangi oleh Umno.

Ketika ditanya peguam Asmuni Awi pula, adakah Marzuki tahu berhubung dengan serbuan yang dibuat Pegawai Jais ke atas gereja DUMC, Marzuki berkata beliau tidak mengetahui langsung dengan serbuan tersebut sehinggalah satu laporan dikemukakan oleh Ketua Penolong Pangarah Penguatkuasa kepadanya.

Menurutnya lagi, siasatan bagi kes tersebut telah dilakukan selama tujuh bulan, namun siasatan itu dilakukan oleh Bahagian RnD dan seterusnya dirujuk kepada bahagian penguatkuasaan tanpa perlu mendapat kebenaran Pengarah Jais mahupun exco berkaitan agama Islam Kerajaan Negeri untuk melakukan serbuan.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Dr Zulqarnain Lukman berhubung hasrat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mewakili PAS ingin bertemu dengan Jais, Marzuki memberitahu beliau sedia maklum perkara tersebut.

Jelasnya perkara itu telah dirujuk kepada bekas exco Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Hasan perlu bertindak memaklumkan kepada Mustafa berkenaan dengan pertemuan yang dicadangkan dan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Mustafa.

Pada sesi pagi, Mahkamah hanya mendengar keterangan dari Marzuki dan bersambung semula pada sebelah petang.

Turut hadir pada sesi pagi adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Datuk Ahmad Zaki Husin bertindak sebagai hakim dalam kes ini.

Perbicaraan akan disambung lagi pada 14 dan 15 Jun bagi mendengar keterangan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku pencetak.-sumber Harakahdaily

Usul kecam kekerasan polis: 16 tentang, 1254 sokong


20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Majlis Peguam semalam membuat usul tergempar mengutuk kekerasan melampau polis ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 3.0 April 28 yang lalu di dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Hanya 16 peguam daripada 1,270 ahli majlis peguam yang membantah resolusi tersebut.

Dalam resolusi yang diluluskan dengan cara undian itu, Majlis Peguam turut menuntut permohonan maaf daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara kepada orang awam dan ahli media atas tindakan polis ketika perhimpunan tersebut.

Pengerusinya Lim Chee Wee berkata kehadiran EGM kali amat memberangsangkan – melebihi mesyuarat agung tahunan (AGM)nya.

“Ini menandakan bahawa ahli majlis melihat insiden Bersih 3.0 dengan serius,” kata beliau.

Aman sehingga diganggu

Faktanya, kata Lim ialah laporan terhadap kekejaman polis, dan penggunaan gas pemedih mata dan meriam air yang berlebihan hanya selepas penghadang Dataran Merdeka diceroboh pada pukul 3 petang.

“Sebelum itu, situasi (perhimpunan) adalah seperti karnival,” kata beliau.

Lim berkata Majlis Peguam telah mengerahkan sebanyak 78 ahli untuk memerhati perhimpunan Bersih, dan hanya keadaan di Kuala Lumpur menjadi kelam-kabut manakala situasi di Kuantan, Johor Bharu, Melaka dan Ipoh aman kerana polis telah bertindak secara terkawal.

Beliau turut menambah bahawa 100,000 hadirin yang membanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lalu tidak diberikan ruang dan masa secukupnya untuk bersurai di mana gas pemedih mata dan air berasid terus dihalakan pada mereka walaupun mereka dalam keadaan hendak melarikan diri.

“Ini membawa kepada satu soalan mudah. Mengapa polis masih tidak membaca dan melaksanakan apa yang dicadangkan Suhakam?” kata Lim, merujuk kepada laporan siasatan terhadap perhimpunan aman yang lepas.

Lim turut menegaskan bahawa kekerasan yang ditunjukkan polis adalah tidak memadai dengan tindakan penyokong yang mengejek mereka kerana semua peserta adalah tidak bersenjata, dan tanggungjawab menjaga keamanan adalah jatuh di bahu pihak berkuasa yang bersenjata.

Majlis Peguam Malaysia turut menuntut agar anggota polis yang melakukan keganasan dikenalpasti dan didakwa.

Pulau penal bebas kerajaan

Selain itu, Lim berkata Majlis Peguam turut memulau panel bebas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan keganasan polis dalam perhimpunan BERSIH 28 April lalu.

Majlis Peguam mencadangkan agar wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat insiden Bersih 3.0 dan bukannya bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar. - sumber Harakahdaily

Gempa bumi 5.4 skala Richter gegar Assam

20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUWAHATI 12 Mei - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan negeri Assam, timur laut India pada pukul 6.31 petang (waktu tempatan) semalam.

Dalam kejadian tersebut, beberapa bangunan rosak di sekitar bandar itu dan penduduk lari lintang pukang menyelamatkan diri dan harta benda.

Menurut jurucakap kerajaan, sebuah rumah roboh selepas gempa itu berlaku di Kampung Kampur kira-kira 40 kilometer daripada Guwati. - AFP

Letupan buat Afendi terpelanting

20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

UMI NURUL AEISYATUN menunjukkan sepasang kain baju Melayu yang dibeli oleh Mohd. Rosli untuk majlis perkahwinan mereka di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun semalam.

DUNGUN – “Sebelum kejadian, saya dengar bunyi gas bocor sebanyak tiga kali sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang menyebabkan saya terpelanting.”

Itu pengalaman ngeri dialami salah seorang mangsa, Mohd. Afendi Yahya, 32, dalam kejadian letupan gas di Loji Pemprosesan Petronas, Kerteh, Kemaman kelmarin yang meragut nyawa rakannya Mohd. Rosli Mansor, 31.

Menurutnya, beberapa saat sebelum letupan kuat itu berlaku, dia berada hanya beberapa meter dari penutup bay hole loji berkenaan iaitu tempat gas itu bocor dan meletup.

Jelas Mohd. Afendi, pada mulanya dia cuba mencari punca bunyi kebocoran gas itu dan apabila bunyi sama berulang sebanyak tiga kali, dia yang dapat menjangkakan sesuatu perkara buruk akan berlaku cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, jelasnya, belum sempat dia berbuat apa-apa, satu letupan kuat berlaku diikuti dengan percikan api dan pada masa itu dia tidak menyedari bahawa rakannya terjatuh ke dalam bay hole itu.

“Saya bernasib baik kerana hanya melecur sikit sebab kena percikan api tetapi nasib tak menyebelahi rakan saya,” katanya ketika menghadiri majlis pengkebumian Mohd. Rosli di Kampung Baru Kuala Abang dekat sini, semalam.

kosmo/-

Wanita kelihatan tua jalani rawatan

20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

WAJAH baharu Mai (dua dari kiri) kelihatan muda semasa dia bergambar dengan adik lelakinya (dua dari kanan) dan Chen (kiri) di Taipei semalam.

TAIPEI - Seorang wanita muda Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Mai yang kelihatan seperti berumur 70 tahun walaupun usianya baru 28 tahun kini menjalani rawatan perubatan di Taiwan, kata beberapa doktor semalam.

Mai mula menghidap sindrom Werner yang menyebabkan dia kelihatan tua sejak berumur 10 tahun.

Dia sebelum ini tidak mampu menjalani rawatan kerana mengalami masalah kewangan.

Menurut beberapa doktor di Hospital Universiti Perubatan China, dia sukar berjalan dan mengalami masalah kesihatan sebelum datang ke Taiwan pada April lalu.

Mai menjalani pembedahan plastik dan beberapa pembedahan lain bagi mempermudakan penampilannya, kata mereka.

Dia turut menjalani rawatan kulit dan paru-paru.

Doktor-doktor menyatakan, dia merupakan pesakit pertama sindrom tersebut di negara ini.

Wanita itu akan mengambil ubat-ubatan dan mengelak diri daripada terkena cahaya matahari.

"Saya seperti dilahirkan semula dan terdapat harapan dalam kehidupan saya," katanya menerusi jurubahasa di sini.

Semasa dia bergambar dengan adik lelakinya dan doktor pembedahan plastik, Hung-Chi Chen di sini semalam, wajahnya kelihatan semakin muda selepas dia menjalani rawatan. - Agensi

Hanya Abdul Raof yang berhak menyaman

20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

(Mustafa bersama para peguam yang mewakili PAS dan Harakah di Mahkamah Tinggi Shah Alam)

SHAH ALAM: Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara memberitahu mahkamah, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja yang berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Nor Hanis Mazlan, 27, Penolong Pendaftar Pertubuhan Malaysia berkata demikian kerika memberikan keterangan sebagai saksi defendan dalam kes saman Umno Selangor terhadap pemimpin PAS dan Harakah.

Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Mereka menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Nor Hanis ketika menjawab pertanyaan Peguam Asmuni Awi berhubung dengan Datuk Abdul Rauf Jusof yang dilantik sebagai Penjawat Awam Umno pada Pendaftar Pertubuhan.

Mengikut peraturan, kata Nur Hanis, sepatutnya Abdul Rauf sahaja berhak mengemukakan saman.

Nor Hanis bersetuju bahawa hanya Abdul Rauf sahaja berhak untuk membuat saman atau pendakwaan atau didakwa di mahkamah, malah Abdul Rauf juga bertindak mewakili Umno di seluruh negara.

Perkara tersebut telah ditetapkan di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Nor Hanis bertugas sebagai pegawai yang menjaga Umno di Jabatan Pendaftaran Malaysia, malah beliau juga mempunyai kuasa untuk akses kesemua dokumen berkaitan dengan Umno dalam Pendaftar Pertubuhan.

Ketika ditanya, adakah nama Umno Selangor didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, beliau menjelaskan tidak pasti, namun nama yang didaftarkan adalah Cawangan Badan Perhubungan Negeri Selangor.

Perbicaraan kes saman Umno Selangor terhadap pemimpin PAS, Harakah dan juga pencetakan ditunda pada 14 dan 15 Jun bagi mendengar keterangan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku pencetak.

Hakim, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan tiga orang saksi.

Mahkamah yang bersambung pada jam 3.15 petang tadi memanggil semula plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bagi menyambung semula keterangan yang beliau berikan semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman juga turut dipanggil memberi keterangan berkaitan artikel tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga turut hadir pada perbicaraan petang tadi.

harakahdaily/-

‘Kembar seiras’ rakan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Selama 16 tahun menggunakan kad pengenalan milik rakan yang mempunyai wajah miripnya, seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia dikesan melakukan pelbagai urusan termasuk membuat pinjaman bank, memohon lesen memandu serta mendaftarkan perkahwinan dengan seorang wanita tempatan.

Lelaki berasal dari Jawa Barat yang masuk ke negara ini 18 tahun lalu menggunakan pasport sah, tidak pulang ke negaranya, sebaliknya menetap secara haram di beberapa negeri sebelum melarikan diri ke Kuantan dan bertemu seorang warga tempatan yang menjadi rakan karibnya.

Secara kebetulan, wajah mereka hampir sama dan selepas berkawan baik selama beberapa tahun, rakannya itu menyerahkan kad pengenalan miliknya kerana kasihankan warga asing berkenaan.

Rakan lelaki terbabit membuat aduan mendakwa kad pengenalan miliknya hilang dan membawa salinan laporan polis ketika memohon membuat MyKad baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dengan kad pengenalan itu, pendatang asing berkenaan memulakan hidup baru sebagai buruh dan menyamar diri sebagai rakyat negara ini sehingga membolehkan dia membuat pinjaman bank untuk membeli kereta, mendapatkan lesen memandu dan berkahwin dengan seorang gadis tempatan hingga mendapat tiga cahaya mata.

Sekali imbas, sukar bagi mana-mana pihak mengatakan bahawa lelaki itu warga Indonesia kerana gaya pertuturannya sudah menyamai rakyat tempatan.

Bagaimanapun, tembelang lelaki berusia 40 tahun itu terbongkar apabila ditahan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pahang, Mohd Rozi Ghazali bersama pegawainya ketika membuat serbuan di kediaman lelaki terbabit di Jalan Darat Makbar, di sini, jam 11 pagi kelmarin.

Pengarah Imigresen Pahang, Datuk Mohamad Nasir Osman berkata, pihaknya mengintip gerak-geri lelaki terbabit sejak sebulan lalu termasuk mengenal pasti kediaman, jenis kenderaan serta pekerjaannya.

Menurutnya, ketika pintu rumah lelaki terbabit dibuka selepas diketuk beberapa kali, warga asing berkenaan kelihatan tenang memperkenalkan dirinya dan dengan senang hati menunjukkan ‘kad pengenalan bermutu tinggi’ yang didakwa miliknya itu.

Katanya, ketika meneliti kad pengenalan itu, pegawainya mendapati gambar terpampang padanya sama dengan wajah lelaki berkenaan, sekali gus menyebabkan pihaknya sukar mengesan identiti sebenar lelaki terbabit.

“Atas rasa curiga, kami membawa lelaki berkenaan ke JPN untuk pemeriksaan lanjut dan ketika itu, lelaki terbabit mula kelihatan tidak senang duduk dan cemas sepanjang perjalanan ke JPN.

“Belum sempat tiba di JPN, dia akhirnya mengaku statusnya sebagai pendatang dan menggunakan kad pengenalan bermutu tinggi milik rakannya sejak 16 tahun lalu iaitu selepas tarikh pasport miliknya tamat tempoh,” katanya di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, lelaki terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Ajil, Terengganu manakala pihaknya mengesan pemilik sebenar kad pengenalan dipegang lelaki itu.

metro/-

11 Mei 2012

'i-Hadir' kesan pelajar ponteng

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Kelantan menjadi perintis mengguna perisian yang dikenali sebagai 'i-Hadir' bagi mengenal pasti kehadiran pelajar ke sekolah dan mengesan pelajar ponteng.

Inovasi baru yang diperkenalkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Kelantan itu boleh diakses bila-bila masa serta memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa mengetahui kedatangan anak mereka ke sekolah.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, i-Hadir adalah aplikasi mudah, cepat dan tepat, dengan pihak sekolah akan memasukkan rekod kedatangan harian murid ke dalam komputer yang dilengkapi perisian berkenaan.

Pada masa sama, katanya, data itu boleh dipantau oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) walaupun berada di tempat lain.

“Sekiranya ada pelajar yang kerap tidak hadir, pihak JPN akan merujuk semula kepada pihak sekolah berhubung tindakan yang diambil.

“Secara tak langsung, aplikasi ini akan menjadi penghubung antara pihak sekolah dan PPD seterusnya JPN,” katanya pada majlis pelancaran i-Hadir pada perhimpunan ‘Bulanan Jabatan Pelajaran Kelantan di Dewan Bestari, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Kelantan, Rosnah Wan Ibrahim.
Perisian yang mula diguna dua bulan lalu itu adalah program perintis, dilihat mampu mengesan kehadiran pelajar ke sekolah dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah ponteng membabitkan pelajar sekolah bandar dan luar bandar.

berita harian/-

Mayat penumpang Sukhoi ditemui

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Cubaan rampas pesawat antara teori punca nahas

CIDAHU: Lima puluh penumpang kapal terbang penumpang baru buatan Russia disahkan maut selepas anggota pasukan penyelamat menemui mayat berhampiran bangkai pesawat berkenaan yang terhempas dekat kawasan gunung berapi di Indonesia ketika melakukan penerbangan ujian bagi menarik pembeli.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan cubaan merampas pesawat itu antara punca nahas.

Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter. - Gagah Prakoso, Jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan “Kami belum temui sesiapa yang terselamat tetapi masih meneruskan operasi mencari.

Saya tidak dapat cakap apa-apa mengenai keadaan mayat,” kata Prakoso sambil menambah pesawat berkelajuan tinggi itu dipercayai melanggar cerun, meletup dan berkecai.

Pihak berkuasa terputus hubungan dengan Sukhoi Superjet-100 sebaik berlepas dari lapangan terbang di Jakarta membawa wakil syarikat penerbangan Indonesia.

Kebanyakan mangsa adalah eksekutif syarikat penerbangan Batavia Airlines; Pelita Air; Air Aviastar dan Sriwijaya Air selain lima wartawan dan seorang wakil firma pengeluar pesawat Perancis. Tiada warga Malaysia terbabit dalam nahas itu.

Oleh kerana tempat kejadian terpencil, mayat perlu dimasukkan dalam jaring dan dibawa keluar dengan helikopter, kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat kebangsaan, Gagah Prakoso.

Mayat mangsa nahas kelmarin itu diterbangkan ke Jakarta untuk dikenal pasti oleh ahli keluarga.

Ahli keluarga kebanyakan menunggu semalamam di lapangan terbang menangis sebaik mendengar berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu.

Pesawat itu berlepas awal tengahari kelmarin untuk melakukan demonstrasi penerbangan.

Kira-kira 21 minit selepas itu, juruterbang dan pembantunya dari Russia meminta kebenaran turun dari ketinggian 3,000 meter ke 1,800 meter.

Pesawat itu kemudian hilang dari radar. Tidak diketahui mengapa krew meminta menukar laluan, katanya terutama apabila mereka terlalu hampir dengan gunung berapi setinggi 2,200 meter itu.

Komunikasi antara juruterbang dan kawalan lalu lintas udara juga disiasat, kata ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi.

Lebih 1,000 orang termasuk askar dan polis terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat terbabit. Helikopter yang melakukan pemantauan dari udara berhampiran gunung berapi itu menemui bangkai pesawat berkenaan.

Pesawat penumpang pertama buatan Russia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dua dekad lalu, melanggar rabung di Gunung Salak, gunung berapi yang tidak lagi aktif. – Agensi

Serangan berani mati di Damsyik

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GAMBAR menunjukkan lokasi dua letupan bom di Damsyik semalam.

DAMSYIK, Syria - Seramai 55 orang terbunuh dalam dua serangan pengebom berani mati yang menggegarkan ibu kota Syria di sini semalam.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, cebisan badan manusia bertaburan di beberapa jalan raya manakala banyak kenderaan turut rosak.

Menurut kementerian berkenaan, serangan kali ini adalah yang terburuk sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.

Kebangkitan menentang kepimpinan Bashar bermula sejak 14 bulan lalu.

Letupan berkembar itu memusnahkan bahagian hadapan sebuah bangunan perisikan tentera yang menjadi sasaran serangan itu.

Menurut kenyataan yang sama, lebih 370 orang cedera dalam letupan tersebut dan ia melibatkan bahan letupan seberat 1,000 kilogram.

Beberapa saksi memberitahu, letupan pertama menarik perhatian orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Satu lagi letupan kuat berlaku beberapa saat kemudian.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggung jawab melancarkan serangan itu. - AGENSI