30 Mei 2012

Empat maut nahas ngeri di Miri

9 Rejab 1433H. [MOD] -

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat salah seorang mangsa kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori tangki di Kampung Agus, Bekenu di Miri semalam.

MIRI - Empat lelaki termasuk tiga beradik maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan sebuah lori tangki di Kampung Agus, Bekenu di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, Sarbini Senen, 25, Mohamad Syafik, 17, serta seorang rakan, Nazri Sanawi, 18, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Ikmal Alif, 9, maut ketika dalam perjalanan ke klinik berdekatan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, dalam kejadian tersebut, kereta yang dipandu Sarbini dalam perjalanan dari Miri ke arah Bintulu.

"Setibanya di tempat kejadian, Perodua Viva tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan.

"Sebuah lori tangki yang datang dari depan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

kosmo/-

Racun, dadah dalam seluar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang peniaga dijatuhi hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki racun yang dilarang dan dadah seberat 0.12 gram, Januari lalu.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusaini Besar, 40, dari Kampung Lundang di sini.

Mahkamah mengenakan hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama, penjara lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan penjara enam bulan bagi pertuduhan ketiga.

Beliau bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Januari lalu. Mohd Yusaini yang berada di dalam kandang tertuduh hanya mampu menundukkan wajahnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan Yusaini, dia didakwa memiliki 20 biji tablet berwarna merah yang mengandungi Promethazine dan dua tablet berwarna putih mengandungi Pseudoephedrine yang disenaraikan dalam jadual pertama Akta Racun 1952.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Raun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduaduanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki lapan biji tablet berwarna biru yang mengandungi Diazepam yang didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Yusaini didakwa memiliki dadah jenis Dihydrocodeine seberat 0.12 gram yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Kesemua kesalahan dilakukan di rumah Lot 163- A, Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini pada jam 12.30 tengah hari, 8 Januari 2012.

Terdahulu, Yusaini yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam memohon hukuman setimpal yang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh serta mengambil kira kesalahan membabitkan dadah semakin berleluasa di negeri ini.

Sinar Harian

Wanita dituduh tipu barang kemas, wang

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang penganggur wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu barang kemas dan wang tunai berjumlah RM17,000, milik seorang pesara guru, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Zunaidah Abdullah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, Zunaidah didakwa memperdaya Wan Fatimah@Wan Hasmah Yaacob,75, hingga mangsa menyerahkan sebentuk cincin belah rotan emas, dua cincin berlian, seutas gelang tangan berlian, dua kerongsang emas bercampur berlian serta wang tunai berjumlah RM17,000.

Dia dikatakan memperdaya warga emas berkenaan di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra pada bulan Oktober 2011 dengan alasan merawat suaminya di hospital serta mengeluarkan anak dari penjara.

Bagi kesalahan itu, Zunaidah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hafiz Abd Rahman menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin sebelum Zunaidah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Kes disambung Zunaidah dihadap ke mahkamah, semalam. 18 Jun depan.

Sinar Harian

Penambahan mendadak pengundi dalam satu rumah

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Data penambahan pengundi untuk 3 jalan yang terlibat :

Adalah mustahil pendaftaran "pengundi hantu" di Kg Pandan dapat dilakukan tanpa bantuan atau restu "pihak atasan".

Pada 25 Mei lepas, pejabat ini mendedahkan bahawa untuk 3 jalan di Kg Pandan terdapat peningkatan pengundi yang luar biasa dari tahun 2007 hingga 2011. Lebih 300 pengundi baru telah didaftarkan di jalan-jalan itu dan ramai penghuni rumah tidak mengenali pengundi-pengundi yang telah didaftarkan di alamat rumah mereka.

Bagi mendaftarkan pengundi kepada sesuatu alamat, MyKad pengundi tersebut mestilah menyatakan alamat itu. Oleh itu, untuk mendaftarkan beratus-ratus pengundi ke alamat-alamat di Kg Pandan, kesemua mereka mestilah menukar MyKad mereka.

Tetapi adalah mustahil bagi mereka sebagai individu untuk menukar MyKad mereka beramai-ramai di Jabatan Pendaftaran Negara. Oleh itu, ada kemungkinan pengundi-pengundi tersebut mendapat bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Setakat ini yang telah didedahkan adalah untuk 3 jalan dan melibatkan lebih 300 pengundi. Tetapi ia mungkin melibatkan lebih ramai pengundi di daerah-daerah mengundi yang lain di Chempaka. Maka tidak mustahil ianya adalah sebahagian dari satu operasi bersepadu.

Persoalannya mengapakah Suruhanjaya Pilihan Raya tidak sedar akan penambahan pengundi yang mendadak ini?

Satu siasatan yang terperinci perlu dilakukan. Ianya perlu untuk mengenalpasti pihak yang bertanggung jawab mendaftarkan "pengundi-pengundi hantu" tersebut.

Daftar pemilih masih tidak kelihatan bersih. Amat payah bagi SPR untuk meyakinkan rakyat bahawa proses pilihanraya di Malaysia adalah bersih, bebas dan adil.Penambahan mendadak pengundi dalam satu rumah.

harakahdaily/-

Najib hanya berani di gelanggang sendiri

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya berani berani bercakap melalui medium yang dikuasainya untuk mengutuk Pakatan Rakyat.

Timbalan ketuanya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sikap Najib yang mengutuk segala dasar dan tawaran Pakatan Rakyat dari belakang dan enggan berdepan dalam pentas debat untuk mendengar jawapan balas adalah sikap seorang penakut.

"Beliau bebas bercakap apabila tidak ada pihak yang mampu menjawab langsung hujah beliau di atas pentas tersebut manakala media pula dikawal beliau sepenuhnya.

"Beliau hanya lantang bersuara dalam gelanggang miliknya tetapi kecut apabila diajak berdebat satu lawan satu dengan musuh politik beliau," katanya.

Najib sebelum ini mengeluarkan kenyataannya di media mengutuk cadangan ekonomi Pakatan Rakyat (PR) sebagai janji populis yang direka untuk mendapat kuasa.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mencabar Najib berdebat untuk beliu menjawab segala tuduhan Najib secara berdepan dengan hujah dan fakta.

Tetapi sehingga kini, Najib terus mengelak dan tidak menjawab cabaran berdebat dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu.

"Jika benar tuduhan PM bahawa PR hanya janji populis, DPPWP mencabar PM supaya menerima pelawaan debat antara beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tuduhan beliau perlu dilemparkan di pentas berdebat dan juga peluang mendengar hujah balas daripada PR berkenaan tawaran mereka. Barulah rakyat kenal siapa yang retorik, populis dan siapa pula yang bersikap realistik," kata Suhaimi.

Harakah Daily

Sudah jelas, penyenaraian FGVH untuk kroni

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) adalah tepat kerana akhirnya ia semakin kelihatan untuk kepentingan Umno dan kroninya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Sepatutnya 120,000 peneroka yang membangunkan Felda dengan keringat mereka yang menjadi penerima manfaat terbesar.

"Tapi mereka hanya dapat 2.5 peratus atau 91 juta unit saham sahaja berbanding 11.5 peratus atau 420 juta saham yang akan diperolehi oleh pelabur-pelabur Bumiputera yang disokong oleh kerajaan di mana majoritinya dipercayai mewakili Umno atau kroni-kroni Umno," kata beliau.

Sebab itulah, kata Salahuddin, sejak awal lagi PAS menentang usaha Umno yang beria-ia dan berkeras mahu menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia.

"Pengalaman kita melihat dan menerima akibat dari tindak tanduk Umno mengajar kita untuk menjangka bahawa tujuan utama penyenaraian itu adalah untuk memakmurkan Umno dan kroni-kroninya.

"Dakwaan kononnya mahu meningkatkan taraf hidup peneroka-peneroka Felda hanya dakwaan bersifat kosmetik semata-mata," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sebab itulah, katanya, begitu ramai rakyat dan peneroka Felda sendiri yang sudah menjangka bahawa penyenaraian ini bukan untuk menarik keluar peneroka daripada kepungan kemiskinan, tetapi dilihat semata-mata untuk memenuhi tamak haloba Umno dan kroni-kroninya.

"Tentu ramai yang tidak akan terkejut jika (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) akhirnya nanti akan dilihat sebagai arkitek penipuan yang memangsakan para peneroka Felda," katanya.

Sudah menjadi pengetahuan umum, kata Salahuddin, Felda ditubuhkan untuk menarik rakyat khususnya orang Melayu keluar dari belenggu kemiskinan.

"Amat malang apabila penyenaraian FGVH akhirnya menjadikan Felda sebagai kuda tunggangan untuk kemakmuran Umno dan kroni-kroninya," katanya.

Dalam penyenaraian itu, hatta kakitangan Felda lebih beruntung apabila menerima 109 juta saham (tiga peratus) serta pelabur-pelabur institusional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) diperuntukkan 1.5 bilion saham FGVH.

Harakah Daily

Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa Cina di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata Soi Lek seharusnya tidak begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.

Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka dipertimbangkan.

Jelas Takiyuddin lagi, tidak timbul kerajaan negeri menolak dan tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

“Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.

“Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya,” ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan.

Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.

Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan Islam.

“Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak lawan tidak mengambil kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni bina Islam.

Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam, bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan ciri-ciri itu.

Harakah Daily

Masih hidup disangka mati

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Disangka mati selepas terjun ke dalam Tasik Raja Lumu di sini, rupa-rupanya dia masih hidup dan sedang bekerja. Itu yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 32 tahun yang disangkakan mati selepas beg pakaiannya ditemui terapung di permukaan tasik berkenaan, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), polis serta dibantu anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula jam kira-kira jam 5 pagi, semalam, pada mulanya dilaksanakan selepas bilik gerakan mendapat panggilan seorang wanita mengatakan nampak seorang wanita lain terjun di tasik itu.

Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat hanya menemui dua beg termasuk satu beg terapung berisi pakaian dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber polis berkata, selepas melihat alamat tertera di sijil itu, pihaknya menghubungi polis Terengganu untuk mengesan keluarga ‘mangsa’.

“Kami hubungi pihak keluarga berdasarkan alamat itu. Pada mulanya bapa kepada lelaki yang memiliki sijil SPM itu tidak mahu bekerjasama bimbang anaknya terbabit dalam kes jenayah.

“Tetapi kami menerangkan perkara sebenar kemungkinan anaknya terjun di tasik sebelum dia bersetuju memberi nombor telefon anaknya.

“Kami menghubungi pemilik sijil itu dan dia terkejut apabila diberitahu beg pakaiannya ditemui timbul di Tasik Raja Lumu. Lelaki berusia 32 tahun itu mengakui sebelum ini dia menumpang di surau berhampiran tasik itu selama dua bulan selepas berhijrah dari Terengganu untuk mencari kerja.

“Kini dia bekerja di Pelabuhan Klang dan akan hadir ke balai polis untuk mengambil beg berisi pakaian dan sijil miliknya itu,” kata sumber polis ketika ditemui pada operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob yang dihubungi mengesahkan laporan bagaimanapun berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dikatakan wanita itu tetap diteruskan.

“Kami akan lebih fokus kepada usaha mencari dan menyelamat. Siasatan setakat ini menjurus kepada kes bunuh diri.

“Siasatan mengenai saksi yang memanggil talian kecemasan 999 sama ada membuat laporan palsu atau tidak, itu kita kira kemudian,” katanya.

Difahamkan, polis sedang mencari alamat pemanggil wanita misteri itu berdasarkan pendaftaran talian telefon bimbitnya berikutan dia tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu jam 4.48 pagi semalam.

metro/-

Umno BN guna ulama luar untuk terus berkuasa

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Umno BN terpaksa mengguna khidmat ulama luar negara memastikan terus mereka berkuasa di negara ini,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, isu agama adalah umpan untuk menarik sokongan pengundi kepada Umno dan BN.

Sebelum ini, katanya Umno BN telah berjaya menggunakan ulama rasmi dengan mengeluarkan fatwa Bersih 3.0 haram.

Terbaru, ujarnya kenyataan dikeluarkan ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah satu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Persoalannya, kata Idris adakah Sheikh Dr Sulaiman mengetahui keadaan politik dan dasar politik di negara ini.

“Beliau memberi fatwa mengenai politik sedangkan beliau tidak pernah berada di dalam suasana politik demokrasi.

“Bagaimana beliau boleh bercakap tentang politik kepartian sedangkan beliau duduk di negara yang tidak membenarkan parti politik ditubuhkan di negara ini.

“Betulkah disiplin seorang ulama yang memberi fatwa sedangkan beliau tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai suatu perkara yang hendak difatwakan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya lagi kerajaan juga akan menganjurkan seminar Feqh Mentaati Pemimpin pada 15 Jun ini.

Di antara yang akan membentang ialah bekas Canselor Universiti Al-Azhar Mesir Syeikh Prof Dr Umar Hashim, Mufti Palestin Syeikh Ekrima Sa’id Sabri dan Imam Masjidil Haram Mekah Syeikh Maher Al-Mueaqly.

“Seminar ini sudah kita boleh buat rumusan bahawa semua rakyat wajib sokong BN dan tolak PR. Inilah sebenarnya tujuan seminar ini dibuat,” ujarnya.

Harakah Daily

Raptai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menjelang Himpunan Hijau Menuju Putrajaya 1 Jun ini, pelbagai persiapan giat dilakukan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Selain khemah-khemah yang sudah mula dipasang, raptai tentang program itu juga akan dijalankan hari ini, khususnya bagi program Amanat Presiden, yang dijadualkan di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Alor Setar.

Pengarah program tersebut, Datuk Mahfuz Omar, berkata selain raptai bagi program Amanat Presiden itu, raptai bagi program Himpunan Hijau juga akan diadakan pada 31 Mei ini.

"Penyediaan raptai ini bagi memastikan segala perancangan kita dapat berjalan dengan baik. Dengan raptai, kita dapat melihat mana-mana kekurangan dan akan perbaikinya secepat mungkin," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS juga berkata, kira-kira 200 tapak gerai telah habis dijual sempena program tersebut.

Tambahnya, pihak urusetia masih mendapat permintaan daripada peniaga yang inginkan tapak gerai, namun tidak dapat dipenuhi memandangkan ruang yang terhad.

"Pihak urusetia memohon banyak kemaafan kerana ruang agak terhad. Ruang yang ada ini kita khaskan untuk para peserta program, parkir dan sebagainya, yang terpaksa kita kosongkan," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berkata program ini tidak menjemput wakil dari luar negara memandangkan fokus program ini untuk menuju ke Putrajaya.

Bagaimanapun, wakil pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat Kedah, dijangka akan menyerikan program ini sebagai 'tuan rumah'.

Selain pimpinan Pakatan Rakyat Kedah, beberapa selebriti tanah air juga dijangka turut memeriahkan program ini yang mensasarkan kehadiran ahli PAS dari seluruh negara.

Harakah Daily

Asalkan bukan Umno, PR putuskan PM beragama Islam

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Asalkan bukan Umno, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yakin rakyat bersetuju dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) bahawa Perdana Menteri adalah seorang yang beragama Islam.

"Yang ditolak oleh tiga juta dari dari 5.7 juta pengundi Melayu dalam pilihan raya umum yang lalu ialah perdana menteri dari Umno dan BN (Barisan Nasional).

"Yang ditolak oleh 51 peratus undi popular yang tidak mengundi BN dalam pilihan raya umum yang lalu ialah perdana menteri dari Umno dan BN.

"Mereka tidak tolak perdana menteri yang beragama Islam seperti yang dipersetujui oleh PR," katanya.

Mahfuz yakin majoriti pengundi, sama ada Melayu atau bukan Melayu, tidak mempunyai sebarang masalah dengan keputusan PR itu.

"Mereka tidak ada masalah dengan keputusan itu kerana seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar itu adil kepada semua.

"Yang sangat ditakuti tidak adil oleh rakyat ialah perdana menteri dari Umno dan BN.

"Sebab itulah, asalkan bukan dari Umno dan BN, tidak ada masalah bagi majoriti rakyat menerima seorang yang beragama Islam menjadi perdana menteri seperti yang ditetapkan PR," katanya.

Jangan lari fokus

Mahfuz berharap semua pihak memberi tumpuan kepada isu yang sebenarnya iaitu menyelamatkan negara ini dari terus dikuasai pentadbiran dan perdana menteri dari Umno dan BN.

"Itu ancaman sebenarnya ke atas negara ini dan itu isu yang perlu diperjuangkan.

"Isu sebenarnya bukanlah untuk mengungkitkan lagi apa yang telah diputuskan oleh parti-parti di dalam PR, isu yang perlu diperjuangkan ialah bagaimana hendak menamatkan ancaman sebenar ke atas negara ini iaitu seorang perdana menteri dari Umno dan BN.

"Fokus kepada perkara itu dan jangan lari fokus," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berkata, semua pihak sepatut menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk memperjuangkan seorang bukan Melayu menyandang jawatan perdana menteri sebagai tidak mungkin berlaku berdasarkan realiti yang ada.

"Walaupun kita mengakui ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara tetapi ia tidak berbangkit lagi berdasarkan kenyataan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang mengenai perkara itu," katanya.

Roketkini memetik Lim berkata: "Tetapi kita (DAP) menerima hakikat politik bahawa, selagi Karpal dan saya masih hidup, realitinya adalah Melayu yang akan menjadi Perdana Menteri, dan bukannya dari kalangan kaum bukan Melayu".

Bagi Mahfuz, apa yang dinyatakan oleh Karpal itu adalah pandangan peribadinya.

"(Bekas Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir (Mohama) pernah berkata bahawa sesiapa sahaja, sama ada Melayu atau bukan Melayu, boleh menjadi perdana menteri.

"Adakah kenyataan itu mewakili perjuangan Umno dan BN?" tanya beliau.

Lim sebelum ini mengutuk akhbar-akhbar pro Umno dan BN yang memutarbelitkan isu itu.

Harakah Daily

Adam Akbar tunggu keputusan panel pakar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Perbincangan 101 panel pakar dilantik untuk menyiasat kes Adam Akbar Ali, 10 , menghidap penyakit tumor saraf tunjang, memberi harapan kepada keluarganya bahawa Adam masih ada peluang menerima rawatan terbaik.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, kebanyakan panel dilantik merupakan pakar neurologi dari beberapa hospital seluruh negara telah mengadakan pemeriksaan fizikal dan berbincang langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan penderitaan Adam.

Bagaimanapun, keputusan terhadap perbincangan mengenai Adam belum diperoleh dan beliau berharap ia akan memberikan berita gembira kepada mereka sekeluarga.

“Sebagai seorang bapa, saya sentiasa berdoa Adam kembali ceria dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak- kanak lain. Kini keadaan Adam semakin stabil walaupun kepalanya masih ke kiri setelah menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mula-mula dikejarkan ke HKL pada Sabtu lepas, keadaan Adam kritikal iaitu sukar bernafas dan kepalanya ke kiri menyebabkan beliau tidak berhenti menangis kerana kesakitan di bahagian leher dan anggota badan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beliau berharap Adam tidak akan lagi diserang sukar bernafas kerana mereka sekeluarga tidak sanggup melihat kesakitan yang ditanggung Adam.

“Alhamdulillah, Adam sudah boleh bergerak seperti biasa dan kini bersama saudara-mara isteri saya di Cheras yang datang untuk melawat beliau sempena cuti sekolah,” katanya.

Akbar berharap keputusan perbincangan panel pakar itu akan memberikan pembaharuan yang positif dan tahap kesihatan Adam akan bertambah baik.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan sesuatu untuk membantu Adam apabila mendapat laporan siasatan Adam.

“Saya tidak mampu kerana kekangan kewangan, tetapi saya cuba untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam dan kini saya berusaha mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Adam iaitu RM175,00 ,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat mengurangkan kos pembedahan Adam memberikan kekuatan kepada keluarganya dan mereka sentiasa berdoa pembedahan dapat dijalankan dengan segera.

“Saya bersyukur dan jutaan terima kasih kepada penderma kepada Adam kerana jumlah yang terkumpul semakin meningkat kepada RM46,317. Saya berharap ia akan meningkat untuk membantu meringankan penderitaan Adam yang menderita sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank (5121010 54830) dan Bank Islam (12038025182964).

Sinar Harian

15 terbunuh gempa bumi di Itali

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SEBUAH bangunan runtuh di bandar Cavezzo selepas gempa bumi melanda utara Itali semalam.

FELICE SUL PANARO, Itali - Satu gempa bumi kuat menggegarkan utara Itali semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa bumi yang membawa banyak kematian dan kemusnahan.

Angka korban tersebut disahkan oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Itali dengan pasukan penyelamat masih mencari sekitar empat atau lima orang yang dikhuatiri masih hilang.

"Saya terpaksa keluar dari bangunan, kami digegarkan dengan gempa yang kuat dan lama," kata seorang jurucakap agensi berkenaan di Mantua.

Pihak berkuasa memberitahu, bahagian utara Itali dilanda tiga gegaran dengan kekuatan hingga 5.3 pada skala Richter antara pukul 10.56 pagi hingga 11.01 pagi (waktu tempatan).

Siri gegaran tersebut menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 5.8 berlaku pada pukul 7 pagi ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Setiap bangunan di bandar ini runtuh," kata seorang anggota bomba di bandar Cavezzo kepada akhbar tempatan, Corriere della Sera.

Menurut Institut Geografi Modena, gempa bumi pertama berlaku sekitar 60 kilometer ke timur Parma dengan menyebabkan orang awam berlari ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri.

Selain Parma, gegaran turut dirasakan di bandar raya Pisa dan Venice.

Pihak berkuasa Itali memberitahu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka manakala kediaman sementara bagi menempatkan 4,000 mangsa bencana itu akan siap didirikan pada hari yang sama.

Gempa bumi semalam menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 melanda utara negara itu pada 20 Mei lalu yang meragut enam nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa bermalam di khemah-khemah sementara. - AFP

Macam dirasuk

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PERIKSA...anggota Unit Forensik polis memeriksa rumah mangsa.

RAWAT...Juriah ditemani ahli keluarganya di HPSF, semalam.

MUAR: “Dia (suspek) bagaikan dirasuk. Walaupun melihat suami tidak berdaya dan berlumuran darah, dia terus menetak hingga kakaknya dan beberapa jiran datang menghalangnya.

“Ketika itu, mak cik tak dapat buat apa-apa kerana ditetak di kepala dan badan menyebabkan mak cik merangkak ke depan pintu dan menjerit minta tolong,” kata warga emas, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, menceritakan kejadian menyayat hati di rumahnya di Kampung Parit Kerinchi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.41 pagi itu, Juriah dan suaminya, Revuan@Reduan Harun, 73, hanya berdua di rumah sebelum tiba-tiba pintu depan rumah mereka ditendang suspek, wanita berusia 22 tahun yang juga jiran mangsa.

“Ketika itu, mak cik sibuk menyiapkan bahan untuk memasak di dapur, manakala arwah (suami) berehat di ruang depan sebelum kami terdengar pintu depan ditendang kuat.

“Sejurus kemudian, seorang wanita dalam keadaan tidak terurus meluru masuk dan menjerit meminta tolong.

“Saya dan suami memarahi kelakuannya kerana menyebabkan kami terkejut, namun dia tidak mengendahkannya lalu mencapai parang di kawasan berhampiran dan menyerang kami bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui selepas mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.

metro/-

Amcham: Perhimpunan BERSIH tidak jejas pelaburan

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Dewan Perniagaan Amerika (Amcham) tidak melihat sebarang impak ke atas sentimen pelabur di kalangan ahlinya selepas siri perhimpunan BERSIH dijalankan.

Gabenor Amcham, Wong Siew Hai (kanan) berkata kajian oleh Malaysian American Electronics Industry malah mendapati pelaburan meningkat sejak tahun lalu.

Beliau berpendapat bahawa perhimpunan berkenaan tidak memberikan impak dan kebanyakan syarikat anggotanya semakin berkembang.

Pelabur hanya "memerhati dari sisi" namun dijangka tidak mengurangkan pelaburan mereka, katanya kepada pemberita di persidangan Invest Malaysia 2012 di Kuala Lumpur hari ini.

Ada di kalangan syarikat berkenaan turut membuka pejabat serantau mereka di sini, katanya lagi.

malaysiakini/-