13 Jun 2012

Yemen tawan semula pekan Jaar

23 Rejab 1433H. [MOD] -

Tentera Yemen melepaskan tembakan roket ke arah kubu al-Qaeda di Loder, selatan wilayah Abyan pada 10 Jun lalu. Tentera Yemen berjaya menawan semula pekan Jaar daripada militan al-Qaeda selepas berlaku pertempuran sengit di pekan itu, semalam. - AFP

Tentera Yemen berjaya menawan semula pekan Jaar, hari ini selepas berlaku satu pertempuran sengit dengan militan al-Qaeda, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh.

Menurut saksi, saki-baki kumpulan militan tersebut telah berundur ke kawasan berdekatan Shuqra selepas tentera melancarkan serangan secara besar-besaran.

Penduduk tempatan berkata, mereka melihat kenderaan yang membawa militan dan senjata menuju ke timur Shuqra, yang dipercayai merupakan tempat persembunyian pemimpin al-Qaeda.

Kementerian Pertahanan berkata, sementara itu, pihak tentera masih berusaha untuk merampas semula wilayah Abyan yang ditawan oleh militan pada tahun lalu selepas meletus pemberontakan menentang Presiden Ali Abdullah Salleh pada tahun lalu.

Kumpulan pengganas itu turut menyebarkan risalah memohon maaf kepada penduduk tempatan atas kemusnahan di pekan Jaar akibat pertempuran antara kedua-dua belah pihak.

Namun, tentera kerajaan yang disokong Amerika Syarikat itu tidak memasuki Jaar dan mengekalkan kedudukan mereka dua kilometer dari pekan tersebut setakat awal pagi ini.

Sekurang-kurangnya 485 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 368 militan, 72 tentera, 26 anggota kumpulan bersenjata tempatan dan 19 orang awam sejak berlaku pertempuran dengan militan pada tahun lalu.

- REUTERS/AFP

Pesawat Mirage milik Pakistan terhempas di Uthal

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KARACHI 13 Jun - Sebuah pesawat Mirage milik Pakistan terhempas di selatan negara itu ketika melakukan latihan rutin semalam.

Jurucakap Tentera Udara Pakistan, Ketua Skuadron Mohammad Nadeem memaklumkan, pesawat itu terhempas berhampiran Uthal, Baluchistan.

Menurut beliau, nahas berlaku selepas pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Masroor, Karachi .

Bagaimanapun katanya, juruterbang pesawat itu terselamat dan tiada kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta awam dilaporkan dan pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian.

Nahas tersebut merupakan yang kedua melibatkan pesawat dalam tempoh sebulan. - AFP

Wanita pura-pura jadi pelanggan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat rawatan dan kecantikan di Jalan Tun Dr Ismail di sini, sebelum melarikan beberapa barangan berharga, dipercayai milik pekerja pusat rawatan itu, dalam kejadian 9 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, wanita terbabit mengambil kesempatan melarikan beberapa barangan yang ditinggalkan di atas meja semasa ketiadaan pekerja di pusat rawatan itu.

“Wanita berusia lingkungan 30-an itu melarikan beberapa barangan dan wang tunai RM2,000, dengan anggaran kerugian RM7,000," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Hamdan berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menulis maklumat palsu mengenai butir peribadi ketika mengisi borang untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit.

Bagaimanapun menurutnya, perbuatan wanita itu berjaya dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil rakaman jelas menunjukkan wanita yang memiliki saiz tubuh besar seperti sedang mengandung itu melarikan barangan terbabit.

"Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian hotline 06-6014999 atau balai polis berdekatan," katanya.

Sinar Harian

Sembelih emak saudara

23 Rejab 1433H. [MOD] -

TAMPIN - Hanya kerana salah faham, seorang pembantu makmal sekolah di Gemencheh, parah dikelar di lehernya, oleh anak saudaranya.

Kejadian berlaku di dalam kereta mangsa, berhampiran Pasar Besar Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek seorang wanita yang berperwatakan lelaki (tomboi) berusia 26 tahun, datang ke tempat kerja mangsa untuk menyelesaikan salah faham tetapi mangsa meminta suspek menunggu sehingga tamat waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.

“Orang awam yang melalui lokasi kejadian iaitu di tepi jalan yang hanya kurang 100 meter dari lokasi mangsa bekerja segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Mangsa parah dikelar menggunakan pisau dan dikejarkan ke Hospital Tampin, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya, semalam.

Suspek berjaya ditahan

Kooi Cheang berkata, suspek yang nekad melarikan diri menggunakan kereta mangsa berjaya ditahan semasa bapanya menghantarnya untuk menyerah diri di Balai Polis Tampin, kirakira jam 12 tengah malam, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis berjaya menemui sebilah pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa yang dibuang di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.

Terkejut sepupu sendiri kelar ibu

Sementara itu, anak mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata, dia amat terperanjat apabila mengetahui suspek yang mengelar leher ibunya adalah sepupunya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Taha itu berkata, dia mengetahui kejadian itu sejurus pulang ke rumah di Kampung Jelawai, kira-kira jam 7 petang, kelmarin.

“Sebaik pulang dari rumah kawan, saya dapati rumah gelap dan tiada orang. Kebiasaannya ayah, mak dan abang ada di rumah.

“Tidak lama kemudian, seorang jiran memaklumkan mak saya cedera parah dikelar di leher dan dikejarkan ke hospital,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali sepupunya itu sejak tahun lalu dan hubungan mereka sememangnya amat rapat.

"Saya tidak sangka dia akan melakukan tindakan seperti ini kerana kami sekeluarga rapat dengan keluarganya.

“Mungkin ada salah faham antara mak dengannya, menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya. Nurul Aishah berkata, suspek yang juga anak buah ibunya jarang datang ke rumahnya.

“Sebelum ini dia berhijrah ke bandar dan pernah bekerja di Singapura.

Kali terakhir kami jumpa adalah tiga bulan lalu,” katanya.

Ibu suspek mohon maaf

Ibu suspek yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar berkata, dia sekeluarga datang ke hospital untuk melawat dan memohon maaf kepada mangsa atas tindakan anaknya itu.

“Hubungan kami dengan keluarga mangsa memang tiada masalah. Saya tidak tahu kenapa anak saya tergamak melakukan semua ini.

"Mungkin ada masalah antaranya dengan makciknya tetapi saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak saya,” katanya.

Sinar Harian

Lebih 50 maut gempa di Afghan

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SALAH satu lokasi yang mengalami gegaran gempa bumi di wilayah Baghlan kelmarin.

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan - Lebih 50 orang dikhuatiri terbunuh dalam runtuhan akibat dua gempa bumi yang menyebabkan tanah runtuh sekali gus meranapkan rumah-rumah di utara Afghanistan semalam.

Sehari selepas gempa itu berlaku, kira-kira 50 hingga 70 orang mungkin terperangkap di bawah runtuhan di daerah Burka.

Daerah itu merupakan kawasan yang paling banyak mengalami kemusnahan.

"Mereka mungkin telah mati kerana terdapat banyak runtuhan tanah. Menggali tanah itu agak sukar," kata gabenor di wilayah Baghlan, Munishi Abdul Majeed.

Ketua pasukan bantuan bencana alam tempatan, Mohammad Nasir Kohzad berkata, lebih banyak pasukan menyelamat dari Kabul telah dihantar ke lokasi bencana.

Dua gempa bumi berukuran 5.4 dan 5.7 pada skala Richter itu menggegarkan kawasan pergunungan Hindu Kush selang setengah jam kelmarin.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 170 kilometer ke utara Kabul.

Gempa bumi yang pertama berpusat 160 kilometer ke barat daya bandar Faizabad dengan kedalaman 15 kilometer.

Satu lagi gempa bumi berpusat di kawasan yang hampir sama. - Agensi

Tukang cat edar dadah dicekup

23 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Taktik seorang lelaki bersama dua teman wanita warga asing menggunakan rumah teres satu tingkat untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan berjaya ditumpaskan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi hampir sebulan lalu dengan menyewa rumah di taman perumahan di Kuala Kedah.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang berada di rumah itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang kelmarin dalam operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Kedah.

“Lelaki rakyat tempatan bekerja sebagai tukang cat rumah berumur 41 tahun. Dua teman wanitanya seorang warga Thailand berumur 39 tahun manakala seorang lagi tidak mempunyai pengenalan diri namun dipercayai warga Myanmar berumur 30 tahun.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin anggaran 1.175 kilogram (kg) dan syabu 2.04 gram dengan nilai rampasan mengikut pasaran sekitar RM44,100 yang dijumpai dalam bilik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Hadir sama timbalannya, Asisten Superintendan Mior Abdul Khalil dan pegawai penyiasat Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.

Abd Razak berkata, beberapa barangan seperti peralatan menimbang dadah, sebuah kereta Proton Perdana V6, wang tunai RM7,000 dan Thai Baht 41,500 turut disita.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses membungkus dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Namun kita masih meneruskan siasatan untuk memastikan sindiket yang sama pernah beroperasi di tempat lain sebelum ini atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan saringan ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.

Sinar Harian

Jaminan PM Diperlukan Untuk Hilang Keresahan Bakal Jamaah Haji

23 Rejab 1433H. [MOD] -

PAS mendesak Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini.

Jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jamaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi.

Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

Selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu.

Kalau mereka sebagai pengundi tidak seberat tekanan sekiranya dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya. Tambahan pula, seandainya pilihanraya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Ini sudah tentu akan meninggalkan kesan yang besar kepada keputusan dan peratusan keluar mengundi. Ini melibatkan semua parti politik, dan apa yang penting ialah hak rakyat dalam sistem demokrasi hendaklah dihormati.

Tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam rahsia tarikh pilihanraya telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar.

Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak.

PAS melihat kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihanraya membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Maut ditikam

23 Rejab 1433H. [MOD] -

SELAYANG - Seorang lelaki, R Sivanesan, 36, yang sedang berbual bersama abang dan dua lagi rakannya maut ditikam di Taman Sri Murni Jinjang, semalam.

Menurut sumber, sewaktu kejadian sekitar jam 4.30 petang itu sebuah kereta jenis Waja melanggar motosikal milik salah seorang rakannya sebelum keluar membawa parang.

“Mangsa cuba melarikan diri sebelum dua lagi kenderaan tiba serta mengejar mangsa.

“Mangsa dicederakan menggunakan alatan tajam dan disahkan mati ketika sedang mendapatkan rawatan diHospital Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tentera Syria bedil Al-Haffe

23 Rejab 1433H. [MOD] -

IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan asap menjulang tinggi semasa pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang Bashar di Homs.

DAMSYIK - Tentera rejim pemerintah Syria membedil bandar Al-Haffe di utara negara berkenaan untuk hari kelapan semalam.

Perkembangan tersebut mencetuskan kebimbangan akan berlaku pembunuhan beramai-ramai terbaharu di Syria.

Serangan berkenaan turut mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut agar pasukan pemerhatinya diberikan akses untuk melawat bandar itu.

Seorang pegawai pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi memberitahu agensi berita AFP bahawa tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad menggunakan meriam berat untuk membedil bandar berkenaan sementara mengumpul kekuatan untuk melakukan serangan darat.

Beberapa penduduk Al-Haffe memberitahu bahawa helikopter-helikopter tempur membedil kedudukan pemberontak di bandar itu.

Mereka bimbang tragedi pembunuhan beramai-ramai akan berlaku jika tentera Bashar memasuki Al-Haffe.

Sebelum ini, 55 orang maut dalam pembunuhan beramai-ramai di Al-Kubeir pada minggu lalu dan sekurang-kurangnya 108 mangsa lagi dibunuh dekat Houla pada 25 dan 26 Mei lalu.

Bandar Al-Haffe dianggap strategik kerana terletak berdekatan bandar kelahiran Bashar, Qardaha.

Menurut Abdel Rahman, terdapat ratusan anggota Tentera Pembebasan Syria yang masih aktif dalam dan di sekitar Al-Haffe.

Bandar yang terletak dalam wilayah Latakia dan dihuni oleh sekitar 30,000 orang itu bakal menjadi medan konfrontasi ganas antara pemberontak dan tentera Syria.

Kelmarin, tentera Syria dilaporkan melepaskan bedilan di bandar Homs dan Hama, wilayah Daraa, Aleppo dan pinggir bandar Damsyik.

Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang pemerintahan Bashar bermula pada awal tahun lalu yang dikatakan telah meragut nyawa lebih 14,000 orang. - Agensi

Dua kumpulan judi Euro 2012 dikenal pasti

23 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesan dua kumpulandipercayai menjalankan aktiviti perjudian sempena kejohanan bola sepak Euro 2012. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pemantauan dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Kita kesan dua kumpulan kecil menjalankan kegiatanini. Mereka berpindah dari satu premis ke premis lain bagi mengelak pihak berkuasa menghidu kegiatan mereka. “Buat masa ini polis masih memerhati dan mengumpul maklumat,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, sindiket perjudian ini biasanya dijalankan secara dalam talian ataupun manual iaitu meletakkan taruhan menerusi telefon. Beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi polis. Katanya, kegiatan perjudianonline berlaku di mana alat server digunakan dipercayai berada luar negara.

Sementara itu, Mohd Mokhtar turut memaklumkan mengenai kejayaan polis menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya warganegara Singapura yang membawa bersamanya sepucuk pistol, awal pagi semalam.

Mohd Mokhtar berkata, anggotanya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang kelihatan mencurigakan. “Polis temui sepucuk pistol yang disimpan di pinggang suspek, sebilah pisau lipat, lima telefon bimbit, tujuh keping kad bank dan lesen memandu milik individu lain," katanya.

Sinar Harian

Pemuda tidak mengaku terlibat samun warga asing

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Saya tidak buat kerja tu,” kata seorang pemuda bagi menafikan dua tuduhan melakukan samun berkumpulan ke atas warga Nepal yang dihadapinya selepas diheret ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Tertuduh, Mohd Anuar Muhammad, 27 dari Kampung Jawa di sini kemudiannya mendiamkan diri sambil menggelengkan kepala selepas mahkamah menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan tersebut.

Walaupun jumlah jaminan yang ditetapkan mahkamah itu jauh lebih rendah berbanding RM6,000 dan RM8,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi setiap tuduhan, tertuduh tidak pasti sama ada akan ada individu yang akan tampil membayar jaminan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin di hadapan Hakim Fathiyah Idris, tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang warga Nepal di sini, 29 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Reveiving Yard, East Coast Mall kira-kira jam 12.30 tengah malam hari tersebut.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa merampas wang tunai RM300, sebuah telefon bimbit dan sepasang kasut milik mangsa sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu dalam satu lagi tuduhan, tertuduh bersama dua rakannya yang masih bebas turut didakwa melakukan rompakan ke atas tiga warga Nepal di Jalan Haji Ahmad di sini, kira-kira jam 1 pagi, hari yang sama.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merampas wang tunai RM570, tiga telefon bimbit dan sepasang kasut milik ketiga-tiga mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara juga sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes itu akan disebut semula 10 Julai depan bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam .

Terdahulu sebelum mahkamah bermula, tertuduh ada menyebut keluarganya tidak tahu berhubung penahanan dan pendakwaan ke atasnya itu memandang nombor telefon bapanya tidak dapat dihubungi sejak tarikh dia ditangkap 2 Jun lalu.

Sinar Harian

Makmal dadah terbakar

23 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Kebakaran sebuah kilang di Pekan Nenas, Pontian kelmarin, membawa kepada penemuan makmal pemprosesan dadah yang dipercayai bernilai RM10 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan kejadian kebakaran jam 1.30 petang itu yang didaftar sebagai kilang membuat makanan sejuk beku bagaimanapun dijadikan sebagai makmal dadah.

“Kira-kira jam 2.30 petang, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menerima maklumat berhubung penemuan itu dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

"Hasilnya, mereka menemui dadah yang sedang dan telah siap diproses serta makmal memprosesnya dalam kilang terbabit.

“Sejurus menerima maklumat itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor terus ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, kilang berkeluasan kira-kira 500 meter persegi itu kini ditutup bagi keselamatan.

“Unit forensik dari Polis Johor dan Bukit Aman kini sedang sedang melakukan siasatan dan mengumpul bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan,” katanya.

Jelasnya polis juga telah mengenal pasti individu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah berkenaan.

Sinar Harian

Cubaan lolos diri gagal

23 Rejab 1433H. [MOD] -

TRIANG – Hanya kerana satu tiub dadah dan sebiji pil khayal, seorang lelaki warga tempatan mengalami kecederaan apabila kereta dinaikinya terbabas ketika dia cuba melarikan diri di Kilometer 30 Jalan Temerloh- Bahau, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi semalam apabila suspek gagal mengawal kenderaan sebelum berpusing dan terperosok ke dalam longkang.

Menurutnya, polis turut menjumpai satu tiub dadah dipercayai heroin dan sebiji pil khayal jenis Eramin 5.

“Kita menerima maklumat daripada orang ramai mengenai lelaki terbabit yang berada di sekitar kawasan Bangunan Tunas Manja dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa polis tiba, lelakitersebut dipercayai cuba melarikan diri sebelum diarahkan memberhentikan kereta dinaikinya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, lelaki itu enggan berbuat demikian dan memecut kereta ke arah Triang sebelum dikejar kereta peronda.

Menurutnya, berlaku aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan suspek terbabas.

Difahamkan, lelaki berasal dari Felda Mempaga 3 itu mengunjungi daerah ini untuk menemui seorang rakan.

“Suspek yang juga penagih tegar dan mempunyai beberapa rekod lampau itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Hosni Mubarak sudah koma

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 84, sudah koma sepenuhnya, kata sumber Kementerian Dalam Negeri semalam manakala pihak lain pula mendakwa bekas pemimpin itu berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Kesihatan Mubarak semakin merosot sejak dipenjarakan 2 Jun lalu, dan mencapai kemuncaknya apabila jantungnya dua kali berhenti berdegup, kata sumber hospital penjara.

“Keadaannya amat kritikal. Saya merayu menerusi agensi berita kepada semua pemimpin dunia dan badan bukan kerajaan, selamatkan Mubarak,” kata ketua peguam bela Mubarak, Farid al-Deeb.

“Mubarak dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” kata satu lagi sumber yang enggan dikenali sambil menambah sejak tiba di penjara Tora, beliau mengalami tekanan teruk hingga sukar bernafas.

Minggu lalu, pegawai penjara, bersetuju Gamal, anak lelaki Mubarak dipindahkan dekat kepada bapanya. Gamal yang juga dipenjarakan di Tora, menanti satu lagi perbicaraan atas dakwaan rasuah.

Mubarak juga meminta Alaa, seorang lagi anaknya yang turut ditahan, berada dekat dengannya.

Pihak berkuasa juga meneliti kemungkinan memindahkan Mubarak dari penjara di selatan Kaherah, lokasi beliau dipindahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup 2 Jun lalu, ke sebuah hospital persendirian di ibu negara Mesir itu.

Farid meletakkan tanggungjawab ke bahu Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara jika bekas presiden itu meninggalkan dunia dalam penjara tanpa menerima rawatan sempurna.

“Kesihatannya tidak stabil, ia perlu diperhatikan 24 jam,” katanya yang dipetik akhbar al-Masry al-Youm.

Beliau berkata, bekas pemimpin itu menuduh pihak berkuasa mahu membunuhnya dalam penjara ketika kesihatannya semakin merosot.

“Beliau kata: ‘Mereka mahu bunuh saya. Selamatkan saya, Farid, carikan penyelesaian untuk saya’,” kata Farid.

Sejak penyingkirannya Februari tahun lalu, ada laporan berbeza mengenai kesihatan Mubarak, dengan sebahagiannya berkata beliau menderita barah, sakit jantung atau kemurungan.

Mubarak menghadiri sesi keterangan dalam perbicaraan yang bermula Ogos lalu menggunakan pengusung, selepas dibawa dengan helikopter dari tempat beliau ditahan di hospital tentera di pinggir Kaherah.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana bertindak keras ke atas penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya pada awal 2011 yang menyebabkan hampir 850 orang terbunuh.

Mubarak kini ditahan di unit rawatan rapi di penjara Tora. Pihak berkuasa penjara kelmarin membenarkan Alaa, yang juga dipenjarakan di tempat sama atas dakwaan rasuah, menyertai bapanya bersama seorang lagi anak pemimpin itu, Gamal.

Isteri Mubarak, Suzanne dan dua menantu perempuannya diberi kebenaran khas melawatnya Ahad lalu berikutan khabar angin beliau sudah meninggal dunia, lapor media.

Keluarganya meminta secara rasmi untuk memindahkan Mubarak ke hospital di Kaherah tetapi ia akan menaikkan kemarahan aktivis dan penunjuk perasaan terutama pada tempoh sensitif di negara itu. – Agensi

Tarikh PRU: Jangan resahkan 30,000 bakal haji

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini.

Jaminan tersebut perlu bagi menghilangkan kebimbangan jamaah haji berhubung hak mereka sebagai pengundi, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Perdana Menteri tidak seharusnya membiarkan hampir 30,000 umat Islam berada dalam situasi tidak menentu kerana sebahagian mereka ada dicadangkan sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

“Selagi tiada jaminan, ia akan menyebabkan mereka serba salah antara meneruskan hasrat atau menangguhkannya dulu,” keluh beliau.

Tuan Ibrahim berkata sebagai pengundi tidak seberat tekanan dibandingkan dengan seseorang yang dipilih sebagai calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya.

“Tambahan pula, seandainya pilihanraya diadakan dalam musim haji ini bermakna kerajaan Umno menafikan hak 30,000 umat Islam untuk menunaikan hak demokrasi mereka untuk mengundi,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Jika ini berlaku, Tuan Ibrahim berkata ia sudah tentu akan meninggalkan kesan yang besar kepada keputusan dan peratusan keluar mengundi.

“Ini melibatkan semua parti politik, dan apa yang penting ialah hak rakyat dalam sistem demokrasi hendaklah dihormati,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menyelar tindakan Perdana Menteri yang bermain teka-teki dalam menentukan tarikh pilihanraya.

“(Ini) telah menyebabkan banyak spekulasi terhadap apakah tarikh pilihanraya yang besar. Keadaan ini amat tidak sihat untuk negara kerana sangat mengganggu perancangan pelbagai pihak,” kata belliau.

Kebimbangan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihanraya, kata beliau membuktikan bahawa prospek Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya sudah menjadi satu kemungkinan yang boleh berubah menjadi realiti di sanubari BN.

Harakah Daily