13 Jun 2012

Pemuda tidak mengaku terlibat samun warga asing

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Saya tidak buat kerja tu,” kata seorang pemuda bagi menafikan dua tuduhan melakukan samun berkumpulan ke atas warga Nepal yang dihadapinya selepas diheret ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Tertuduh, Mohd Anuar Muhammad, 27 dari Kampung Jawa di sini kemudiannya mendiamkan diri sambil menggelengkan kepala selepas mahkamah menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan tersebut.

Walaupun jumlah jaminan yang ditetapkan mahkamah itu jauh lebih rendah berbanding RM6,000 dan RM8,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi setiap tuduhan, tertuduh tidak pasti sama ada akan ada individu yang akan tampil membayar jaminan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin di hadapan Hakim Fathiyah Idris, tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang warga Nepal di sini, 29 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Reveiving Yard, East Coast Mall kira-kira jam 12.30 tengah malam hari tersebut.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa merampas wang tunai RM300, sebuah telefon bimbit dan sepasang kasut milik mangsa sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu dalam satu lagi tuduhan, tertuduh bersama dua rakannya yang masih bebas turut didakwa melakukan rompakan ke atas tiga warga Nepal di Jalan Haji Ahmad di sini, kira-kira jam 1 pagi, hari yang sama.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merampas wang tunai RM570, tiga telefon bimbit dan sepasang kasut milik ketiga-tiga mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara juga sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes itu akan disebut semula 10 Julai depan bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam .

Terdahulu sebelum mahkamah bermula, tertuduh ada menyebut keluarganya tidak tahu berhubung penahanan dan pendakwaan ke atasnya itu memandang nombor telefon bapanya tidak dapat dihubungi sejak tarikh dia ditangkap 2 Jun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: