23 Rejab 1433H. [MOD] -
TANJUNG PIANDANG - Bukan setahun dua, tetapi lebih sepuluh tahun penduduk Bagan Selatan, di sini menunggu permohonan membaiki kabel elektrik kendur direalisasikan pihak bertanggungjawab.
Nelayan, Tan Chun Wah, 39, berkata, keadaan kabel elektrik yang kendur itu membahayakan keselamatan pengguna terutama lori dan kenderaan berat yang berisiko tersangkut kabel berkenaan.
Menurutnya, masalah itu sudah disuarakan penduduk lebih sepuluh kali, tetapi tiada tindakan susulan diambil.
“Ia amat menyusahkan penduduk sehingga kami mengambil keputusan untuk menegangkan kembali kabel yang kendur dengan mengikat tali.
“Saya minta semua pihak berkenaan menyelesaikan masalah kami kerana ia turut melibatkan nyawa anak-anak yang menggunakan laluan itu untuk ke sekolah,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Turut hadir Adun Kuala Kurau, Yunus Jemari.
Chun Wah berkata, jarak kabel elektrik yang mengendur adalah lebih kurang 50 meter dan perkara itu menjadi kebimbangan penduduk kerana ia terletak di tengah-tengah jalan menghubungkan jalan utama dan Jalan Tokong.
Selain itu, Chun Wah turut menggesa Majlis Daerah Kerian menyediakan lampu jalan di sepanjang lorong utama menghubungkan jalan utama dan Jalan Tokong di situ.
Katanya, keadaan jalan yang gelap di kawasan itu membahayakan keselamatan lebih 40 penduduk selain menggalakkan aktiviti kecurian kabel elektrik.
“Justeru, saya mohon lampu jalan dipasang di sepanjang lorong hadapan rumah kami demi keselamatan semua pihak,” katanya
Sementara itu, Yunus ketika ditemui Sinar Harian memberi jaminan akan menyuarakan permasalahan ini ke pengetahuan pihak berkenaan.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan