23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat dilihat tidak bercadang untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam masa terdekat biarpun telah dirancang sejak Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK) lagi.
Dalam jawapan di parlimen kerajaan memberi alasan skop pembinaan projek lebuh raya akan diteliti semula dan akan dilaksanakan kemudian iaitu pada tempoh RMK11 dan selanjutnya.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Shahziman Abu Mansor (gambar), anggaran kos projek ini sebanyak RM5.5 billion, disebabkan kos yang tinggi kerajaan pusat memutuskan supaya projek ini dilaksanakan secara berfasa.
Berikutan itu, pembinaan projek Jalan Central Spine melibatkan fasa dari simpang Pelangai, Bentong Ke Kuala Krai sepanjang 390 kilometer dilaksanakan terlebih dahulu.
Projek Membina Jalan dari Kota Bharu ke Kuala Krai merupakan sebahagian dari jajaran Jalan Persekutuan Central Spine dari Simpang Pelangai, Bentong, Pahang hingga ke Kota Bharu sepanjang 463.5 kilometer.
Dalam soalan asal, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar meminta Menteri Kerja Raya menyatakan, mengapakah cadangan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai tidak dilaksanakan walaupun telah dirancang dalam RMK9.
Sebelum ini, ekoran tindakan kerajaan pusat melengah-lengahkan pembinaan lebuh raya itu, Kerajaan Kelantan memutuskan untuk membina sendiri lebuh raya Kota-Kuala krai yang dinamakan Lebuh Raya Rakyat.
Kerajaan Kelantan juga memberi peluang kepada seluruh rakyatnya untuk sama-sama menyumbang bagi mempercepatkan proses pembinaan lebuh raya itu, usaha ini mendapat sambutan menggalakan.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan