13 Jun 2012

Pasang lampu elak nahas

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA ROMPIN – Kerajaan diminta menyalurkan peruntukan tambahan untuk memasang lampu jalan di sepanjang Jalan Kuantan-Seremban yang dianggap sebagai laluan ‘maut’.

Penduduk, Azizul Ibrahim, 30, berkata, pemasangan lampu di sepanjang jalan yang sentiasa sesak dengan pelbagai jenis kenderaan itu dapat mengurangkan kadar kemalangan di kawasan terbabit.

Menurutnya, ia berikutan keadaan jalan gelap dan sunyi itu membahayakan pengguna yang menggunakan laluan tersebut untuk ke Seremban serta Kuala Lumpur.

“Jalan utama ini sepatutnya mempunyai lampu jalan terutama di beberapa kawasan berisiko untukmengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua kenderaan remuk selepas merempuh seekor babi hutan di Kilometer 132 Jalan Kuantan-Seremban, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, bahagian bamper depan sebuah kereta Perodua Kancil remuk, manakala sebuah lagi kereta jenis Proton Exora remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.

Azizul berkata, ketiadaan lampu jalan juga menyukarkan pengguna menghadapi kes kecemasan seperti kerosakan kenderaan yang bimbang untuk berhenti memandangkan kawasan itu gelap dan sunyi.

“Lampu jalan amat penting bukan saja untuk mengurangkan risiko kemalangan, malah mampu memastikan keselamatan pengguna terutama jika berlaku sebarang kes kecemasan,” katanya.

Selain itu katanya, pemilik haiwan ternakan juga diminta tidak melepaskan ternakan pada waktu malam kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita harap penternak dapat mengawal haiwan ternakan mereka. ”Hal ini berikutan banyak kes kemalangan berlaku akibat kecuaian penternak yang sengaja membiarkan haiwan ternakan mereka keluar dari kandang pada waktu malam,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan Dr,
Jalan Kuantan-Seremban ni jalam apa sebenarnya ?