13 Jun 2012

Cubaan lolos diri gagal

23 Rejab 1433H. [MOD] -

TRIANG – Hanya kerana satu tiub dadah dan sebiji pil khayal, seorang lelaki warga tempatan mengalami kecederaan apabila kereta dinaikinya terbabas ketika dia cuba melarikan diri di Kilometer 30 Jalan Temerloh- Bahau, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi semalam apabila suspek gagal mengawal kenderaan sebelum berpusing dan terperosok ke dalam longkang.

Menurutnya, polis turut menjumpai satu tiub dadah dipercayai heroin dan sebiji pil khayal jenis Eramin 5.

“Kita menerima maklumat daripada orang ramai mengenai lelaki terbabit yang berada di sekitar kawasan Bangunan Tunas Manja dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa polis tiba, lelakitersebut dipercayai cuba melarikan diri sebelum diarahkan memberhentikan kereta dinaikinya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, lelaki itu enggan berbuat demikian dan memecut kereta ke arah Triang sebelum dikejar kereta peronda.

Menurutnya, berlaku aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan suspek terbabas.

Difahamkan, lelaki berasal dari Felda Mempaga 3 itu mengunjungi daerah ini untuk menemui seorang rakan.

“Suspek yang juga penagih tegar dan mempunyai beberapa rekod lampau itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Tiada ulasan: