13 Jun 2012

PAS desak Myanmar henti bunuh warga Rohingya

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Myanmar menghentikan segera penganiayaan dan pembunuhan terhadap warga Rohingya yang sedang berleluasa di negara itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, PAS bersama NGO lain mengecam tindakan tersebut yang dilihat lebih kepada penghapusan etnik.

"PAS memandang berat peristiwa pembunuhan dan keganasan terhadap rakyat di negara itu.

"Kita mendesak kerajaan Myanmar menghentikan segera tindakan itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau turut mendesak negara jiran khususnya Bangladesh memberi bantuan segera dan tidak menambah tekanan dengan menutup sempadan.

"Kita juga meminta kerajaan Malaysia melalui wisma putra segera menggunakan peranan diplomatik dan sebagai anggota negara Asean, menuntut keganasan ini dihentikan," katanya lagi.

Semalam Warga Rohingya di Malaysia berkumpul berhampiran kedutaan Amrika Syarikat memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar.

Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini.

Difahamkan sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu.

Harakah Daily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalammualaikum,
bila nak berhimpun di konsulat myanmar, nyatakan bantahan kita