23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Seorang Pegawai Penerangan Daerah Besut berdepan detik mencemaskan apabila lehernya diacu dengan pisau lipat oleh satu lembaga ‘hijau’ dalam kejadian samun bersenjata di tandas wanita, tingkat tiga, Wisma Persekutuan di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Halimah Awang Cik, 50-an, sedang membasuh pinggan di sink tandas berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga berbaju hijau yang terus memaut lehernya dari belakang.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Halimah berkata, pada awalnya dia cuba melawan, namun apabila terpandangkan sebilah pisau dipercayai pisau lipat berada di lehernya, dia tergamam dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.
“Pada mulanya, lembaga itu meminta saya menyerahkan wang kepadanya namun saya kata, sekarang tidak ada, jika hendak, ikut saya ke pejabat.
“Bagaimanapun, lembaga hijau itu enggan dan semasa itulah, dia ternampak gelang di tangan lalu memaksa saya menyerahkan kepadanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.
Halimah berkata, sementara menunggu dia membuka gelang yang dipakai, lembaga itu mengheret dia masuk ke dalam stor yang terletak berhampiran mungkin dikhuatiri kakitangan lainkan masuk ke dalam tandas tersebut.
“Semasa di dalam stor itulah, mulut saya ditampal dengan pita pelekat dan tuala kecil kerana sebelum itu, saya terlalu takut dan cuba menjerit meminta tolong.
“Bagi mengelakkan dia bertindak lebih liar lagi, saya cepat-cepat menyerahkan gelang itu kepadanya dan ketika saya mencuri untuk melihat wajahnya, lembaga itu menghentak belakang dengan siku lalu beredar meninggalkan saya,” katanya.
Kata Halimah, daripada pemerhatiannya, lembaga hijau itu disyaki lelaki berdasarkan suara garau dan mungkin warga tempatan kerana percakapannya menggunakan bahasa standard.
"Berdasarkan saiz tangannya, saya rasa lembaga hijau itu berusia 20-an dengan saiz badan sederhana dan memakai baju T berwarna hijau serta berseluar jeans," katanya.
Kata Halimah, dia difahamkan itu kejadian pertama berlaku di bangunan berkenaan.
Berikutan kejadian, Halimah mengalami luka ringan di bahagian leher dan tangan serta terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM12,000 setelah seutas gelang emasnya berjaya dilarikan suspek.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan