23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - “Saya merayu hukuman diringankan kerana masih memerlukan rawatan susulan kaki dan tangan serta dalam masa sama, isteri baru saja selesai menjalani pembedahan jantung.
“Saya yakin dia teramat memerlukan saya di sisinya sekarang,” demikian rayu seorang orang kurang upaya (OKU) kategori tempang selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan membabitkan dadah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Jariza@Jalil Sulong, 38, dari Kampung Kubur Timah, Jalan Merang, di sini, terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, dia dijatuhi hukuman denda sejumlah RM6,100 atau penjara selama lima bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didenda RM1,800 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki methampethamine seberat 0.03 gram di sebuah rumah di Kampung Kubur Timah, Jalan Merang, di sini, 2 Januari lalu kira-kira jam 9.20 malam.
Selain itu, bagi pertuduhan kedua, Jariza yang bekerja sebagai buruh itu didenda RM2,500 atau lima bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki methampethamine seberat 0.23 gram di lokasi, waktu dan tarikh yang sama seperti pertuduhan pertama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,
Bagi satu lagi pertuduhan,Jariza didenda RM1,800 atautiga bulan penjara dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamine, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada hari sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) (b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38b akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, bertindak atas maklumat, anggota Narkotik IPK telah membuat serbuan di kediaman berkenaan dan tertuduh cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang sejurus menyedari kehadiran polis.
Bagaimanapun, cubaannya gagal dan dia berjaya ditangkap di dalam tandas rumah berkenaan. Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga batang straw di dalam poket seluarnya yang
setiap straw terdapat sebiji pil dipercayai methampethamine.
Setelah disoal siasat, tertuduh menunjukkan 18 straw lagi yang disorokkan di dalam tandas kediaman terbabit dan selepas semua barang kes dirampas, tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan