23 Rejab 1433H. [MOD] -
PASIR MAS - Seorang pemandu lori tidak menyangka, akan kehilangan rumah pusaka berusia 80 tahun, dalam kebakaran di Kampung Hutan Cengal, jam 11 pagi, kelmarin.
Mangsa, Jamaludin Abd Rahman, 45, berkata, dia hampir pengsan selepas dihubungi jirannya, mengenai kejadian itu.
“Ketika itu, saya berada di tempat kerja dan segera memandu pulang, namun kira-kira 100 meter dari rumah, saya lihat asap hitam keluar dengan banyak.
“Saya berasa terlalu sedih dan tidak mampu untuk membawa lori kerana saya sedar, rumah saya tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya, semalam.
Menurutnya, dia dan keluarga bukan sahaja kehilangan tempat berteduh, malah mengalami kerugian sehingga RM120,000.
Jamaludin berkata, rumah pusaka ini, menjadi kebanggaan mereka sekeluarga, kerana ia dibina ketika arwah bapa mentuanya berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Bukit Bunga.
Namun katanya, meskipun kehilangan harta benda, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Ketika kejadian, isteri saya, Rohana Harun, 50, tiada di rumah kerana bekerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong sebagai kerani.
“Anak sulung saya pula berada di Terengganu kerana masih menuntut di Kolej Komuniti manakala dua lagi anak saya berada di sekolah,” katanya, semalam.
Jamaludin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, dalam mengurangkan kesulitan yang dihadapi ketika ini.
Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Bomba Pasir Mas, Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.21 pagi dan bergegas ke tempat kejadian menggunakan satu jentera dengan kekuatan enam anggota.
“Tiba di tempat kejadian, kita dapati rumah terbakar hampir 100 peratus dan kita berjaya mengawal api, satu jam kemudian.
“Punca dan kerugian yang dihadapi, masih disiasat,” katanya, semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan