23 Rejab 1433H. [MOD] -
SEREMBAN – Seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat rawatan dan kecantikan di Jalan Tun Dr Ismail di sini, sebelum melarikan beberapa barangan berharga, dipercayai milik pekerja pusat rawatan itu, dalam kejadian 9 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, wanita terbabit mengambil kesempatan melarikan beberapa barangan yang ditinggalkan di atas meja semasa ketiadaan pekerja di pusat rawatan itu.
“Wanita berusia lingkungan 30-an itu melarikan beberapa barangan dan wang tunai RM2,000, dengan anggaran kerugian RM7,000," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.
Hamdan berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menulis maklumat palsu mengenai butir peribadi ketika mengisi borang untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit.
Bagaimanapun menurutnya, perbuatan wanita itu berjaya dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Hasil rakaman jelas menunjukkan wanita yang memiliki saiz tubuh besar seperti sedang mengandung itu melarikan barangan terbabit.
"Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian hotline 06-6014999 atau balai polis berdekatan," katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan