14 Jun 2012

Kes rasuah Sri Wahyuni, Indonesia tahan 2 lelaki Malaysia

24 Rejab 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Dua lelaki warga Malaysia ditahan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia semalam kerana disyaki memainkan peranan dalam membantu suspek kes rasuah Neneng Sri Wahyuni melarikan diri daripada buruan suruhanjaya itu sejak tahun lepas.

Mereka ditahan di ibu negara Indonesia.

Timbalan Ketua KPK, Bambang Widjojanto berkata, kedua-dua warga Malaysia itu ditahan di dua lokasi berasingan manakala Neneng ditangkap di rumahnya di Pejaten, Jakarta Selatan sebaik tiba dengan sebuah teksi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini.

"Kami sedang menyiasat peranan kedua-dua lelaki itu dalam pelarian Neneng selama beliau berada di Malaysia," katanya pada sidang media di pejabat KPK di sini malam tadi.

Katanya, salah seorang daripada dua lelaki Malaysia itu merupakan orang penting dalam kerajaan di Malaysia. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada lelaki itu memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri atau pusat.

Adalah difahamkan seorang lelaki Malaysia itu ditahan selepas menemui suami Neneng, Muhammad Nazaruddin, di penjara di sini manakala seorang lagi ditahan di sebuah hotel di sini.

Bambang berkata, KPK sebelum itu telah mendapat maklumat bahawa Neneng akan berlepas dari Kuala Lumpur malam tadi dan bermalam di Batam, Indonesia, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Jakarta dengan menaiki pesawat hari ini.

Pada Ogos tahun lepas, Muhammad Nazaruddin, iaitu bekas bendahari Parti Demokrat ditahan di Colombia dan dibawa ke sini atas dakwaan rasuah.

Pasangan suami isteri itu disyaki terbabit dalam skandal rasuah melibatkan jutaan ringgit dalam projek Pengadaan Pembangkit Listrik Surya (PLTS) di
Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi antara 2008 hingga Ogos 2011.

Berdasarkan siasatan polis Indonesia, Nazaruddin dipercayai melarikan diri ke Singapura, Vietnam, Kemboja dan Colombia.

Isterinya Neneng yang turut didakwa terbabit dalam skandal rasuah berprofil tinggi itu dipercayai meninggalkan anak-anaknya di Kuala Lumpur dan sering menemani suaminya berpindah dari sebuah negara ke negara lain. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: