14 Jun 2012

Rooney masuk rumah terbakar

24 Rejab 1433H. [MOD] -

HANGUS...Tahir di dalam rumahnya yang terbakar, semalam.

SEDIH...ahli keluarga mangsa menunggu jenazah untuk dikebumikan.
KOTA SAMARAHAN: Seorang nenek dan dua cucu lelakinya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan di ruang tamu tingkat atas rumah mereka yang terbakar dalam kejadian di Kampung Rembus, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Uka anak Jenil, 54, bersama cucu lelakinya, Wayne Rooney anak Austin, 4, dan Christino Norado, 6, ditemui anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan menyayat hati sebaik api dipadamkan.

Menurut suami Uka, Tahir Saban, 57, ketika kejadian dia berada di kedai runcit di bahagian depan rumahnya, manakala isteri dan tiga cucunya tidur di ruang tamu tingkat bawah rumah separuh konkrit itu.

Katanya, Christino mengejutkan neneknya apabila menyedari bahagian atas rumah mereka terbakar serta diselubungi asap.

Menurutnya, selepas mendengar jeritan Christino, Uka terjaga daripada tidur dan bergegas mengambil seorang lagi cucunya, Ryann Ferdinand anak Fedrick, berusia setahun lapan bulan yang tidur dalam buaian.

“Sebaik menyerahkan Ryann kepada saya, dia masuk semula dalam rumah dan naik ke tingkat atas. Tetapi, Rooney dan Christino yang ketika itu sudah berada di luar rumah mengikut neneknya masuk dalam rumah.

“Sebaik menyedari tindakan mereka, saya beberapa kali menjerit menyuruh mereka keluar menyelamatkan diri, tetapi jeritan saya tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tahir berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan isteri serta dua cucunya kerana ketika itu dia mengendong cucunya yang masih kecil dan api yang marak terlalu cepat.

“Saya tidak tahu apa punca kejadian itu, namun api dipercayai bermula di ruang tamu atas,” katanya.

Seorang saksi, Alvin Jessie, 22, yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata, dia terkejut apabila melihat api marak dari bahagian atas rumah dan Tahir menggendong cucunya di luar rumah sambil menjerit meminta tolong.

“Saya terkejut dan memaklumkan kejadian itu kepada orang kampung sebelum menghubungi Balai Bomba Kota Samarahan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang dan sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, api dipadamkan sepenuhnya pada jam 3 petang dan kebakaran itu menyebabkan 40 peratus daripada rumah mangsa musnah terutama di bahagian atas.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

metro/-

Tiada ulasan: