24 Rejab 1433H. [MOD] -
PASIR MAS – Seorang pemandu van Pos Laju maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10, Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang, jam 4 petang, semalam.
Mangsa, Zulfakar Daud, 38, dipercayai bergesel dengan lori muatan tanah, Perodua Kancil dan Proton Saga. Pemandu lori tanah, Ibrahim Ahmad, 54 dilaporkan kritikal, selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Manakala pemandu Proton Saga, Vinson Koh Jin Gee, 41, dan pemandu Kancil, Abdul Karim Omar, 46, mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pemandu van dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan, namun tidak sempat mengelak, lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Menurutnya, Zulfakar memandu van dari arah Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang, bergesel dengan lori seterusnya melanggar Perodua Kancil di belakangnya.
“Perlanggaran itu menyebabkan lori terbabas, sebelum menghempap Proton Saga yang dipandu Vinson,” katanya semalam.
Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan Zulkafar, Vinsondan Ibrahim tersepit 10 minit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan Penyelamat Pasir Mas.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas, bagi rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta tampil untuk memberikan maklumat berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, dia tidak menyangka akan terselamat dalam kemalangan ngeri ini.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya masih ingat kejadian yang berlaku di depan mata saya,” katanya.
Abdul Karim yang mengalami kecederaan ringan, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital.
Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit 10 minit kemudian dan tiada kebocoran minyak dilaporkan,” katanya, semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan