14 Jun 2012

Merajuk kerana telefon bimbit

24 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG – "Selepas dua hari menangis kerana sedih telefon bimbitnya hilang, dia meminta kami membelikan yang baru tetapi kami tidak mampu dalam masa terdekat ini. Dia kemudiannya menghilangkan diri,” kata seorang ibu, Zaiton Abdullah, 42.

Ibu kepada 10 anak itu mendakwa, anak gadisnya, Wan Amirah Wan Zaki, 19, meninggalkan rumah mereka di Rusila di sini, sejak 1 Jun lalu, dan masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Mengakui terkejut dengan tindakan anak sulungnya itu, Zaiton juga tidak menyangka hanya kerana kehilangan telefon bimbit jenis Samsung Corby II ketika mandi di pantai berdekatan rumah mereka pada 30 Mei lalu, anaknya sanggup bertindak sedemikian.

Bekas pelajar Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan di Kuala Lumpur itu dikatakan merajuk dan keluar dari rumah dengan memberikan alasan untuk ke rumah rakannya di Bukit Gasing, namun tidak pulang dan gagal dikesan sehingga kini.

“Wan Amirah hanya memaklumkan perkara itu kepada kembarnya, Wan Nur Asma Dahlia dan kami hanya mengetahui dia keluar dari rumah sekitar jam 11 pagi iaitu pada 1 Jun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Rusila, semalam.

Zaiton berkata, disebabkan anak mereka masih tidak pulang walaupun hari sudah lewat petang, dia dan suami, Wan Zaki Wan Ngah, 45, terus menghubungi rakan anaknya di Bukit Gasing itu namun dimaklumkan, anak mereka tiada di situ.

Susulan kehilangan itu, Wan Zaki kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Marang pada malam kejadian kerana bimbang keselamatan anaknya terancam, tambah pula anak perempuannya itu keluar tanpa membawa kad pengenalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan gadis terbabit.

Sehubungan itu, Wan Amirah dirayu kembali semula ke pangkuan keluarga kerana dikhuatiri sesuatu yang tidak baik akan menimpanya.

Malah, kembarnya, Wan Nur Asma Dahlia, 19 dan adik bongsunya, Wan Nor Raudah Adni, 3, juga jatuh sakit.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, suaminya juga sudah dua minggu mencari anak perempuan mereka itu di merata tempat di daerah ini sehingga ke Kuala Terengganu, dan ketua keluarga itu juga tidak dapat tidur dengan lena pada setiap malam.

Sesiapa yang terlihat Wan Amirah diharap dapat menghubungi keluarganya menerusi talian, 013 9711 692 atau 012 9664 353.

Sinar Harian

Tiada ulasan: