14 Jun 2012

Talian 999 jadi penyelamat

24 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN – “Sebaik terdengar bunyi letupan, saya terus menjenguk keluar lalu melihat api besar sebelum adik lelaki saya yang turut menyaksikan kejadian mengarahkan saya mendail talian 999 untuk meminta bantuan,” kata Nurfarahida Othman, 23, bakal pengantin yang sempat menghubungi bomba selepas melihat api besar di bahagian belakang rumahnya.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah stor penyimpanan alat ganti motosikal milik bapa Nurfarahida, iaitu Othman Hassan, 53, seorang peniaga hampir musnah selepas api yang dipercayai berpunca daripada kejadian letupan itu merebak sehingga menyebabkan beberapa alat ganti motosikal termasuk dua motosikal adik lelakinya hangus.

Menurut Nurfarahida, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah bersama adik perempuannya, Nuratiqah, 14 sementara adik lelakinya, Mohd Faizol Othman, 22 sedang membasuh kuali burger di garaj rumah.

“Selepas melihat api mulai marak, adik lelaki saya cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip. “Dalam keadaan cemas itu saya sempat mencapai telefon bimbit lalu mendail talian
kecemasan, beberapa minit kemudian bomba tiba untuk memadamkan keseluruhan api,” kata Nurfarahida yang bakal naik pelamin pada 30 Jun nanti.

Nurfarahida berkata, jika tidak kerana bantuan pasukan penyelamat yang cepat tiba, mungkin api yang bermula di bahagian stor belakang rumah itu akan merebak ke rumahnya.

“Kami bersyukur kerana api itu berjaya dipadamkan pada peringkat awal sebelum ia terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Nor berkata, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berkaitan kabakaran tersebut.

“Punca kejadian dan nilai kerugian yang dianggarkan lebih RM5,000 itu masih disiasat,”katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: