24 Rejab 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan dadah yang ditemui ketika kebakaran melibatkan sebuah kilang di Pekan Nenas, Pontian, 11 Jun lalu, merupakan jenis syabu dan pil eramin dipercayai bernilai kira-kira RM18 juta.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sahriff berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa suspek termasuk seorang warga asing yang terbabit dalam kes berkenaan dan percaya akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.
“Polis sedang giat menjejaki suspek-suspek. Kita juga menyeru pekerja kilang terbabit untuk tampil memberi maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Mokhtar turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Asisten Superintendan kepada 29 anggota polis berpangkat Inspektor dan menyampaikan sijil penghargaan.
Menurutnya, sebahagian daripada dadah yang ditemui sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, manakala butiran siasatan berhubung kebakaran serta kerja pembersihan kilang pula sedang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Jabatan Kimia.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya kini sedang menjejaki suspek berdasarkan beberapa petunjuk berhubung kejadian tembak di sebuah stesen minyak sekitar daerah Segamat, kelmarin.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tembakan itu kerana tiada barang yang diambil dari mangsa dalam kejadian itu. Kita juga masih menyiasat latar belakang mangsa dan kini pihak polis sedang giat mengesan penjenayah yang terlibat," katanya.
Terdahulu, seorang warga emas ditemui mati dengan kesan enam tembakan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, Segamat, kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan