14 Jun 2012

Syiria di ambang perang saudara

24 Rejab 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Syria kini di ambang perang saudara berikutan pasukan keselamatan rejim Presiden Bashar al-Assad didakwa tidak lagi mampu mengawal sebahagian besar wilayah di negara itu, menurut Ketua Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Herve Ladsous berkata, kebanyakan bandar di negara tersebut kini dikuasai pembangkang dan pasukan keselamatan Bashar dilihat seperti mahu merampas kuasa semula. "Majlis keselamatan PBB sedang mencari jalan lain menamatkan keganasan, sekali gus menyatukan pembangkang yang telah berpecahbelah. Kami perlu memikirkan cara lebih efektif berikutan pelan damai tajaan Kofi Annan juga gagal dipatuhi," jelasnya.

Laporan PBB yang diterbitkan, kelmarin mendedahkan tentera Syria menggunakan kanak- kanak sekecil lapan tahun sebagai perisai manusia semasa bertempur dengan kumpulan pemberontak selain menyenaraikan kerajaan Bashar sebagai antara negara bergolak paling teruk di dunia.

Sebelum ini, rejim Bashar pernah mengecam campur tangan Amerika Syarikat yang didakwa secara terang-terangan menyokong pengganas dan memutar belitkan fakta mengenai konflik meruncing di negara itu kepada PBB.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Luar Turki, Naci Koru turut menyuarakan kebimbangannya jika pergolakan di Syria merebak ke sempadan memandangkan lebih 29,000 pelarian dilaporkan telah memasuki negara tersebut.

Sehingga kini kira-kira 14,100 orang dilaporkan terkorban akibat pergolakan yang tercetus sejak 15 bulan lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: