14 Jun 2012

Penjual belon dijel dua tahun

24 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Gara-gara ceroboh, seorang penjual belon menerima padah apabila dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman terhadap Muhammad Hafiz Abdullah, 20, dari Jalan Kuala Krai di sini, dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menceroboh ruang pejabat sebuah kedai kain di Jalan Temenggong di sini, pada jam 5.30 petang, 5 Jun lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang juga pekerja di kedai berkenaan, terdengar bunyi objek terjatuh di tingkat atas pejabat sebelum memaklumkan kepada seorang lagi pekerja lelaki.

Pekerja lelaki berkenaan kemudiannya naik dan ternampak tertuduh menuju ke tingkap sebelum berlaku pergelutan dan menangkap tertuduh.

Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dihadapkan ke mahkamah.

Pada prosiding semalam, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memutuskan hukuman penjara itu selepas tertuduh mengaku bersalah.

Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tiada ulasan: