24 Rejab 1433H. [MOD] -
PASIR MAS – Gara-gara cuba memotong kenderaan di garisan berkembar, seorang lelaki mengalami kecederaan parah, apabila terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pasir Mas-Kota Bharu, jam 12.30 tengahari, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang memandu Perodua Kancil, memandu dari arah Kota Bharu ke bulatan Lemal, Pasir Mas.
Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong, namun tidak sempat mengelak seterusnya melanggar lori Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari arah bertentangan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, setelah tersepit selama beberapa minit, namun berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas. Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas, di sepanjang dua kilometer dari keempat-empat penjuru laluan Pasir Mas, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tanah Merah.
Beliau turut menasihati semua pemandu, agar bersikap tenang ketika dan mengutamakan keselamatan diri serta pemandu lain.
“Sikap tergesa-gesa ketika memandu dan melanggar undang-undang jalan raya, dipercayai punca utama berlakunya kemalangan, sebelum ini. Saya menasihati semua pihak agar tidak gopoh kerana sikap pemandu itu sendirilah, yang boleh mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya, semalam.
Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengahhari, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, di bahagian kaki, lima minit kemudian. Kenderaan yang rosak teruk itu, turut menyebabkan kebocoran minyak dan kita mengambil tindakan segera bagi mengelakkan berlakunya kebakaran kenderaan,” katanya
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan