24 Rejab 1433H. [MOD] -
PERANCANG utama Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor sudah bersedia untuk memperlihatkan aksi dan cabaran terbaik apabila menyarung jersi Beira-Mar bulan depan.
Nazmi yang muncul sebagai pemain pertama negara beraksi di Liga Portugal berkata, persiapan dari segi fizikal dan mental bertambah baik sambil mengakui teruja untuk beraksi bersama kelab Portugal tersebut.
Katanya, dia optimis mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Eropah berbekalkan pengalaman menjalani sesi pemilihan pemain Beira-Mar bulan lalu.
"Selepas menjalani ujian tersebut, saya yakin tiada masalah berhubung penyesuaian diri dari faktor cuaca, pemakanan dan corak permainan di sana.
"Fokus utama saya adalah memberikan aksi terbaik ketika beraksi di Portugal kelak.
"Selain itu, saya juga mahu menumpukan perhatian bersama skuad Harimau Muda yang akan menentang Qatar bawah 22 tahun pada Ahad ini," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada majlis kesyukuran di Lembah Keramat, Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu, bapa Nazmi, Mansor Mustapha memberitahu bahawa anaknya bakal menandatangi kontrak secara rasmi bersama Beira-Mar pada 17 Ogos ini.
Jelasnya, Nazmi akan ditemani kakaknya, Dr. Nazirah Farhah yang dilihat langkah terbaik untuk memberikan sokongan dari ahli keluarga terdekat.
Malah, Mansor yakin kehadiran Nazirah mampu menyuntik motivasi pemain itu untuk memberikan persembahan mantap ketika bersama Beira-Mar.
"Nazmi bakal menandatangani kontrak pada 17 Ogos ni secara rasmi selepas usia Nazmi genap 18 tahun.
"Ejen Nazmi bersama jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee akan menyelesaikan urusan berkait dengan permit kerja dan sebagainya bersama kedutaan Malaysia di sana.
''Saya juga berdoa supaya dia berjaya di sana dan mengucapkan terima kasih kepada yang menyokong karier Nazmi.
"Dan, saya yakin dengan kehadiran ahli keluarga ketika Nazmi berada di Eropah mampu memberikan semangat lebih kepada Nazmi nanti," katanya.
Pemain berusia 18 tahun itu berjaya mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal tersebut.
Kejayaan Nazmi itu hadir sejurus pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menarik perhatian pihak pengurusan Biera-Mar pada ujian pemilihan pemain pada Mei lalu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan