24 Rejab 1433H. [MOD] -
SUDAH lebih 60 tahun bumi Palestin dijajah rejim haram Zionis Israel. Sejak tempoh itu, bumi anbiya itu tidak pernah sunyi dengan kezaliman dan penindasan di luar batasan kemanusiaan.
Rakyat Palestin diratah semahu-mahunya bagi membenarkan misi Yahudi mewujudkan negara haram Israel. Maka tidak hairanlah umat Islam di Palestin sudah begitu kebal dengan penderitaan.
Dalam tempoh itu sudah berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin ditahan tanpa bicara. Episod penahanan tidak pernah berakhir. Tentera-tentera penceroboh berkeliaran tanpa sekatan.
Nasib tahanan Israel sukar diramalkan. Kebanyakan tahanan menghabiskan umur di penjara. Namun, kebelakangan ini situasi agak berlainan. Tahanan penjara Israel mulai mendapat perhatian setelah tertawannya seorang tentera penceroboh, Gilad Shalit.
Mahkamah Israel memutuskan bagi memastikan Shalit dikembalikan, seramai 1000 tahanan Palestin di penjara-penjara Israel dibebaskan. Pertukaran bermula dengan pembebasan 550 tahanan Palestin dengan Gilat Shalit.
Ia dianggap satu kejayaan buat rakyat Palestin. Tahanan Palestin tidak putus asa. Tahun ini siri-siri mogok lapar dilakukan mereka.
Dunia dikejutkan dengan dua mogok lapar berprofil tinggi oleh Khadir Adnan selama 66 hari dan akhirnya mahkamah Israel terpaksa membebaskan beliau pada 21 Februari lalu.
Begitu juga Hana Shalabi dibebaskan setelah 43 hari melakukan mogok lapar. Beliau dibebaskan awal April lalu. Tahanan Palestin terus mendesak Israel dengan melancarkan mogok lapar.
Seramai 2,500 lagi tahanan melancarkan mogok lapar setelah Israel mengabaikan tuntutan Bilal Diab dan Thaer Halahleh yang meneruskan mogok lapar masuk hari ke-70.
Mereka cuma minum air dan kesihatan mereka semakin meruncing. Israel yang sering mendabik dada dengan mendakwa negaranya tidak melanggar undang-undang akan terjejas sekiranya tahanan tanpa bicara mati.
Isu di Palestin bukanlah terbatas kepada isu penganiayaan kepada tahanan sahaja malah lebih teruk lagi, Semenanjung Gaza diburukkan dengan kekurangan bekalan ubatan serta krisis bekalan elektrik.
Bumi Gaza hanya dapat menggunakan kemudahan elektrik selama 6-7 jam sahaja sehari. Bekalan ubat-ubatan dari misi-misi kemanusiaan disekat daripada menghampiri sempadan Gaza.
Stesen janakuasa Gaza dihadkan operasinya kerana ketandusan sumber bahan api. Palestin membeli bahan api dari Mesir, namun Kementerian Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Mesir masih melakukan sekatan ke atas Gaza.
Hampir sebulan lalu iaitu pada 15 Mei lepas merupakan hari peringatan ke-64 tahun Nakbah Palestin, hari malapetaka yang menyaksikan bumi Palestin dijajah rejim Zionis Israel.
Sejak tempoh itu bumi Palestin tidak pernah sunyi dengan kezaliman. Rakyatnya diratah semahu-mahunya oleh penjajah Israel.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan