23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU - Seorang ibu kepada tiga anak berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa memiliki heroin seberat 6.82 gram di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Tertuduh, Anis Juliana Abdullah, 34, dipercayai memiliki dadah berkenaan selepas bergiat aktif mengedar dadah di beberapa daerah di negeri ini sejak dua tahun lalu.
Dia difahamkan melakukan kegiatan itu untuk menampung kehidupan selepas suaminya dipenjarakan selama tiga tahun juga atas kesalahan dadah.
Bagaimanapun, dia yang beralamat di Kampung Batu 23, Kuala Berang itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, Anis Juliana didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 6.82 gram di sebuah rumah di Taman Binjai, Jalan Dewan Sivik, Rumah Awam Kos Rendah Binjai Rendah,Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 3.30 pagi, 29 Febuari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Seterusnya Zainal Abidin menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang ibu ditahan ketika sedang tidur bersama tiga anak lelakinya masing-masing berusia 10, 15 dan 17 tahun di Taman Sri Binjai, Bukit Payong, Marang kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.
Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dalam satu operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri hasil risikan dan maklumat yang menemui heroin serta pil kuda yang disorokkan di dalam beg tangan miliknya.
Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu selepas suaminya ditahan atas kesalahan mengedar dadah pada April 2009 dan dipenjarakan selama tiga tahun.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan