23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook (gambar) melahirkan kekecewaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga sekarang belum memberi reaksi sepenuhnya terhadap laporan yang dikeluarkan oleh PSC sebelum ini.
Beliau menjelaskan tempoh tiga bulan yang diberikan kepada SPR akan tamat pada 2 Julai nanti namun SPR tetap berdiam diri tanpa sebarang respons.
"SPR sehingga sekarang masih berada di bawah pencapaian di mana tempoh yang ditetapkan oleh PSC untuk tiga bulan memberi maklumat terhadap cadangan tersebut masih tidak ada apa-apa perkembangan.
"Apakah yang berlaku di dalam SPR dan juga cadangan yang dibuat, kita mahu penjelasan segera dari SPR," jelasnya.
Sebelum itu beliau menyatakan pindaan terhadap Peraturan 7 di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuatkuasa pada 30 April memansuhkan peruntukan undang-undang membenarkan bantahan terhadap kertas penamaan semasa hari penamaan calon bagi suatu pilihan raya.
"Ini merupakan perubahan yang besar dan apa yang ingin saya tegaskan adalah jika terdapat sebarang masalah teknikal berhubung dengan kesalahan alamat mahupun tidak menandatangani borang pencalonan SPR tidak boleh menolak kertas pencalonan tersebut.
"SPR hanya berhak menolak kertas-kertas pencalonan apabila seseorang calon itu telah melanggar akta di dalam Perlembagaan seperti muflis, tidak cukup 21 tahun mahupun telah dijatuhkan hukuman melebihi setahun oleh mahkamah," jelasnya pada sidang media di Parlimen.
Tambahnya lagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya mesti menjalankan tugasnya mengikut ruang lingkup yang telah ditetapkan bukannya di luar batasan.
"Kita tidak mahu mereka yang dilantik bertindak diluar batas tugas yang ditetapkan," sambungnya.
Menjawab kepada pertanyaan yang dikemukakan oleh Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan dengan syor yang dicadangkan oleh PSC, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu dari 32 cadangan PSC hanya 10 usul yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 1 Disember 2011.
Antara yang diluluskan dan akan dilaksanakan pada PRU13 nanti adalah penggunaan dakwat kekal.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan