13 Jun 2012

Najib tanggung dosa umat Islam jika PRU musim haji

23 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertanggungjawab ke atas dosa umat Islam di Malaysia sekiranya pilihanraya umum ke 13 diadakan pada musim haji tahun ini, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mat Sabu berkata demikian sebagai menyokong kata-kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyeru ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan jentera parti iaitu calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti untuk menangguhkan ibadah haji tahun ini sekiranya Najib begitu tidak sensitif untuk mengadakan PRU13 di musim haji untuk meningkatkan peluang menangnya.

“Najib yang berkuasa untuk membubarkan parlimen bukan Datuk Tuan. Apa susah sangat nak umum tarikh PRU13? Umumlah sahaja,” kata Mat Sabu kepada Harakahdaily.

Mat Sabu berkata kalau betul PRU13 akan di musim haji untuk kemenangan BN, Najib yang perlu menanggung dosa umat Islam yang menangguhkan ibadah haji untuk PRU13.

Beliau berkata semua pihak mendesak Najib mengumumkan tarikh PRU13 dengan lebih awal supaya mudah untuk rakyat merancang membuat persediaan yang perlu.

“Kalau buat musim haji, sudah tentu orang yang terlibat terus PRU13 akan tangguh, calon tunai haji, siapa yang kempen? Yang paksa mereka tangguh itu Najib sebab buat PRU13 musim haji,” tegas beliau.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim menggesa Najib memberi jaminan tidak akan membubarkan parlimen dan mengadakan PRU13 pada musim haji tahun ini.

Kata beliau, Perdana Menteri sepatutnya boleh mengumumkan tarikh pilihan raya dan tidak perlu berteka-teki kepada rakyat.

"Kita mahukan jaminan Perdana Menteri agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji tahun ini. Sebaik-baiknya kerajaan elak untuk adakan pada tarikh tersebut," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan arahan penangguhan untuk menunaikan haji lebih tertumpu kepada calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti dan bukan semua ahli.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan yang penuh rasuah dan zalim juga merupakan satu kewajipan kepada umat Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, turut menyokong desakan Tuan Ibrahim agar kerajaan memberi jaminan agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji.

"Terpulang kepada Najib untuk menetapkan bila tarikh pilihan raya. Tapi kita mohon jaminan daripada beliau supaya ia tidak diadakan pada musim haji. Selesai masalah," komen ringkas beliau, hari ini.

Ini, tegasnya bagi membolehkan para pengundi yang beragama Islam menunaikan hak mereka di dalam sistem demokrasi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: