23 Rejab 1433H. [MOD] -
ALOR SETAR - Taktik seorang lelaki bersama dua teman wanita warga asing menggunakan rumah teres satu tingkat untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan berjaya ditumpaskan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi hampir sebulan lalu dengan menyewa rumah di taman perumahan di Kuala Kedah.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang berada di rumah itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang kelmarin dalam operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Kedah.
“Lelaki rakyat tempatan bekerja sebagai tukang cat rumah berumur 41 tahun. Dua teman wanitanya seorang warga Thailand berumur 39 tahun manakala seorang lagi tidak mempunyai pengenalan diri namun dipercayai warga Myanmar berumur 30 tahun.
“Polis turut merampas dadah jenis heroin anggaran 1.175 kilogram (kg) dan syabu 2.04 gram dengan nilai rampasan mengikut pasaran sekitar RM44,100 yang dijumpai dalam bilik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.
Hadir sama timbalannya, Asisten Superintendan Mior Abdul Khalil dan pegawai penyiasat Inspektor Ab Halim Mohd Sajudi.
Abd Razak berkata, beberapa barangan seperti peralatan menimbang dadah, sebuah kereta Proton Perdana V6, wang tunai RM7,000 dan Thai Baht 41,500 turut disita.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses membungkus dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Namun kita masih meneruskan siasatan untuk memastikan sindiket yang sama pernah beroperasi di tempat lain sebelum ini atau sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan saringan ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan