23 Rejab 1433H. [MOD] -
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal gembira dengan persembahan anak buahnya ketika mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Singapura malam tadi pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.
Ia sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Singapura ke atas Malaysia selama lapan tahun lalu.
''Pada perlawanan pertama Jumaat lalu, kami memang nak menang. Apabila keputusan menjadi seri, semangat ini kami bawa pada malam ini (tadi). Kami umpama 'harimau yang kelaparan'.'' jelas Rajagobal kepada pemberita ketika sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Beliau juga memuji gandingan jentera tengah yang diterajui oleh Safiq Rahim dan K.Gurusamy yang semakin serasi.
"Saya lihat prestasi Gurusamy semakin meningkat dan untuk perlawanan tadi saya tidak menganggap permainan Singapura teruk, permainan kami juga baik," katanya.
Jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memberitahu beliau tidak berasa kecewa dan mempunyai alasannya tersendiri.
"Saya tidak berasa terlalu kecewa kerana banyak pemain saya tidak beraksi. Saya tak terkejut dan sudah menjangka Malaysia akan menyerang tetapi tidak sangka akan jadi begini.
"Tetapi ia bagus untuk kedua-dua pasukan," jelas beliau.
Sementara itu, penjaring gol pertama Malaysia, Ahmad Shakir Md Ali mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan jurulatih.
"Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan dan jurulatih kerana berjuang sehingga tamat perlawanan.
"Kami bermain mengikut arahan jurulatih dan saya tekad untuk memberikan aksi terbaik kerana diberi peluang bermain.
"Gol pertama tadi memberi semangat kepada kami untuk memberikan aksi lebih mantap," ujarnya.
Dalam masa yang sama, kapten skuad negara, Safiq Rahim selaku penjaring kedua, mahu rakan sepasukan bekerja dengan lebih keras.
Perancang utama Selangor itu menegaskan meskipun berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Singapura selama lapan tahun tetapi Safiq tidak mahu dijadikan alasan untuk mendabik dada dengan kemenangan itu.
"Saya akui kami gembira dengan kemenangan tersebut tetapi kami tidak boleh cepat berpuas hati.
"Kami harus bekerja lebih keras sebagai usaha untuk mempertahankan status juara Piala Suzuki AFF yang mana skuad negara perlu konsisten untuk mengekalkan persembahan mantap.'' katanya.
Selepas ini, skuad negara akan menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City pada 27 dan 30 Julai sebagai persiapan terakhir sebelum misi mempertahankan Piala Suzuki AFF selaku tuan rumah bersama Thailand pada November ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan