23 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendakwa Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop menghina rakyat negara ini apabila mengatakan insiden di dalam Himpunan Bersih 3.0 yang lalu adalah kerana hasutan Pakatan Rakyat.
Katanya, kenyataan timbalan menteri terbabit memberi gambaran seolah-olah rakyat yang menyertai himpunan itu tidak mampu berfikir sendiri.
"Sedangkan rakyat hari ini mempunyai pemikiran yang jauh ke depan berbanding pimpinan negara," katanya ketika ditemui.
Sebelum itu dalam jawapannya, Abu Seman dengan tegas menyatakan rusuhan yang berlaku dalam Bersih 3.0 lalu berpunca daripada hasutan pembangkang.
"Ungkapan (hasutan pembangkang) yang sering diucapkan kerajaan daripada dulu lagi bila berhadapan dengan desakan rakyat kemudian mula mengatakan ia adalah hasutan pembangkang," kata Mahfuz.
Tetapi hakikatnya, jelas Mahfuz, mereka cuba menafikan bahawa rakyat pada hari ini adalah rakyat yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran politik yang sangat tinggi.
Malah, katanya rakyat semakin bijak dalam membuat tindakan, seperti mana yang berlaku pada hari ini.
"Kita lihat bahawa jurang pemikiran yang begitu jarak antara rakyat biasa dengan pemimpin negara di mana pemikiran rakyat biasa ini jauh meluncur ke depan namun pemikiran pemimpin negara seolah masih berada di dalam gua batu, mereka ini masih berfikiran politik primitif," katanya.
Bagaimanapun beliau menyerah kepada kerajaan sama ada untuk mendakwa Pakatan Rakyat atau sebaliknya.
"Padahal mereka sudah mendakwa Anwar Ibrahim, Azmin Ali. Dakwaan ini sudah dibuat sebelum ada keputusan dari Jawatankuasa Panel Penyiasat. Nampaknya mereka bertelagah dalam pemikiran mereka sendiri," katanya.
Hakikatnya, kata beliau sehingga hari ini video bersih tidak dapat dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) walaupun diumumkan akan dimuat turun dalam webnya, akhirnya ditarik balik.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan