05 September 2012

Kes pijak gambar PM, model serah diri

17 Syawal 1433H. [MOD] - Seorang gadis 19 tahun- antara 11 individu yang dikehendaki berhubung kelakuan mereka semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada Khamis malam lalu - hari ini menyerah diri kepada polis.

Gadis tersebut hadir ke sebuah balai polis di Johor Bahru dengan ditemani pemimpin DAP, termasuk ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan timbalan pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez.

Gadis itu seterusnya ditahan dan digari oleh polis serta akan dibawa ke balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur yang menyiasat kes tersebut.

Menurut Norman, gadis yang juga model sambilan itu ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Gadis itu didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam perhimpunan Janji Demokrasi pada malam itu. (MKini)

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan meninggal dunia

17 Syawal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 5 Sept. - Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini kira-kira pukul 5 petang ini.

Dr. Mahadzir, 67, dimasukkan ke pusat perubatan itu selepas mendapat serangan jantung petang semalam.

Beliau yang dilahirkan di Yan, Kedah pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan manakala 2004 dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun beliau digugurkan daripada jawatannya dalam rombakan kecil Kabinet pada Mac 2004. (Bernama)

Hina gambar: Kerajaan perlu nilai kenapa berlaku

17 Syawal 1433H. [MOD] - Salmiyah Harun, 05 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.

"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.

Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.

"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya.

Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng meminta pihak berkuasa turut menyiasat individu memijak gambarnya.

Terdahulu, di Dalam Himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu segelintir peserta himpunan dipanggil polis kerana telah bertindak memijak dan menghina gambar pimpinan negara.

Tindakan mereka itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan menyifatkan ia tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.(Hkh)

Gerakan selamatkan negara perlu disegera

17 Syawal 1433H. [MOD] - Yaakub Dasan, 05 Sep 2012

RANTAU PANJANG: Negara perlu diselamatkan segera bagi mengelakkan lebih banyak penyelewengan dilakukan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) demi masa depan rakyat negara ini.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub berkata, antara penyelewengan yang dikesan penglibatan Bank Negara dalam spekulasi mata wang menyebabkan kerugian RM30 bilion.

Selain itu kerajaan BN menggadaikan lebih separuh daripada jumlah tiga juta ekar tanah rizab Melayu.

“Begitu juga wang yang dibawa keluar dan disimpan di negara asing berjumlah RM1.08 trilion dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” katanya pada Ceramah Merdeka di Pusat Tarbiah PAS Rantau Panjang di sini malam tadi.

Hadir sama bekas Pengerusi Mara, Datuk Tamrin Ghafar, bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Sobri Shafii, Yang Dipertua (YDP) PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Naib YDP, Mohamad Awang dan Ketua Penerangan, Abul Aziz Yunus.

Orang ramai memenuhi perkarangan markas tersebut yang terletak di jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

Dr Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan mendedahkan silap urus tadbir Bumiputra Malaysia Fincance (BMF) di Hong Kong pada 1980-an menyebabkan negara kehilangan ratusan juta ringgit.

Oleh itu kata beliau gerakan menyelamat perlu disegerakan sekiranya rakyat benar-benar mahukan negara ini selamat.

“Dengan adanya kesedaran rakyat bagi menyelamatkan situasi tersebut peluang Pakatan Rakyat untuk menang semakin hampir,” katanya sambil disambut laungan boleh oleh orang ramai.

Begitu juga katanya potensi di Negeri Sembilan diyakini peluang mendapat majoriti mudah semakin cerah daripada jumlah 36 kerusi Dun.

Sementara itu Tamrin mendedahkan beliau meninggalkan Umno kerana memikirkan keadaan di Padang Mahsyar kelak akan terbeban sekiranya terus bersekongkol dengan kerajaan yang menyeleweng.

“Saya masuk PAS bukan kerana nak cari makan, tetapi takut disoal oleh malaikat kenapa masih sokong Umno sedangkan kita tahu kerajaan BN menyeleweng,” katanya.

Sastrawan Negara sedia beri keterangan

17 Syawal 1433H. [MOD] - Harakahdaily,
05 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 3.00 petang esok bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membaca puisi di perhimpunan janji demokrasi, Khamis lalu.

A. Samad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau tidak dapat memenuhi permintaan polis agar beliau hadir ke balai polis jam 6 petang tadi kerana sedang berada dalam program lain.

"Mereka mahu saya datang ke IPD Dang Wangi pada jam 6.00 petang ini, tetapi saya menolak kerana ada acara lain. Lagipun, masa itu terlalu singkat.

“Namun, saya bersetuju untuk hadir selepas anggota Gabungan Janji berunding agar masa itu dianjak kepada 3.00 petang esok,” katanya kepada Keadilandaily.

Gabungan Janji disertai 47 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu di Dataran Merdeka sempena sambutan kemerdekaan negara ke 55.

Walaupun tidak diberikan permit oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perhimpunan tersebut berjalan aman dengan dihadiri 20,000 rakyat berbaju kuning.

Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

04 September 2012

Jangan jadi orang yang 'perkosa' masjid

16 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Usaha menghalang masjid daripada disuburkan dengan risalah-risalah Allah merupakan satu usaha yang zalim dan tidak bertamadun.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, berkata jika seseorang itu melakukan usaha bagi menghalang dakwah Allah, maka ia akan berdepan dengan tindakan Allah itu sendiri d akhirat kelak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan di sebuah masjid, di Alor Setar, ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan tazkirah Maghrib, baru-baru ini.

"Umat Islam sepatutnya menyedari segala perkara dalam dunia ini berkaitan, orang yang tidak berilmu akan menjadi jahat, dan begitu sebaliknya. Dalam Islam, siapa yang ingin perkasa, perlu dengan Allah, kalau tidak jadi pekasam," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, setiap seorang yang ingin memperkasakan diri ia perlu bersama Allah, kerana hanya dengan Allah ia akan jadi perkasa.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap insiden berkenaan, Ustaz Ghani yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS, gangguan terhadap rumah Allah itu satu perbuatan yang biadap, lebih-lebih lagi ketika tazkirah dijalankan.

"Kalau mereka tidak mahu mendengar tazkirah tersebut, keluarlah dengan baik. Ini tidak, setelah membuat bising di dalam dan setelah diminta keluar, berterusan membuat bising. Ini tidak bertamadun," kata beliau yang turut berada di masjid berkenaan.

Sedangkan, tambah beliau ketika itu tazkirah dijalankan oleh seorang yang dikenali dan pernah menjadi pemimpin negara suatu ketika dahulu yang begitu dikenali ramai.

Menurutnya lagi, mengganggu majlis dengan membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam tanpa sebarang bukti hanya menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang gemar 'memperkosa' majlis agama ini agar menghentikan perbuatan tersebut memandangkan perbuatan tersebut akan berdepan dengan tindakan Allah SWT di akhirat kelak.

"Nasihat saya, jangan jadi orang yang perkosa masjid. Kalau nak jadi perkasa, kena bersama-sama dengan Allah, baru perkasa. Bukan jadi perkosa," tegas beliau.

HARAKAHDAILY/-

Kedah: Kamarudin terkejut laporan Sinar Harian

16 Syawal 1433H. [MOD] -

(Laporan laman web yang diakui silap oleh wartawannya)

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar terkejut apabila beliau diberitakan sebagai berkata akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan negeri Kedah.

Ini kerana, beliau tidak pernah merujuk kepada Kedah ketika menjawab panggilan seorang wartawan.

"Saya hanya berkata secara umum tanpa merujuk kepada Kedah tetapi terkejut sungguh saya apabila kenyataan saya itu dikaitkan dengan Kedah," kata Kamarudin kepada Harakahdaily.

Laman web pro Umno, www.Mole.my dalam laporannya mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak akan kehilangan jawatannya tidak lama lagi ekoran perebutan dalaman PAS dan disahkan pula oleh kepimpinan utama PAS.

Laman yang dikaitkan dengan Datuk Ahirudin Atan atau Rocky Bru itu mengaitkan kenyataan Kamarudin sebagai sumbernya.

Laman berita itu melaporkan, Datuk Kamarudin mengesahkan kemungkinan Ustaz Azizan akan diganti.

Yang menjadi semakin parah adalah apabila laporan ini dipetik pula oleh akhbar Sinar Harian.

Wartawan Mole, Firdaus Azil Ketika dihubungi Harakahdaily mengaku silap dalam membuat berita tersebut.

"Memang benar Datuk Kamarudin bercakap begitu tetapi saya setuju dia tidak merujuk kepada Kedah.

"Dia hanya merujuk secara umum tanpa mengaitkannya dengan Kedah.

"Saya pula ketika membuat berita itu merujuk kepada Kedah," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berjanji akan membuat laporan semula bagi membetulkan laporannya semalam.

Namun sehingga berita ini ditulis, Mole belum membuat sebarang pembetulan ke atas laporan yang diakui silap oleh wartawannya itu.

HARAKAHDAILY/-

Antara pijak gambar Najib dan kencing gambar Tok Guru Nik Aziz




16 Syawal 1433H. [MOD] -

Satu Malaysia kecoh. Semua menteri termasuk Prof UMNO komen cakap pembangkang pijak gambar DS Najib. Kalau orang BN buat takpa pula ye. Agak-agak keluar tak gambar 2 tu kat dalam TV.Yang pasti :

1) Aku mengutuk sesiapa yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

2) Aku juga mengutuk mereka yang telah kencing gambar Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz.

Aku mengutuk semua lambang-lambang perbuatan rendah akhlak ini. Anda pula bagaimana? Adakah anda bersetuju akan perkara nombor 1 dan buat-buat tak tahu akan hal nombor 2 tersebut?

HARAKAHDAILY/-

Najib Boleh Adakan Sekatan Politik Tapi Najib Tidak Boleh Sekat Yang Ini...

16 Syawal 1433H. [MOD] -

Najib dilaporkan meminta anggota Barisan Nasional (BN) bersatu hati membentuk 'sekatan politik' untuk memastikan hasrat dan langkah pembangkang merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang dapat dihalang, demikian lapor BERNAMA kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata sebab itu Umno dan parti komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh menang tetapi menang besar dengan cukup bergaya.

"Kalau mereka (pembangkang) ada slogan 'The Road To Putarajaya' (Laluan Ke Putrajaya), kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya, kita tak nak buat 'roadblock' (sekatan jalan) polis tapi kita buat 'roadblock' daripada segi politik kerana mereka tidak layak duduk di Putrajaya.

Apa yang disampaikan oleh Najib itu lansung tidak akan memberi bekas kerana tiada siapa layak untuk mengadakan sekatan jika Allah mengkehendaki pertukaran kerajaan dari BN kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara.

Putrajaya bukan milik UMNO BN.

Firman Allah di dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat ke 26 bermaksud;

“.... Engkau memberikan kekuasan kepada orang yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki...” (Ali-Imran: 26)

Doa dan munajat berterusan kita akan mengalahkan UMNO BN dan menurunkan Najib dari takhta kekuasaannya. Segala penipuan, segala kezaliman dan segala ketidak-adilan UMNO BN perlu dihentikan dengan segera dengan menggantikan mereka dengan Pakatan Rakyat.

Pengantin berputih mata kereta dipecah masuk

16 Syawal 1433H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Sepasang pengantin baru tidak menyangka hari bersejarah mereka berakhir dengan tragedi apabila kereta milik pasangan itu dipecah masuk di Taman Semarak, di sini, petang kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan mereka mengalami kerugian hampir RM3,000.

Pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azril, 27, berkata, sebelum kejadian berlaku, kereta jenis Myvi yang dipecah masuk itu digunakan oleh keluarga pengantin perempuan untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan dianjurkan pengantin lelaki.

Menurutnya, kereta itu diletakkan bersama-sama dua kenderaan milik jurugambar di tempat parkir berhadapan Surau Taman Semarak.

"Kejadian kereta saya dipecah masuk hanya disedari kira-kira jam 4 petang apabila adik saya yang hendak mengambil barang di dalam kereta berkenaan terkejut melihat cermin sisi bahagian kiri pecah dan kaca bertaburan di atas tempat duduk penumpang.

“Saya dan isteri yang ketika itu hendak ke lokasi penggambaran untuk sesi fotografi terkejut dengan kejadian itu dan bergegas memeriksa barang-barang yang disimpan di dalam kenderaan itu," katanya.

Tambahnya, setelah memeriksa di dalam kereta, dia mendapati dompet, beg tangan isteri dan tiga telefon bimbit jenis Samsung, Sony Ericsson dan Nokia yang disimpan di dalam beg tangan telah dicuri bersama-sama sebuah beg berisi baju persalinan untuk sesi fotografi.

“Saya rasa terkejut dan sedih apabila perkara malang sebegini berlaku pada hari berbahagia kami dan kami menganggarkan kerugian keseluruhan hampir RM3,000 termasuk wang tunai dan kos membaiki cermin,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pekarangan Balai Polis Parit Buntar, di sini lewat petang kelmarin.

Azril berkata, berikutan kejadian itu, beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan cuba menjejaki ketiga-tiga telefon bimbit yang hilang di kedai menjual alat komunikasi sekitar pekan baru Parit Buntar.

Menurutnya, salah sebuah telefon bimbit itu berjaya dikesan dan ia telah dijual di sebuah premis kira-kira dua jam selepas kejadian itu, manakala dua lagi telefon bimbit gagal dikenal pasti.

“Berikutan penemuan itu, saya bersama isteri terus membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada jam 5 petang dan berharap pihak berkuasa dapat menjejaki individu tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat onar pada hari bersejarah kami.

“Bagi kami, peristiwa ini pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Saya juga berharap polis dapat meningkatkan pemantauan di kawasan perumahan kami kerana kejadian samun dan pecah masuk kenderaan penduduk semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian terbabit dan menjelaskan kes itu masih dalam siasatan polis.

sinar harian/-

Gempa Bumi Kecil Gegar Beverly Hills

16 Syawal 1433H. [MOD] -

LOS ANGELES: Gempa bumi kecil berukuran 3.3 magnitud dilaporkan melanda kawasan ini pada malam Isnin, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Gempa bumi itu yang berpusat di Beverly Hills berlaku pada kira-kira jam 3.26 pagi waktu tempatan.

Tiada laporan diperolehi berkaitan kerosakan harta benda.

13 ekor ikan paus mati terdampar di Scotland

16 Syawal 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH anggota penyelamat berusaha untuk mengapungkan beberapa ekor ikan paus pilot yang terdampar di Pittenweem kelmarin.

LONDON - Sebuah pertubuhan penyelamat hidupan liar menyatakan 13 ekor ikan paus pilot mati selepas terdampar di luar pantai Pittenweem, timur Scotland.

Pertubuhan Penyelamat Hidupan Marin dan Penyelam Britain menyatakan haiwan itu merupakan antara 26 ekor ikan paus pilot yang terdampar kelmarin.

Sejumlah anggota pengawal pantai, bomba, polis dan kakitangan sukarelawan kesihatan haiwan turut berusaha untuk menyelamatkan haiwan tersebut. - AP

Bersyukur Sekecil Apapun

16 Syawal 1433H. [MOD] -

Pernah di Rumah Amalia seorang ibu bertanya kepada saya, 'kalo hidup saya menderita, apa yang harus disyukuri Mas Agus?' tuturnya dengan setengah memprotes. Kemudian saya menjelaskan bahwa bila kita senantiasa bersyukur sekecil apapun nikmat Allah yang diberikan kepada kita termasuk ketika kita penderitaan maka Allah akan menganugerahkan kebahagiaan untuk kita. Mendengar penjelasan itu beliau menjadi mengerti makna bersyukur. Dalam penuturannya sewaktu kecil mempunyai harapan yang ideal terhadap sosok orang tua karena belum mengerti betapa rumitnya kehidupan, ia berharap orang tuanya tidak melakukan kesalahan yang membuat dirinya malu. Kenyataan yang justru dialami adalah ayahnya justru membuat kecewa. Disaat usianya bertambah, dirinya bisa menerima kenyataan pahit bahwa ayah yang diidolakan ternyata memiliki kekurangan. Ayah menikah berkali-kali, meski semua itu tidak direncanakan, toh perjalanan dalam hidup harus dilalui.

Tidak ada ayah yang sempurna, tidak ada pernikahan yang sempurna, setiap orang bisa melakukan kesalahan yang membuat dirinya nampak tidak sempurna dimata anaknya. Itulah yang terjadi. Bersyukur sekecil apapun berarti melihat sisi baik, meski ayahnya menikah berkali-kali tetapi beliau bertanggungjawab terhadap ibu dan anak-anaknya. Kebahagiaan juga dirasakan dengan keharmonisan sampai tumbuh dewasa dengan baik.

Sampai suatu hari ada kabar bahwa sang ayah menderita sakit keras harus dirawat di Rumah Sakit, ibu itu sebagai seorang anak mendampingi dan merawat ayahnya. Selama sakit ayahnya mengungkapkan perasaan bersalah terhadap anak-anak & istrinya. Perasaan bersalah itulah yang menyebabkan ayah jatuh sakit. Ia sebagai anak mampu memaafkan sehingga kesehatan sang ayah menjadi cepat pulih. Dulu setiap kali melihat sosok ayah selalu saja membuatnya marah. Alhamdulillah, Allah membukakan pintu hatinya sehingga menyadari ternyata memaafkan jauh lebih membahagiakan daripada membenci. Perasaan benci dapatkan menghancurkan karena menimbulkan stres berkepanjangan. Ia dapat merasakan sendiri dengan meninjau ulang pandangannya terhadap ayah, ia dapat melihat kebaikan dan memaafkan kesalahan-kesalahan ayahnya, dengan demikian hatinya menjadi terasa lebih ringan dan lebih indah.

Dengan bersyukur ibu itu sudah berhasil mengatasi perasaan marah dan menggantikannya dengan kasih sayang, keyakinannya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala ia berhasil mengelola sumber stres itu hingga berhasil mensyukuri keadaan. Belajar dari pengalaman ayah itulah ia menyadari tidak ada orang yang sempurna juga tidak ada perkawinan yang ideal, yang ada adalah keberanian dan ketabahan menghadapi ujian dan cobaan yang Allah berikan agar kita senantiasa bersabar dan bersyukur dalam hidup ini. Akhirnya memaafkan selalu lebih membahagiakan daripada hidup dalam kebencian.

Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Bila mendapatkan nikmat, ia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya. Bila mendapatkan cobaan, ia bersabar dan sabar itu baik baginya. (HR. Muslim).

posted by :agussyafii

Masuk Islam, tidak jadi bunuh diri kerana budak kecil

16 Syawal 1433H. [MOD] -

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata, “Bersedia untuk apa?”

“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah.”

“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat.”

“Ayah, bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun?”

Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini.”

Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?”

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”

“Terima kasih Ayah.” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.

Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50-an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?” Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah.” Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu,” dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya ”Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu,” tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu.

“Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.

Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher.

Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi.”

“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu.”

“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat."

“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik,”

Itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar.”

“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi.”

“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka.”

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

malaysia harmoni/-

Penyelia PWB mendapat elaun tetap

16 Syawal 1433H. [MOD] -

(Penyelia dan penyelaras PWB bergambar dengan isteri MB Selangor)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyediakan elaun RM750 sebulan untuk penyelia dan penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi melancarkan lagi aktiviti program dalam menaikkan pendapatan wanita.

Demikian kata Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail dalam Majlis Penghargaan Penyelaras dan Penyelia (P&P), PWB di SUK Shah Alam petang semalam.

PWB telah beroperasi di sekitar Selangor dalam masa dua tahun sejak 2010 bagi membantu memberi pendapatan kepada peserta di samping menggalakkan pembukaan lebih PWB.

“Antaranya kita berbangga dengan kejayaan PWB Dun Ijok yang berjaya dengan usaha jahitannya, PWB Dun Batu Tiga dengan tenunan kainnya dan PWB Selat Kelang yang berjaya dengan program-program keusahawanannya.

“Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa wanita Selangor semakin perkasa dan berdaya serta mampu memainkan peranan penting dalam memantapkan struktur ekonomi negeri," kata Rodziah.

Sementara itu, Anizan Othman, penyelaras PWB Dun Kota Anggerik berikrar untuk berusaha membantu wanita memainkan fungsi maksimum memacu ekonomi keluarga dan negeri.

“Antara lain saya ingin menarik penyertaan wanita orang asal di Kota Anggerik iaitu lebih kurang 39 orang,” katanya apabila ditermui.

“Saya percaya semua usaha murni yang berterusan daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat dan PWB akan menjadikan wanita lebih berdikari serta menguntungkan negeri bagi jangka masa panjang,” ujarnya.

Pada Julai lalu, PWB menerima peruntukan sebanyak RM1.33 juta di bawah Geran Selangorku, bagi tempoh enam bulan akan datang.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut bagi merasmikan majlis dengan menyampaikan watikah perlantikan Penyelaras dan Penyelia PWB kepada 56 wakil.

harakahdaily/-