04 September 2012

Kedah: Kamarudin terkejut laporan Sinar Harian

16 Syawal 1433H. [MOD] -

(Laporan laman web yang diakui silap oleh wartawannya)

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar terkejut apabila beliau diberitakan sebagai berkata akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan negeri Kedah.

Ini kerana, beliau tidak pernah merujuk kepada Kedah ketika menjawab panggilan seorang wartawan.

"Saya hanya berkata secara umum tanpa merujuk kepada Kedah tetapi terkejut sungguh saya apabila kenyataan saya itu dikaitkan dengan Kedah," kata Kamarudin kepada Harakahdaily.

Laman web pro Umno, www.Mole.my dalam laporannya mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak akan kehilangan jawatannya tidak lama lagi ekoran perebutan dalaman PAS dan disahkan pula oleh kepimpinan utama PAS.

Laman yang dikaitkan dengan Datuk Ahirudin Atan atau Rocky Bru itu mengaitkan kenyataan Kamarudin sebagai sumbernya.

Laman berita itu melaporkan, Datuk Kamarudin mengesahkan kemungkinan Ustaz Azizan akan diganti.

Yang menjadi semakin parah adalah apabila laporan ini dipetik pula oleh akhbar Sinar Harian.

Wartawan Mole, Firdaus Azil Ketika dihubungi Harakahdaily mengaku silap dalam membuat berita tersebut.

"Memang benar Datuk Kamarudin bercakap begitu tetapi saya setuju dia tidak merujuk kepada Kedah.

"Dia hanya merujuk secara umum tanpa mengaitkannya dengan Kedah.

"Saya pula ketika membuat berita itu merujuk kepada Kedah," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berjanji akan membuat laporan semula bagi membetulkan laporannya semalam.

Namun sehingga berita ini ditulis, Mole belum membuat sebarang pembetulan ke atas laporan yang diakui silap oleh wartawannya itu.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: