04 September 2012

Laman web kerajaan Sweden dilanda serangan siber

16 Syawal 1433H. [MOD] -

STOCKHOME: Beberapa laman web rasmi kerajaan Sweden telah diserang dan berada dalam situasi luar talian untuk beberapa jam Isnin lalu, walaupun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab untuk serangan tersebut.

(Satu kumpulan yang tidak dikenalpasti yang menyokong Julian Assange dilaporkan mendakwa bertanggungjawab atas serangan siber tersebut di Twitter)

Laman web kerajaan Sweden, Angkatan Tentera dan Swedish Institute adalah antara laman-laman web yang terkena serangan siber tersebut.

"Saya boleh mengesahkan bahawa laman web kerajaan mempunyai masalah hari ini, tetapi atas faktor-faktor keselamatan, saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut," Anna Dahlen, jurucakap kerajaan Sweden, memberitahu agensi berita AFP sambil menambah bahawa dia tidak pasti bila laman web yang diserang akan kembali beroperasi dalam talian.

Antara laman web yang diserang adalah sweden.se - yang memberikan maklumat umum mengenai Sweden, dan studyinsweden.se.

Patrik Braennstroem, hos laman web sweden.se, berkata "serangan ini tergolong dalam serangan DDoS [distributed denial of service]".
Beliau percaya ‘sudah pasti’ laman-laman web rasmi yang lain adalah mangsa serangan yang sama.

Niklas Englund, ketua media digital di Angkatan Tenterata Sweden, berkata masih tidak jelas siapakah dalang di sebalik serangan DDoS tersebut, di mana laman-laman web dibanjiri dengan trafik palsu.

Tetapi beliau menyatakan bahawa sebuah kumpulan yang tidak dikenalpasti yang menggesa kerajaan Sweden untuk "tidak mengganggu Assange" mendakwa bertanggungjawab atas serangan tersebut di Twitter.

Pengasas Wikileaks Julian Assange telah berlindung di Kedutaan Ecuador di Britain sejak Jun 19 dalam usaha untuk mengelakkan dihantar balik ke Sweden, di mana pihak pendakwa raya Sweden mahu menyoal pengasas laman web pemberi maklumat, Wikileaks, tersebut atas dakwaan jenayah seks.

Sementara itu, satu tweet oleh penggodam Anonymous cawangan Sweden berkata: "Terdapat dakwaan malam tadi tentang regeringen.se diserang, tetapi kami tidak dapat mengesahkan ia buat masa ini," merujuk kepada laman web kerajaan.

Anonymous "biasanya akan heboh mengaku bertanggungjawab atas seranganya," pakar komuniti Internet, Marcin de Kaminski memberitahu AFP.

Anonymous telah melakukan beberapa serangan siber terhadap laman web kerajaan, termasuk kerajaan-kerajaan Poland dan Greece.

harahkahdaily/-

Tiada ulasan: