14 Disember 2012

Rezeki si penjinak ular

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Rezeki si penjinak ular
Seorang anak murid Mohd Hamdan menunjukkan kebolehan ‘bermain ular’ dengan mencium haiwan berbisa itu.
Rezeki si penjinak ular
Mohd Hamdan (kanan) bersama empat pemain ular yang belajar daripadanya untuk buat persembahan ular dan menjinakkan reptilia berbisa itu.
 
Sebut sahaja ular, pasti ramai menyatakan rasa takut terhadap reptilia berbisa itu apatah lagi jika tahu serangan haiwan itu boleh membawa pelbagai komplikasi termasuk maut.

Kalau boleh, majoriti kita tidak mahu ‘berjumpa’ dengan haiwan berbisa itu dalam apa jua keadaan dan jika ada yang berani sekali pun, mungkin sekadar memegang spesies ular jinak seperti sawa.

Justeru, agak menakjubkan apabila Mohd Hamdan Mahadi, 33, dari Guchil 1, di sini, bukan sahaja mampu bermain dan menjinakkan ular berbisa malah menjadikan ‘persahabatan’nya bersama reptilia itu sebagai sumber rezeki.

Senaraikan sahaja kebanyakan jenis ular, dari sawa hingga pelbagai jenis tedung berbisa, semuanya pernah ditangkap Mohd Hamdan malah jumlah tangkapannya sehingga kini dikatakan mencecah puluhan ribu ekor.
Main ular sumber utama pendapatan

Bagi Mohd Hamdan, biar berbahaya dan upahnya tidak selumayan kerja lain, ia tidak menghalangnya menjadikan kerja menangkap dan membuat pertunjukan ular sebagai sumber pendapatan utama.
“Kalau rumah dimasuki ular dan tuan rumah panggil saya, saya akan tangkap dan tidak harapkan apa-apa bayaran. Jika ada orang mahu saya usahakan juga tangkap ular seperti dalam lubang, baru ada bayaran,” katanya.

Untuk pertunjukan ular pula katanya, dia mampu memperoleh kira-kira RM500 untuk sehari persembahan di Kuala Krai dan mencecah RM700 jika libatkan lokasi di luar daerah ini.

“Walaupun sudah banyak kali dipatuk dan disembur bisa, saya tidak serik untuk terus ‘bersahabat’ dengan ular, lagi pun ini satu-satunya bidang yang saya mahir dan minat,” katanya.

Digelar Raja Ular Kelantan ketika berusia 18 tahun
Mengimbas sejarahnya bermain ular, Mohd Hamdan mula berjinak dengan reptilia itu ketika berusia 14 tahun sebelum makin aktif dua tahun kemudian apabila mampu menjinakkan spesies ular berbisa.

“Masa umur 16 tahun, saya juga mula belajar dengan seorang kawan buat pertunjukan ular di merata-rata tempat seperti di ekspo, konsert dan program besar termasuk di luar Kelantan.

“Waktu itu, saya sudah mahir jinakkan ular, jadi kawan saya pula belajar cara nak tangkap ular kerana sebelumnya, dia hanya buat pertunjukan ular sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia mula dikenali sebagai Raja Ular Kelantan ketika berusia 18 tahun selepas menang tempat kedua pertandingan pertunjukan ular di Thailand.

Sedia khidmat tangkap ular, penawar bisa
Bagi khidmat sukarela, Mohd Hamdan kerap dipanggil membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) apabila melibatkan operasi menyelamat berkaitan ular.

Lebih membanggakan, dia tidak pernah kedekut ilmu kerana dari masa ke semasa menerima pelajar baru dari seluruh negeri ini yang ingin belajar cara bermain ular.

“Setakat ini, seramai 48 orang datang belajar untuk jadi ‘pemain ular’ dengan saya tetapi bukan semuanya berjaya sebab sedikit sebanyak bakat juga perlu ada,” katanya.

Menurut Mohd Hamdan, mereka ingin belajar bermain ular, perlukan bantuan untuk jinakkan ular atau penawar bisa ular boleh menghubunginya di 012-9619443.

sinar/-

Mahathir Sindir Rosmah, Ingatkan Kedudukan Najib

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Akibat menonjol melebihi suaminya, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi bahan sindiran mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, isteri Datuk Seri Najib Razak itu sekali lagi mengejutkan rakyat dengan penghasilan buku biografinya yang dikatakan ‘menjawab secara telus’ isu dakwaan kononnya fitnah ke atasnya.

Mahathir dilapor berkata, isteri PM itu berhak untuk menonjol setinggi mana sekalipun.

Beliau ditanya mengenai pandangan sama ada profil Rosmah menjadi tinggi berbanding isteri PM sebelum ini.

“Tidak ada format standard untuk dipenuhi sekiranya anda menjadi isteri kepada Perdana Menteri. Anda boleh menonjol semahunya,” kata Mahathir dipetik.

Mengulas isu ini, Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aisyah Shaik Ismail berkata, kenyataan Mahathir yang memberikan ‘lampu hijau’ untuk Rosmah menonjol semahunya adalah sindiran jelas dan peringatan kepada Najib.

“Mahathir sebenarnya mahu ingatkan Najib bahawa tidak ada isteri PM yang lebih menonjol daripada Rosmah,” kata Aisyah ketika dihubungi.

“Semua rakyat tahu kedudukan Rosmah seperti PM. Tapi perkara ini dipandang sepi oleh Umno. Sebab itu Mahathir ‘membenarkan’ Rosmah ke depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Rosmah supaya sedar siapa dirinya sebelum rakyat menghukum kesombongannya.

“Kalau ikutkan, Rosmah baru sahaja beberapa tahun jadi isteri PM. Isteri Mahathir, (Tun) Siti Hasmah (Mohd Ali) pun tidak sepertinya yang lebih lama menjadi isteri PM.

“Akibat keangkuhan itu, rakyat akan hukum Najib yang akhirnya kalah pada pilihan raya akan datang,” ujar Aisyah. -KD

Dua kali gerai dirempuh

30 Muharram 1433H. [MOD] -

MUSNAH...orang ramai melihat MPV yang terperosok ke dalam gerai makan.
MUSNAH...orang ramai melihat MPV yang terperosok ke dalam gerai makan. 
KUANTAN: “Hanya dua minit memisahkan saya dengan maut kerana jika saya lambat sedikit meninggalkan dapur, sudah pasti nyawa saya melayang dirempuh kereta itu,” kata Roziah Abdul Rahman, 33, pemilik gerai makan yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Setongkol, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, bahagian depan gerai makannya roboh, manakala dapurnya pula musnah sama sekali apabila MPV jenis Toyota Estima dinaiki pasangan suami isteri berkenaan merempuh gerainya yang dibuka sejak jam 3 petang.

Katanya, sebelum kejadian, dia baru selesai menyiapkan nasi goreng dipesan pelanggan, manakala suami, Ikhwan Nasir Jahudin, 37, berada di bahagian tepi gerai bersama anak keduanya, Nor Syafikah Ikhwan Nasir, empat tahun.

“Selepas masak, saya pergi ke arah anak bongsu saya (Nor Ain Aisyah, 16 bulan) yang berada di sofa di tepi dapur dan mengangkatnya ke dalam buaian bagi menidurkannya.

“Namun, beberapa saat kemudian saya mendengar bunyi brek kenderaan sebelum melihat sebuah kereta berwarna putih meluru laju ke arah gerai menyebabkan saya menjerit ke arah suami dan seorang pelanggan supaya melarikan diri,” katanya.

Katanya, kereta berkenaan merempuh bahagian dapur sebelum terhenti di hadapan gerai dan apa yang membimbangkan, kereta itu berkemungkinan meletup kerana tong gas digunakan untuk memasak turut diseret dan melekat di bawah kenderaan berkenaan.

Roziah berkata, dia bersyukur keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun terkilan melihat gerai yang diusahakan sejak 13 tahun lalu musnah.

“Saya kecewa kerana pemandu yang merempuh gerai saya tidak meminta maaf sebaliknya terus meninggalkan gerai ini dengan menaiki sebuah kereta lain,” katanya.

“Saya tidak pasti bila gerai kami ini akan dapat beroperasi semula memandangkan banyak barang terutamanya dapur, kerusi dan meja mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Sementara itu, Ikhwan berkata, dia tidak menyangka kejadian sama yang pernah berlaku dua tahun lalu berulang kembali dan lebih menyedihkan, kerosakan dan kerugian kali ini lebih teruk.

metro/-

'Hasan Ali tidak layak desak Nik Aziz'

30 Muharram 1433H. [MOD] -

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan Tantawi 
 
SHAH ALAM – Pemuda Pas Pusat menegaskan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak berhak untuk meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Mursyidul Am parti itu.

Sehubungan itu, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedudukan atau jawatan dalam parti adalah hak mereka yang masih menjadi ahli Pas dan bukannya orang luar seperti Hasan.
Hasan telah dipecat dari Pas awal Januari lalu.

“Siapa yang hendak jadi pemimpin, itu hak parti yang tentukan.

“Dia tak berhak membuat kenyataan tersebut sebab kepimpinan dalam parti adalah urusan parti,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan, memetik Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) menerusi tulisannya di laman sosial milik beliau, mendesak Nik Aziz melepaskan jawatannya susulan kenyataan mempertahankan kerjasama Pas dan DAP.

Menurut Hasan, Nik Aziz wajar menyerahkan jawatannya  kepada timbalannya, Datuk Dr Haron Din yang lebih berupaya dan berwibawa.

Mengulas lanjut, Nasrudin sebagai generasi muda dalam parti Islam itu berkata, Pas masih memerlukan seorang pemimpin yang “berkhidmat dengan baik dan mampu memimpin parti” seperti Nik Aziz.

“Tok Guru Nik Aziz masih relevan untuk memegang amanah sebagai Mursyidul Am Pas,” tegas beliau.
Nasrudin turut mempertegaskan bahawa kenyataan Nik Aziz membela DAP yang didakwa Hasan “menghiris hati ahli dan penyokong Pas yang sudah tidak menahan perasaan sabar” difahami oleh anggota parti itu.

“(Kenyataan Tok Guru) bukan satu masalah buat kami. Bukan satu kewajaran Datuk Hasan memperbesarkannya.

“Harus difahami kenyataan Tok Guru dengan betul yang mana ia mempertegaskan dasar parti tahaluf siyasi, kerjasama politik di antara Pas, DAP dan PKR,” katanya.

“Kerjasama politik ini telah terjalin sejak sekian lama. Tidak ada yang mengelirukan atau tidak betul,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad menjelaskan kewajaran Pas membela DAP, yang menurut beliau, berlandaskan hukum agama.

“DAP atau mana-mana pihak yang dituduh dan difitnah tanpa bukti perlu diberikan pembelaan kerana Islam itu adil.

“(Hasan) jangan ikut atas dasar perasaan dan emosi. Buktikan apa yang Tok Guru Nik Aziz katakan adalah silap. Buktikan kenapa DAP tidak layak dibela,” kata Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.

Hasan dalam tulisannya menyatakan kebimbangan beliau sekiranya terus dibela parasit dalam Pas manakala DAP akan bermaharajalela dan terus menghina Islam.

“Saya bimbang kenyataan-kenyataan 'supreme' ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan Pas daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan Pas disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA (Nik Aziz),” kata Hasan.

Menjawab kepada kenyataan itu, Khalid berkata, jelas sekali Hasan kini mengamalkan politik “marah anak, sindir menantu”.

Sasaran Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, kata Khalid, bukan DAP sebaliknya Pas.

“Dia serang DAP, DAP tidak akan kalah. Yang mereka harap akan terjejas ialah Pas," katanya.

sinar/-

Mursyidul Am Gerakan Islam Morocco meninggal

30 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gerakan ‘Adil dan Ihsan’ yang diharamkan di Morocco mengumumkan pengasas dan Mursyidul Amnya, Syeikh Abdussalam Yaasin, 84, menghembuskan nafas terakhir pagi semalam, Khamis.

Perkara tersebut diumumkan oleh jurucakap rasmi gerakan tersebut, Fathallah Arsalan.

Syeikh Yaasin (dilahirkan pada September 1928) yang meninggal dunia di salah sebuah hospital di ibu negara Morocco merupakan pengasas gerakan Islam tersebut pada tahun 1973 dan memimpinnya hingga akhir hayat.

Blog Gendang Perang dan laman web eramuslim turut melaporkan perkara itu.

Pada tahun 1974, beliau menulis risalah nasihat kepada Raja Morocco ketika itu, Al-Marhum Raja Hasan Kedua bertajuk "Islam atau Taufan" yang memberi peringatan kepada kerajaan untuk melaksanakan syariat Islam atau mereka dan negara akan dilanda bencana taufan seperti kaum Nabi Nuh yang menolak dakwah nabi mereka.

Antara kandungan risalah tersebut:

"Nasihat Ustaz Yaasin kepada raja yang bimbang kehilangan kuasa satu nasihat yang jelas dan nyata. Nasihat beliau menyeru kepada raja bertaubat dan kembali kepada syariat Islam serta mencontohi sejarah yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abdul 'Aziz.."

Disebabkan risalah tersebut, beliau dipenjarakan selama 3 tahun enam bulan tanpa dibicarakan di mana-mana mahkamah. Akibat tekanan yang dihadapi di dalam penjara, beliau terpaksa dirawat di hospital mental untuk beberapa tempoh waktu.

Pada tahun 1981, kerajaan Morocco mengharamkan gerakan tersebut tetapi berdasarkan pengamatan penganalisis politik, Gerakan Adil dan Ihsan merupakan gerakan pembangkang utama yang mampu menggugat kerajaan.

Pada tahun 1983, beliau sekali lagi meringkuk dalam penjara selama 3 bulan (yang kemudiannya dilanjutkan selama 2 tahun) setelah mengkritik ucapan Al-Marhum Raja Hasan Kedua melalui sebuah artikel tulisannya.

Pada tahun lepas, ketika berlaku gelombang 'Arab Spring' di beberapa buah negara Arab, Morocco juga tidak terkecuali terkena tempiasnya apabila berlaku beberapa siri protes dan Gerakan Adil dan Ihsan menggerakkan kebangkitan rakyat dengan menyatukan kumpulan pembangkang atas nama "Gerakan 20 Februari".

Hasilnya, ia memberi tekanan kepada Raja Muhammad Keenam, Raja Morocco untuk membuat pindaan perlembagaan dan memberikan kebebasan kepada rakyat pada Julai 2011.- Abdul Malik

harakah/-
30 Muharram 1433H. [MOD] -

Greiner jual bola mata palsu

MUNICH – Seorang penjual kanta okulus, Gerhard Greiner di sini menjual bola mata kaca palsu kepada orang ramai yang kehilangan mata. 

Setiap bola mata palsu itu berharga AS$457 (RM1,395) dan ia mengambil masa satu jam untuk menghasilkannya.

Bola mata itu dimasukkan ke bahagian mata pelanggan yang tidak lagi berfungsi akibat kemalangan atau penyakit.

Ia juga boleh dimasukkan di tempat asal mata menerusi pembedahan. – Reuters

Pemuda Pas: SPR perlu bebas pegawai aktif politik

30 Muharram 1433H. [MOD] -

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas mengharapkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bertegas untuk tidak membiarkan mana-mana pegawainya menjadi ahli parti-parti politik.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, jika ada pegawai SPR menganggotai mana-mana parti politik, ia akan mendedahkan ketidaktelusan pengendalian dan menjejaskan kualiti pengurusan tertinggi SPR.

Ia juga, katanya, mendorong SPR tunduk kepada pengaruh politik kepartian yang boleh menghakis kredibiliti sistem demokrasi negara.

“Pengerusi SPR mesti peka dengan pendedahan seperti ini dan berasa bimbang akan kesannya terhadap kredibiliti SPR, apatah lagi mengambil kira pengajaran dari banyak kajian kes sedia ada, sejarah dan iklim politik semasa, khususnya di Sabah yang sensitif kepada perubahan kerajaan.

“Keterlibatan ahli parti dalam hierarki pentadbiran SPR seperti kes ini kelak membuka ruang pertikaian terhadap pilihan raya yang boleh mengheret badan itu ke dalam proses mahkamah yang merugikan dan retorik yang berpotensi mengganggu kesentosaan awam. Hakikatnya, perkara seperti ini boleh mencabar kesahihan kerajaan yang ditegakkan melalui proses pilihan raya tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa alasan Abdul Aziz sebelum ini yang mengatakan pegawainya mempunyai hak demokrasi sebenarnya telah gagal menunjukkan pertimbangan wajar untuk memelihara hak demokrasi komuniti yang berasa terancam dengan penglibatan langsung ahli parti dalam tata kelola pilihan raya.

“Artikel 114 (2) Perlembagaan Malaysia secara jelas menggariskan bahawa Pengerusi SPR tidak boleh menyertai mana-mana organisasi bagi menjamin integriti bebas suruhanjaya tersebut.

“Jadi amat mendukacitakan apabila Pengerusi SPR enggan menunjukkan kepimpinan moral dan kebertanggungjawaban seperti yang dituntut Perlembagaan ke atasnya dengan menetapkan piawaian yang sama ke atas pegawai-pegawai SPR di bawah seliaan beliau bagi memelihara keutuhan integriti badan yang beliau pimpin,” katanya.

sinar/-

Bagaikan bermimpi

30 Muharram 1433H. [MOD] -

REMUK...keadaan van dan bas selepas perlanggaran.
REMUK...keadaan van dan bas selepas perlanggaran. 
 
ALOR SETAR: “Saya bagaikan bermimpi di siang hari. Kejadian itu berlaku dengan pantas kerana saya tertidur tanpa menyedari apa yang berlaku sebelum terjaga sebaik berasa ada orang menghempap badan,” kata Hasliza Shafie, 40-an.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, van dinaiki sembilan penumpang termasuk pemandu merempuh belakang sebuah bas ekspres yang menunggu giliran membayar tol di Kilometer 30, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Plaza Tol Jitra, di sini.

Van berkenaan membawa tujuh kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dari Alor Setar ke pusat pengajian tinggi itu.

Mangsa yang parah ialah pemandu van itu, Mohd Esman Osman, 54; Haslina Mohamed Shah, 39; Wan Merina Wan Saad, 51; Zurina Yahya, 43; Norhaneza Nordin, 42; Nelwati Abidin, 39, dan Alina Mohd Mahdzir, 46.

Manakala, mangsa yang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar ialah Hasliza dan Noor Azura Othman, 41

metro/-

'Ada kemungkinan besar Musa Aman boleh didakwa'

30 Muharram 1433H. [MOD] -


 
NONEPengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menjangkakan kemungkinan besar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan didakwa pihak berkuasa Hong Kong atas tuduhan pembersihan wang haram.

Rafizi berkata demikian dengan memetik kenyataan naib pengerusi kepada satu panel yang menyelia Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong, James To.

Katanya, beliau turut menyerahkan dokumen yang didakwanya sebagai bukti baru dalam kes sumbangan politik RM40 juta pada Umno Sabah kepada ahli majlis perundangan Hong Kong itu.

"James To memaklumkan bahawa ada kemungkinan besar Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding negara-negara lain.

"Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia," kata Rafizi dalam kenyatannya.

Rafizi turut yakin bahawa dokumen yang dikemukakannya itu adalah bukti baru yang tidak diperolehi ICAC sebelum ini.

Antara lainnya, dokumen itu  adalah salinan yang didakwa sebagai slip deposit wang ke akaun didakwa melibatkan Michael Chia serta akuan bersumpah bekas timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Menurut Rafizi, beliau yakin ICAC akan memanggil seorang saksi rahsia bagi "memberi keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC".

Bagaimana pun, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut tentangnya kerana diminta ICAC untuk melindungi kerahsiaan siasatan.

"Oleh yang demikian kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti diputuskan ICAC," katanya.

Susulan perkembangan terbaru kes ini, PKR menurutnya akan menjelajah seluruh Malaysia untuk berkempen bagi meningkatkan tekanan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara menyiasat kembali kes itu.
 
metro/-

Melaka Maju: Turap jalan guna bahan terbuang

30 Muharram 1433H. [MOD] -


ALOR GAJAH - Penduduk Kampung Bukit Bonbon, Jalan Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim), Kuala Sungai Baru, di sini, bengang kerana terpaksa melalui jalan utama yang rosak setiap hari.

Tinjauan di sepanjang laluan empat kilometer yang menempatkan lebih 20 buah rumah penduduk mendapati laluan yang rosak teruk itu hanya diturap dengan serpihan batu marmar.

Penduduk, Abd Razak, 50, berkata, kali terakhir laluan itu diturap pada 2007 sebelum ia rosak semula sejak setahun lalu.

“Apabila masalah ini dikemukakan kepada pihak yang berkaitan, tindakan diambil tetapi seperti melepaskan batuk di tangga apabila bahan terbuang digunakan untuk menurap kerosakan jalan.

“Kami difahamkan pihak berkenaan menurapnya dengan batu buangan dari serpihan membina rumah, malah ada serpihan batu marmar tajam hingga tayar kenderaan pecah,” katanya.

Menurutnya, keadaan lebih membebankan pengguna apabila terpaksa melalui laluan itu pada hari hujan kerana air memenuhi laluan berlopak.

“Ada juga penduduk bermotosikal turut membawa anak kecil tergelincir disebabkan struktur jalan yang rosak teruk,” katanya.

Abdul Razak berkata, masalah itu sudah diajukan sebanyak lima kali kepada pihak berkenaan namun tindakan yang diambil hanya mengecewakan penduduk.

“Yang terbaru aduan ini diusulkan lima bulan lalu dan saya difahamkan peruntukan sudah diperoleh namun, tiada sebarang tindakan diambil untuk membaik pulih permukaan jalan,” katanya.

Penduduk, Mohd Asri Osman, 28, berkata, laluan itu menghubungkan Jalan Benteng dengan Rumah Awam Ayer Molek dan ia merupakan laluan utama bagi penduduk untuk ke pekan.

“Saya sudah biasa menggunakan laluan ini untuk ke pekan sejak berpuluh tahun lalu, namun sudah banyak kali tayar motosikal saya pecah dan rim motosikal bengkok disebabkan jalan ini.

“Bila hujan lebat permukaan jalan dinaiki air hingga pernah beberapa kenderaan sebelum ini terbabas dalam parit kerana mengelak lopak air,” katanya.

Menurutnya, terdapat pembetung mendap di laluan ini sehingga permukaan jalan tidak rata dan sempit. Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke dalam parit besar berhampiran.

“Laluan yang mendap itu betul-betul bersebelahan dengan parit besar, jika pengguna gagal mengawal kenderaan terutama motosikal pasti akan terjatuh ke dalam parit itu,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerjaya dan Kemudahan Awam Negeri Melaka, Datuk Kapten (B) Abd Karim Sulaiman berkata, penggunaan serpihan bahan terbuang untuk menurap jalan adalah satu kesalahan.

“Menggunakan bahan terbuang untuk menurap lopak jalan adalah tidak mengikut garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan pihak berkaitan dalam proses membaik jalan raya,” katanya

Menurutnya, penggunaan bahan terbuang membabitkan serpihan tajam mengundang bahaya kepada pengguna selain merosakkan kenderaan seperti yang berlaku kepada penduduk di sini.

Hebat betul negeri maju Melaka 2010 ..............


Sumber : Sinar Harian

S'gor sedia bincang Langat 2 dengan Pusat, tapi...

30 Muharram 1433H. [MOD] -


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sedia berbincang berhubung Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dengan syarat kerajaan pusat membenarkan kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula air di negeri itu.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap surat yang dihantar oleh kerajaan negeri berhubung perkara itu.

“Saya masih lagi menunggu maklum balas daripada surat itu dan jika kerajaan pusat bersetuju untuk kerajaan negeri membuat penstrukturan air itu, kita boleh adakan perbincangan (Langat 2) lanjut,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Selangor Agro Fest 2012 (SAF 2012) yang diadakan di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, di sini.

Projek Langat 2 menjadi polemik apabila kerajaan negeri tidak memberi kebenaran untuk projek tersebut diteruskan.

Bagi kerajaan negeri, tindakan paling wajar bagi menyelesaikan isu air di Selangor pada ketika ini adalah membuat penstrukturan semula industri itu.

Bagaimanapun, kerajaan pusat memutuskan bahawa projek Langat 2, yang menjadi kontroversi sejak kebelakangan ini, akan diteruskan walaupun tidak disertai oleh Selangor dan tawaran akan dibuka dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kerajaan negeri berulang kali menyatakan pendiriannya untuk tidak memberi kebenaran kepada pusat meneruskan Projek Langat 2 melainkan penstrukturan semula industri air di Selangor diselesaikan.

harakah/-

Semakin Ramai 'Kesan AES' Guna Telefon Pintar

30 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Pengguna jalan raya dan lebuh raya akan melakukan apa sahaja untuk mengelak daripada terkena perangkap Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Bagi yang mampu, mereka mungkin sanggup membayar sejumlah wang untuk memasang alat pengesan AES pada kenderaan mereka.

Bagi pengguna telefon pintar, mereka mungkin boleh dikatakan 'pintar' apabila mereka memuat turun aplikasi pengesan AES pada telefon masing-masing bagi mengelak daripada dikenakan saman.

Sejak AES diperkenalkan September lalu, aplikasi untuk mengesan kamera AES semakin mendapat perhatian ramai apabila ia sering berada pada kedudukan terbaik di antararibuan aplikasi lain yang ditawarkan sama ada kepada pengguna android atau iOS.

Aplikasi 'AES Detector' misalnya pernah berada pada kedudukan 30 teratas bersama aplikasi lain seperti Facebook, WhatsApp Messenger, Viber, Twitter yang menjadi aplikasiyang 'wajib' dimuat turun bagi kebanyakan pengguna telefon pintar dunia masa kini.

Aplikasi lain yang berkaitan termasuklah 'AES Location Detector', 'AES Alert', 'AES Detector With Map', 'AES Camera Detector', 'AES Camera Location' dan banyak lagi yang beradapada kedudukan yang tidak kurang hebat.

Kevin Chua, 34, yang membangunkan aplikasi 'AES Detector' berkata dia membangunkan aplikasi ini untuk membantu orang ramai daripada terkena perangkap AES.

Katanya, sejak aplikasi ini pertama kali dipasarkan melalui 'Google Play' untuk dimuat turun oleh pengguna android melalui 'Play Store' pada 14 Oktober 2012, rekodmenunjukkan seramai 313,769 pengguna telah melakukan muat turun.

Aplikasi ini kemudiannya ditawarkan kepada pengguna iOS pada 20 November 2012.

"Saya ingin membantu pengguna dan dalam masa yang sama saya juga boleh menggunakannya.
"Ia percuma dan saya belum terfikir untuk mengenakan bayaran untuk aplikasi ini. Aplikasi ini membantu orang ramai dengan mengingatkan mereka tentang adanya AES berhampiranmereka dan dengan itu mereka perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya kepada mStar Online.

Kevin menunjukkan aplikasi 'AES Detector' 
 
pada iPad dan telefon pintar yang dibangunkan untuk pengguna jalan raya.
 
Mempunyai ijazah dalam bidang Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Kevin berkata dia tidak berniat menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang trafikdengan membangunkan aplikasi seumpama ini.

"Saya hanya ingin membantu dengan cara ringkas dan mudah. Bayangkan dengan adanya aplikasi ini mereka yang memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang mungkin bolehmenyelamatkan wang sehingga RM600 jika mereka terkena perangkap AES kerana memandu melebihi had laju ditetapkan," katanya yang membangunkan aplikasi ini secarapersendirian.

Bagi memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan AES, Kevin berkata dia akan membuat kajian dan dengan bantuan para pengguna yang memberikan maklumat berkaitan.

"Sehingga kini kamera AES dikenal pasti di 14 buah lokasi di seluruh negara," katanya.
Kevin berkata aplikasi boleh terus digunakan sebaik sahaja pengguna melakukan muat turun yang mengambil masa beberapa minit.

Sebelum memulakan perjalanan, pengguna perlu mengaktifkan telefon atau 'tablet' mereka kepada mod bunyi dan memandu meneruskan perjalanan seperti biasa.

"Peranti akan berbunyi, isyarat terdapat AES perangkap kelajuan di hadapan 2,000 meter dari kenderaan sedang dipandu.

"Isyarat akan berbunyi sebanyak lima peringkat mengikut jarak tertentu sehingga kenderaan tiba di lokasi sebenar AES," katanya.

Bagi AES perangkap kesalahan melanggar lampu isyarat, peranti akan berbunyi dari jarak sejauh 800 meter dari lokasi kamera.

Kevin berkata walaupun aplikasi ini hanya boleh digunakan di Malaysia, rekod menunjukkan terdapat juga rakyat Singapura dan Indonesia yang memuat turun aplikasi ini untuk digunakan dalam pemanduan mereka di sini.

Mengenai pelaksanaan AES di Malaysia Kevin bersetuju ia dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tetapi berpendapat ia harus dipasang di tempat yang sesuai dan kadar saman dikaji semula.

"Saya bersetuju jika ia diletakkan di kawasan kemalangan dan usaha ini memerlukan penjelasan berterusan kepada rakyat.

"Bayangkan anda memandu dari Johor ke Utara yang mana anda mungkin menerima lebih dari satu saman. RM300 untuk satu saman agak mahal untuk rakyat biasa," katanya.

Sementara itu ramai pengguna telah membuat penilaian terhadap aplikasi ini.

Daripada 2,140 yang membuat penilaian, seramai 1,321 pengguna memberikan lima bintang, 477- empat bintang, 193- tiga bintang, 47- dua bintang dan 102- satu bintang.

Azriena FerousZ memberikan komen: Baru sahaja mengemas kini aplikasi tetapi tiada isyarat bunyi? Atau adakah telefon saya yang mempunyai masalah? Bagimanapun aplikasiini sangat bagus. Cara yang baik untuk menjimatkan wang.

Seorang pengguna telefon bimbit model HTC Nexus One memberi komen: Aplikasi yang bagus, dan menjadi kemestian untuk mereka yang sering memandu. Anda akan menjadi kaya nanti (bergurau).

Pengguna android memberi komen: Terbaik...5 bintang bro...aplikasi sangat-sangat membantu.
Seorang pengguna memberi komen agak negatif: Saya benci bunyi isyarat GPS. Bolehkah anda memberi pilihan untuk mengalihkannya?

Wagner Sahui memberi komen: Khidmat terbaik untuk masyarakat

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata aplikasi ini mungkin boleh membantu pengguna daripada melakukan kesalahan berkaitan had laju atau melanggar lampu isyarat.

mstar/-

Bayi lahir 12.12 tengah hari pada pukul 12.12.12

30 Muharram 1433H. [MOD] -




BOSTON – Seorang ibu melahirkan anaknya pada pukul 12.12 tengah hari pada 12.12.12 melibatkan masa selama 12 jam.

Bayi perempuan yang bernama Noelle Joy Klinker itu seberat 4.1 kilogram dan 55 sentimeter tinggi.
Dia dilahirkan di Hospital Besar Massachusetts di sini kelmarin.

Bapa bayi itu, Joe Klinker, 31, yang bertugas sebagai pegawai pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat berkata, kehadiran Noelle merupakan rahmat buat keluarganya.

Menurut Joe, dia dan isterinya, Colleen Klinker kehilangan seorang anak perempuan pada Oktober tahun lalu yang meninggal dunia semasa dilahirkan. – Agensi


Taktik menyamar pelanggan

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Taktik menyamar pelanggan

Anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Johor melakukan soal siasat ke atas warga asing.
JOHOR BAHRU – Seramai 18 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam Ops Jaja di sebuah pasar raya sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar berkata, dalam serbuan sekitar jam 11 pagi itu,  seramai 25 pendatang asing diperiksa.

“Sebelum ops, kami telah menghantar anggota berpakaian preman menyamar sebagai pelanggan. Kehadiran anggota tidak disedari oleh warga asing yang bekerja. Bagaimanapun, sebaik sahaja disedari, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di celah-celah raga sayur untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.

“Hasil pemeriksaan ke atas 25 pendatang asing, 18 orang berusia 20 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 17 daripada jumlah keseluruhan yang ditahan adalah warga Indonesia dan baki iaitu seorang merupakan rakyat Bangladesh. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang ops ini dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairulanuar yang juga ketua operasi berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas, Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama berikutan tinggal di negara ini tanpa pas serta permit.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen negeri Johor di Kompleks KDN, Taman Setia Tropika, di sini, untuk tindakan lanjut.

sinar/-

Uji bakat terlampau

30 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Dia menyuruh saya melakonkan watak dicabul sebelum dia benar-benar mencabul saya,” kata seorang gadis berusia 21 tahun yang membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki itu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangsa yang meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.

Menurutnya, dia tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di dalam sosial facebook (fb) untuk mencari pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan.

Gadis itu berkata, selepas menghubungi pelakon terbabit, dia diarahkan datang ke sesi uji bakat berkenaan di sebuah rumah di ibu kota.

“Pelakon itu bagaimanapun mengarahkan saya supaya hadir ke sesi uji bakat bersendirian dan tidak boleh ditemani sesiapa. Biarpun agak pelik dengan arahan itu, tapi saya langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

harian metro/-