17 Safar 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
PAS hari ini mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak
lagi memecahkan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi kaum
semata-mata.
“Cukuplah rakyat dan negara ini di’pakai’kan cermin
mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih
makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus
ke arah perpaduan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata
sedemikian sebagai cadangan tambahan kepada cadangan bekas Pengerusi SPR
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar daftar pemilih disediakan setiap
tiga tahun sekali apabila pilihan raya umum baru menjelang tiba.
Beliau
berkata pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad
telah mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada
perpaduan kaum di dalam negara kerana seluruh rakyat Malaysia, kerajaan
dan terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan
negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada
waktu ini.

“Pecahan
pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat
mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri
daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen
untuk menjaga undi kaum masing-masing,” tambah beliau.
Sudah tiba
masanya, kata beliau, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan
pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang
disalurkan kepada media dan rakyat.
Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan, tegas Tuan Ibrahim (
gambar).
“Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:
21-34 tahun: 35%
35-50 tahun: 40%
50-60 tahun: 15%
60 tahun ke atas: 10%
"Berdasarkan
data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara
mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik
isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum,” terang Tuan Ibrahim
yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Bekas Adun Jengka ini juga
berhujah bahawa cara sedemikian boleh mengurangkan risiko berlakunya
keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan
sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi
mendapat keuntungan politik murahan.
Tuan Ibrahim juga
berpendapat bahawa pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh
mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama
untuk merai undi.
"Sambil SPR membersihkan daftar pengundi,
pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak
susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi,”
terangnya lagi.
Selain itu, Tuan Ibrahim berkata PAS juga
mencadangakan agar sistem pilihanraya dirombak untuk memastikan
pembangkang sentiasa wujud dan efektif untuk manfaat rakyat dengan
kerajaan menyediakan satu dana bagi parti-parti politik yang bertanding.
“Kaedah
ini diguna di beberapa buah negara bagi mengelak parti tersebut
mendapat dana dari pelbagai pihak dalaman dan luaran, sehingga
menyebabkan parti akan 'terhutang budi' dengan penyumbang tersebut.
Peruntukan kewangan boleh ditentu berdasarkan undi popular yang diterima semasa pilihanraya umum.
"Harus
diingat persaingan politik menyebabkan rakyat akan lebih mendapat
perhatian daripada parti pemerintah, dan komentar lebih baik dari parti
pembangkang,” hujah beliau.
Selain itu, katanya, PAS juga
mencadangkan agar sistem pilihanraya dirombak mengikut peratusan undi
yang diperolehi oleh setiap parti.
Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Kaedah
ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah
kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang
diterima keseluruhannya, kata Tuan Ibrahim.
“Ini mengelakkan
manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus
memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana
kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi
dengan banyak,” tambah beliau lagi.
harakahdaily/-