04 Januari 2013

Senat Mesir runding bebas tangkapan 'Ikhwan' di UAE

21 Safar 1433H. [MOD] -



KAHERAH: Mesir telah menubuhkan sebuah majlis untuk berunding pembebasan warga Mesir yang ditangkap di UAE yang dilaporkan mengintip dan mengumpul dana untuk Ikhwanul Muslimin, lapor media tempatan Khamis lalu.

Majlis, yang ditubuhkan oleh Senat  yang mendapat kuasa baru, akan "berusaha ke arah pembebasan doktor-doktor Mesir di Emirates dan menyiasat keadaan tangkapan (mereka)," akhbar-akhbar memetik Presiden Senat Ahmed Fahmi sebagai berkata.

Harian Al-Khaleej melaporkan minggu ini bahawa Emiriah Arab Bersatu telah membongkar satu "sel" yang dikaitkan dengan Ikhwan yang merekrut ekspatriat Mesir di negara Teluk, kebanyakannya doktor dan jurutera.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Mahmud Ghozlan (gambar) memberitahu AFP penangkapan itu adalah sebahagian daripada "kempen zalim" terhadap ekspatriat Mesir, dengan Mesir menghantar seorang penasihat presiden ke UAE untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin UAE.

Sekurang-kurangnya 10 orang "yang terkandung di dalam sel yang dikaitkan dengan kepimpinan Ikhwan di Mesir" telah ditangkap, ujar Al-Khaleej.

Kumpulan tersebut "mengumpul sejumlah besar wang yang mereka hantar secara haram kepada organisasi induk mereka di Mesir," menurut maklumat rahsia pertahanan di UAE, di mana parti-parti politik diharamkan, "dan mengadakan pertemuan rahsia dengan pegawai atasan Mesir."

Ia berkata "Ikhwan menawarkan latihan kepada sel tentang bagaimana untuk membawa perubahan rejim di negara-negara Arab."

UAE dan lain-lain monarki Teluk Arab sebahagian besarnya terlepas pergolakan yang melanda Timur Tengah selepas kebangkitan di Afrika Utara pada tahun 2011 yang menyaksikan kerajaan Islamis mula memerintah di Mesir dan Tunisia.

Pada tahun lepas, Emiriah Arab Bersatu mengumumkan ia telah mempecahkan beberapa sel yang ia dakwa telah berkomplot membahayakan keselamatan mereka.

Dewan Senat Mesir yang didominasi Islamis diberikan kuasa perundangan sehingga parlimen baru dipilih dalam tempoh dua bulan, akibat perlembagaan baru yang kontroversi yang telah diluluskan melalui undi popular pada bulan Disember. (asharq-e.com)

harakah/-

Lengahkan Pendaftaran Pakatan Rakyat: Pendaftar RoS Perlu Didakwa Di Mahkamah

21 Safar 1433H. [MOD] -

Status Pakatan: RoS diam diri, dakwa Saifuddin

Meskipun tempoh yang ada sebelum Dewan Rakyat dibubarkan sudah begitu hampir, Pakatan Rakyat (PR) yang sudah pun membuat permohonan mendaftarkan gabungan itu sebagai sebuah entiti yang sah masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, sehingga ke saat ini, usaha permohonan gabungan itu belum menampakkan hasil.

"Kita sudah masukkan pendaftaran baru di mana Jawatankuasa Penaja Pakatan Rakyat dipengerusikan Datuk Kamarudin Jaffar.

"(Tetapi) sampai saat ini, kita tidak pernah mendengar apa-apa jawapan balas,"
ujar beliau pada sidang mingguan PKR, di sini, hari ini.

Meskipun begitu, katanya, Pakatan tidak akan mengambil langkah untuk menekan RoS dalam hal ini meskipun wujud kes-kes tertentu di mana begitu mudah sesebuah pertubuhan itu diluluskan pendaftarannya.

"Pakatan Rakyat tidak akan ambil tindakan untuk menekan.

"Dalam hal ini, agensi kerajaan yang bertanggungjawab yang mengambil sikap diam diri. Apa yang penting, hasrat kita telah dilaksanakan," ujar Saifuddin lagi.

Sebelum ini, RoS telah menolak permohonan pendaftaran kerana Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut telah keluar dari PR.

Saifuddin sebelum ini dipetik sebagai berkata, perkara membabitkan pendaftaran berkenaan telah dibincangkan pada Majlis Presiden dan telah membuat ketetapan jika penolakan berlaku ke atas permohonan dibuat oleh Jawatankuasa Penaja baru yang diketuai Kamarudin yang turut diwakili oleh wakil-wakil parti, maka permohonan baru akan dikemukakan.

"Permohonan baru ini akan memasukkan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat iaitu pemimpin-pemimpin utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Lim Kit Siang," ujar beliau.



Aceh haram wanita bonceng motosikal

21 Safar 1433H. [MOD] -

ACEH - Aceh mengeluarkan arahan wanita tidak dibenarkan membonceng motosikal dengan lelaki selaras dengan penguatkuasaan undang-undang syariah Islam.

Menurut Datuk Bandar  Lhokseumawe, Suaidi Yahya, ia diharamkan demi menjaga tingkah laku dan moral rakyat wilayah Indonesia itu.
Risalah turut diedarkan bagi menyedarkan penduduk tempatan mengenai peraturan baru itu.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia mengamalkan undang-undang syariah, lapor BBC.

Di bawah peraturan baru itu, Datuk Bandar mengatakan wanita hanya dibenar menaiki motosikal jika ada pelana sisi atau tempat duduk tambahan kerana membonceng bersama lelaki dan perempuan melanggar nilai-nilai Islam.

“Apabila seorang wanita membonceng motorsikal, dia kelihatan seperti seorang lelaki berbanding jika duduk di tempat duduk tambahan, baru kelihatan seperti wanita,” kata Suaidi.

Katanya, pembonceng yang duduk di tempat duduk tambahan juga jarang jatuh.

Kerajaan tempatan akan menilai undang-undang baru ini dalam masa sebulan.

Ditanya sama ada mereka yang melanggar peruntukan itu akan dihukum, Suaidi berkata:

"Apabila ia menjadi undang-undang, secara automatik hukuman akan dikuatkuasakan."

Bagaimanapun menurut laporan BBC, Ulil Abshar Abdalla, aktivis yang berpejabat di Jakarta mengkritik pendekatan baru itu.

sinar/-

Tak selenggara pam punca gangguan air di KL

21 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor  (Syabas) tidak menunding jari kepada kerajaan negeri ekoran kegagalan syarikat itu membekalkan air kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, krisis air yang berlaku di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur adalah berpunca daripada kegagalan syariakat itu menyelenggara Rumah Pam Air Wangsa Waju.

“Sejak 1 Januari 2005, semua aset dan fasiliti pengagihan air milik Kerajaan Selangor diserahkan untuk dikendalikan sepenuhnya oleh SYABAS termasuklan Rumah Pam Wangsa Maju.

“Hasil lawatan ke Rumah Pam Wangsa Waju pada 2 Januari dan melalui pemerhatian dari buku log operasi pam untuk tahun 2012, didapati bahawa pam nombor dua telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki,” katanya dipetik Selangorku.

Lawatan itu adalah sebahagian siasatan yang dilakukan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor bagi mengenal pasti punca krisis air yang terbaru itu.

Menurut Abdul Khalid lagi, terdapat lima unit pam di Rumah Pam Wangsa Maju dan siasatan mendapati bahawa gangguan bekalan air yang melanda Gombak dan Kuala Lumpur berpunca kegagalan kelima-lima pam tersebut.

Syabas ujarnya patut menyelenggara semua aset pengagihan air seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan syarikat itu.

“Gangguan bekalan air kali ini adalah kemuncak kepada siri-siri kegagalan SYABAS memenuhi tanggungjawab kepada pengguna seperti yang termaktud dalam Perjanjian Konsesi.

“Justeru,  Kerajaan Selangor mendesak kerajaan Persekutuan membenarkan penstrukturan semula  industri air diteruskan mengikut Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA),” tegasnya.

Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor selepas siatan mereka membuat kesimpulan bahawa Syabas:

- gagal menyelenggara aset dan fasiliti bekalan air yang terletak dibawahnya bermula dari 1 Januari 2005 seperti di dalam perjanjian konsesi.

- gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di Rumah Pam berkenaan dan kegagalan ini menyebabkan kerosakan lebih besar berlaku yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna

- gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam-pam tersebut

- gagal memaklumkan kejadian sebenar kerosakan yang berlaku kepada Kerajaan Selangor.

harakah/-

Dua pemimpin PAS selamat terima menantu

21 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Dua pasangan anak pimpinan PAS selamat diijabkabulkan hujung minggu lalu.
(Anak dan menantu baru Datuk Kamarudin Jaffar)
Sabtu lepas, Datuk Kamarudin Jaffar, AJK PAS Pusat meraikan menantu baru beliau, Norita Syazana binti Mohd Taroni yang berkahwin dengan anak beliau, Saiful Adli Kamarudin.

Majlis resepsi dibuat di Dewan Seri Delima, Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan AJK PAS Pusat, Anuar Tahir turut meraikan kedua-dua mempelai itu.

Selasa, 1 Januari lepas, Anuar Tahir pula mengadakan resepsi untuk anak dan menantu barunya.

(Anak dan menantu baru Anuar Tahir)

Ia diadakan di Dewan Sirim, Shah Alam.

Anak beliau selamat melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dan majlis resepsi diadakan Selasa lepas.

harakah/-

TG Nik Aziz seru rakyat sertai Himpunan 12 Jan

21 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru seluruh rakyat negara ini sama ada penyokong Pakatan Rakyat atau kerajaan turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di stadium Merdeka pada 12 Januari ini.

Menurutnya, perhimpunan itu amat perlu bagi menyatakan bantahan terhadap ‘penderaan’ dan kezaliman yang telah dilakukan oleh kerajaan pada rakyat di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily di rumahnya sebentar tadi bagi mengulas program himpunan besar-besaran pertama tahun ini dan terakhir sebelum pilihan raya umum.

Pada masa yang sama beliau menyeru semua pihak turun untuk menjayakan himpunan itu walaupun dengan berkerusi roda demi untuk menyatakan bantahan terhadap pemerintah yang zalim.

Katanya, mudahan dengannya juga dapat membuktikan Islam itu kuat.

Tuan Guru juga turut memberitahu kesediaannya untuk turut serta dalam perhimpunan itu nanti.

“Moga ketika itu kesihatan saya sihat, insya Allah,” ujarnya sebaik pulang dari menyampaikan kuliah Jumaat pagi tadi.

Beliau memberitahu, perhimpunan berkenaan amat penting untuk menyatakan bantahan rakyat pada kerajaan berhubung pilihan raya yang bersih dan adil, bantahan terhadap Lynas, penindasan terhadap Felda termasuk ISA.

“Orang Melayu kita ni hanya menyedari menzalimi orang lain sahaja dianggap zalim, walhal kita membiarkan diri kita dizalimi juga sudah tidak boleh,” ujarnya.

harakah/-

Kalimah Allah: Mohd Sabu sokong pendirian PAS

21 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu menyatakan sokongan kepada pendirian PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Saya bukan ahli agama, tapi saya menyokong apa yang telah diputuskan oleh Mursyidul Am PAS (Tuan Guru Nik Aziz) dan Presiden PAS (Tuan Guru Abdul Hadi) dalam isu penggunaan kalimah Allah,” kata Timbalan Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.

Beliau turut menjelaskan tidak mengikuti perkembangan isu kalimah Allah yang tercetus sejak Krismas yang lalu kerana baru saja pulang dari luar negara.

“Jadi kenyataan Tuan Ibrahim saya pun tak baca lagi,” kata beliau.

PAS telah menyatakan pendirian boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan sebelum ini.

Manakala, PAS berpendirian terjemahan Bible harus mengikut teks asal di mana Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman baru-baru ini.

Mohamad berkata ketika menjawab soalan wartawan-wartawan yang menelefonnya, beliau hanya merujuk kepada penggunaan kalimah Allah secara awam di mana PAS telah memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakannya.

“Saya tidak merujuk kepada terjemahan kitab Bible tapi hanya penggunaan kalimah Allah secara general,” kata beliau.

harakah/-

Jelajah cari ular tedung

21 Safar 1433H. [MOD] -

Jelajah cari ular tedung
Salman Fariz menitikberatkan kemahiran yang kukuh untuk mengawasi pergerakan ular berbisa
ALOR GAJAH - Seawal usia 9 tahun, seorang pemuda mula menunjukkan minat terhadap keunikan ular sebelum dia mula bersahabat dengan 15 ekor ular tedung pelbagai jenis.

Malah lebih mengagumkan lagi, Salman Fariz Zaharin, 28, dari Segamat, Johor juga sanggup menjelajah ke negeri lain dengan hanya bermotosikal untuk memiliki reptilia berkenaan.

Menurutnya, dia sanggup berulang alik dari Segamat ke merata tempat untuk mendapatkan ular tedung selar sebelum diserahkan kepada beberapa pusat pengajian untuk dibuat penyelidikan melalui bisa yang terdapat pada ular berkenaan.

"Ketika saya di sekolah rendah, saya hanya berani bermain dengan ular kecil seperti ular lidi dan daun tetapi apabila menginjak remaja, saya mula memberanikan diri bermain dengan ular lebih besar dan berbisa," katanya.

Salman yang bekerja di Jabatan Pertanian berkata, dia memiliki lesen dan permit dari Jabatan Perhilitan untuk membantu beberapa institusi tertentu termasuk institut pengajian tinggi (IPT) yang memerlukan ular tedung selar.

"Semua ular berkenaan dibekalkan untuk kajian dan penyelidikan. Saya tidak pernah mengambil sebarang upah memandangkan ia hanya hobi sampingan.

"Saya turut menerima jemputan daripada IPT terbabit untuk melakukan penyelidikan terhadap ular tedung selar berkaitan bagaimana bisa ular berkenaan dihasilkan sebelum dikaji dan dijadikan penawar bagi mangsa yang dipatuk ular," katanya.

Menurut anak ketiga daripada sembilan beradik itu, menangkap ular berbisa memerlukan kemahiran dan pengetahuan mendalam mengenai selok-belok ular serta mementingkan keselamatan biarpun dia sendiri belum pernah dipatuk atau dicederakan ular.

“Setiap individu perlu mahir dalam setiap pergerakan dan bahasa ular. Teknik menangkap ular perlu mengikut prosedur betul supaya tidak tersasar kerana ular tedung selar biasanya sensitif dengan pergerakan manusia. 

“Contohnya, ketika bermain dengan ular, kita perlu fokus pada ketepatan mata ular kerana bisa ular tedung selar biasanya boleh membunuh dalam masa beberapa saat bergantung pada bisa yang dihasilkan,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan Muda (PA) Hamdan Mohd Saad berkata, dianggarkan hampir 1,000 kes laporan diterima membabitkan spesies ular berbisa dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

Menurutnya, pihak JPAM ditugaskan untuk sesi kecemasan dan salah satu objektif pasukan adalah menangkap ular berbisa yang didapati banyak menyusup ke kediaman penduduk atau di mana sahaja hingga mengganggu keselesaan orang ramai.  

“Menangkap ular berbisa ini selain ular sawa perlu kemahiran tinggi selain aspek keselamatan anggota atau individu semasa kerja dilakukan dan ia perlu dititikberatkan oleh setiap orang,” katanya. 
  
Hamdan berkata, setakat ini belum pernah berlaku insiden semasa kerja menangkap ular dilakukan membabitkan anggota mahupun orang ramai dengan penggunaan alat keselamatan khas yang dibekalkan mengikut prosedur ditetapkan. 

“Pihak JPAM sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat mendapatkan ular untuk penyelidikan dan bukannya untuk mendapatkan hasil dari ular yang diperoleh yang dibekalkan kepada individu tidak berlesen," katanya.

Menurutnya, JPAM sentiasa menyokong penuh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki permit dan lesen sah yang tahu selok-belok ular berbisa supaya ia dapat dimanfaatkan kepada sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

“Individu mahupun anggota JPAM sendiri dinasihatkan supaya tidak bermain dengan ular berbisa atau menangkapnya tanpa alat khas dan pemantauan dari pihak yang lebih mahir kerana ia bakal mengundang padah,” katanya.

sinar/-
 
 
 

Citilink beli 25 pesawat turboprop ATR

21 Safar 1433H. [MOD] -



JAKARTA - Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda menerusi bahagian tambang murahnya, Citilink menyatakan telah menempah 25 buah pesawat turboprop daripada ATR dalam usaha memenuhi pasaran penerbangan domestik yang pesat berkembang menerusi pembelian bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion).
"Kami telah menempah 25 unit pesawat ATR 72-600, selain akan menyewa atau membeli 25 buah pesawat lagi pada tahun 2015. 

"Dengan pesawat baharu ini, kami mahu menembusi wilayah-wilayah pedalaman dan bandar-bandar yang mempunyai kemudahan penerbangan terhad," kata Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo.
Rakyat Indonesia bergantung kepada pengangkutan udara berikutan kedudukan geografi gugusan kepulauannya. Syarikat penerbangan di Indonesia juga sering membuat pembelian pesawat dalam jumlah yang besar berikutan golongan pertengahan negara itu kian meningkat. 

Pada November 2011, Lion Air mengumumkan tempahan pesawat komersial terbesar di dunia apabila menyatakan hasrat untuk membeli 230 unit pesawat Boeing bernilai lebih AS$20 bilion (RM60 bilion).
ATR ialah syarikat kerjasama Perancis dan Itali yang berpangkalan di Tolouse, Perancis. Ia menghasilkan pesawat turboprop yang berharga lebih AS$20 juta (RM60 juta) sebuah. 

Citilink dijangka menerima lima buah pesawat pertamanya pada September depan. Bakinya dihantar menjelang 2017 dengan kontrak pembelian akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
Citilink kini memiliki 21 buah pesawat, termasuklah Airbus A320 dan Boeing 737. - AFP

MP: Mati dalam tahanan, pastikan polis, k'jaan bertanggungjawab

21 Safar 1433H. [MOD] -



 
Undang-undang mesti dikuatkuasakan supaya polis dan kerajaan dipertanggungjawab terhadap sebarang kejadian kematian dalam tahanan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Katanya, kerajaan harus menimbang meminda undang-undang untuk membuat pegawai polis dan kerajaan sebagai majikan mereka, bertanggungjawab ke atas kematian dalam tahanan polis.

death in custody nagarajan 301212
Dari segi liabiliti sivil, tambahnya, ini bermakna undang-undang harus
menganggap bahawa pegawai polis yang menahan seseorang untuk siasatan, adalah bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku kepada tahanan semasa dalam tahanan, melainkan jika pegawai itu boleh buktikan sebaliknya.

Ini, kata Gobind, akan memastikan bahawa pegawai polis mengambil langkah tambahan dan tanggungjawab untuk memastikan tahanan dijaga secukupnya ketika di dalam tahanan.

Beliau mengulas kematian K Nagarajan, 32, (kanan) yang didakwa polis meninggal dunia akibat terjatuh semasa dalam lokap ketika tiga hari dalam tahanan bulan lepas.


Mufti Johor minta maaf, tangguh pindah kubur

21 Safar 1433H. [MOD] -



PENGERANG: Majlis Amanat Mufti Negeri Johor sempena projek penyediaan tapak dan kerja-kerja pengalihan kubur-kubur Islam untuk pembangunan hub minyak dan gas (Rapid) kawasan Pengerang telah diadakan di Kampung Teluk Empang pada jam 2.30 petang semalam.

Kehadiran Mufti Negeri Johor amat dinanti-nantikan oleh sebilangan besar penduduk bagi mendapatkan penjelasan penuh terhadap kecuaian yang telah dilakukan oleh pihak Perbadanan Islam Johor dan kontraktor yang dilantik.

Semasa di dalam ucapan taklimat oleh Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ) Haji Rashid, beliau memberitahu bahawa kerja-kerja pemindahan kubur Islam tidak berwaris telah dilakukan secara sempurna dan mengikuti hukum syarak serta fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti.

Beliau menambah bahawa sebagai pelaksana yang bertanggung jawab, beliau telah dan sentiasa mematuhi ketetapan serta mendapat tunjuk ajar dari pihak mufti sendiri.

Haji Hasnul Ahmad, anak jati kelahiran Pengerang telah mendedahkan perkara sebenar akan kejadian di mana berlaku banyak kecuaian yang dilakukan oleh pihak Perbadanan Islam Johor (PIJ) selaku agensi pelaksana projek pemindahan kubur Islam semasa menggali perkuburan islam tanpa waris di Kampung Jawa dan di Kampung Sebong.

Beliau mendedahkan bahawa, pelaksana dengan secara sengaja tidak menghormati jenazah dengan melakukan pengurusan lebih teruk dan buruk. Nilai etika kemanusiaan telah hilang dan taraf jenazah Islam lebih rendah dari haiwan peliharaan.


Beliau memberitahu bahawa syarat yang telah ditetapkan Mufti Negeri Johor tidak tepati oleh pelaksana. Pengkebumian mayat-mayat yang digali sama keperluan dan peraturan bagi mengebumikan jenazah yang baru meninggal dunia.

Beliau menambah adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan tertibnya proses pemindahan kerana ianya adalah fardu kifayah buat semua umat Islam.

Beliau menggesa agar Mufti Johor memberhentikan serta-merta kerja-kerja penggalian semula perkuburan Islam sama ada perkuburan yang berwaris atau tidak berwaris.

Mufti Negeri Johor, Datuk Tahrir di dalam ucapannya menggariskan panduan-panduan dan peraturan khusus bagi melaksanakan kerja-kerja pengalihan kubur-kubur Islam.

Beliau telah meminta pihak pelaksana (PIJ) dan kontraktor yang dilantik agar memastikan semua syarat-syarat dipatuhi.

Di samping itu beliau telah meminta pihak pelaksana (PIJ) agar membina perparitan di kawasan perkuburan baru di Kampung Punggai disebabkan perkuburan baru tersebut becak dan air bertakung.

Pihak pelaksana juga diminta agar membina pagar di perkuburan baru agar binatang liar tidak menceroboh dan manggali perkuburan. Kemudahan jalan masuk juga hendaklah diturap jalan tar.

Kawasan perkuburan baru juga di minta agar di tanam dengan pokok-pokok dan lanskap setelah tinjauan dibuat oleh beliau mendapati perkuburan tersebut ibarat padang jarak padang terkukur.

Sehubungan dengan insiden yang berlaku, Mufti Johor akan memastikan kerja-kerja pemindahan kubur ditangguhkan sehingga segala permasalahan selesai.

Beliau telah memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam di Pengerang dan terhadap kecuaian yang telah berlaku hingga menyebabkan kemarahan penduduk.

harakah/-

Ali Rustam Tak Boleh Jawab

21 Safar 1433H. [MOD] -



Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari berkata semua isu besar yang dikemukakan oleh PR kepada Ketua Menteri Ali Rustam gagal dijawab termasuk isu wang derma Palestin, isu wang zakat, hutang kerajaan negeri, rasuah politik, kegagalan projek-projek seperti Eye On, LTAM, Melaka River Cruise dan lain-lain.

"Semua isu-isu yang kita kemukakan dari sumber yang sahih antara Laporan Ketua Audit Negara gagal dijawab oleh Ali Rustam".

"Isu wang zakat RM13juta yang gagal dijawab, dia kata nak saman saya kalau saya ungkit isu itu, saya akan ungkit seribu kali lagi dia takkan berani saman".

"Wang derma Palestin yang berjumlah RM680,747 yang gagal diserahkan kepada Palestin dia tak dapat jawab juga. Isu kegagalan Eye On, LTAM yang sunyi sepi, Melaka River Cruise yang Cruisenya tak ada insuran dan lain-lain semuanya tak dapat dijawab oleh Ali" ujar Adly

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran SAMM dan MTD Bukit Baru di Bukit Pulau malam tadi.

"Hutang negeri meningkat kepada RM865juta, rezab negeri tinggal RM8juta, apa jawapan Ali" 

"Kalau dia jawab pun rakyat akan ketawakan beliau sebab jawapan itu melucukan"tambah Adly.

Adly berkata sudah sampai masanya rakyat menjatuhkan kerajaan BN di Putrajaya dan di Melaka bagi memastikan negara dan negeri ini diselamatkan demi masa depan rakyat.

"Jangan takut buat perubahan, jika kita takut kita akan ketinggalan dan mundur" tambah beliau.
 
selatan online/-

Lemak beri tenaga ketika sakit

21 Safar 1433H. [MOD] -

WASHINGTON – Berat badan berlebihan beberapa kilogram bukan sesuatu yang buruk, demikian menurut satu analisis baharu melibatkan hampir tiga juta orang. Analisis tersebut yang dibuat di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang memiliki berat badan berlebihan atau sedikit obes berkecenderungan hidup lebih lama. Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran manfaat tersebut akan hilang sekiranya berat berlebihan beberapa kilogram itu bertambah dengan banyaknya. 

Para penyelidik kajian berkenaan menggunakan data daripada hampir 100 kajian di seluruh dunia merangkumi maklumat kesihatan melibatkan lebih 2.8 juta orang dewasa. Antara sampel populasi tersebut, terdapat sekitar 270,000 kematian sepanjang tempoh kajian dijalankan. Selepas beberapa faktor lain seperti usia, jantina, tabiat merokok telah dikawal, kumpulan dengan ketinggian dan berat badan ‘berlebihan’ didapati kurang berisiko untuk mati sebanyak enam peratus berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.

Kajian sama turut mendapati mereka yang ‘sedikit obes’ dengan ketinggian dan berat merangkumi indeks jisim badan (BMI) antara 30 hingga 35 didapati lima peratus kurang berisiko meninggal dunia sepanjang tempoh kajian. Namun, bagi mereka yang obes dengan BMI 35 dan ke atas, kadar kematian melonjak sebanyak 29 peratus berbanding subjek yang mempunyai berat badan normal. Penemuan terbaharu itu disiarkan Selasa lalu dalam jurnal saintifik, Journal of the American Medical Association (JAMA).

Pengarang-pengarang kajian itu memberikan beberapa sebab mengapa sedikit berat berlebihan baik untuk tubuh manakala berat ekstrem pula memudaratkan manusia. Mereka berkata, pertambahan lemak badan membekalkan manfaat metabolisme yang dapat melindungi jantung atau simpanan lemak berlebihan dapat membantu semasa ketiadaan selera makan ketika sakit. Ketua penyelidik berkenaan daripada Pusat AS Untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah menyiarkan satu kajian kontroversi pada 2005.

Kajian itu menunjukkan terdapat kaitan antara berat berlebihan dan jangka hayat lebih lama. Namun, kali ini, analisis kajian serupa dibuat berdasarkan sampel lebih besar yang diambil dari negara-negara berbeza di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Amerika Selatan. Dua saintis bioperubatan, Steven Heymsfield dan William Cefalu dalam satu editorial yang turut disiarkan Selasa lalu dalam jurnal JAMA mengulas, kajian terbaharu itu dan beberapa penyelidikan lain menunjukkan sejumlah kecil lemak berlebihan memberikan simpanan tenaga yang diperlukan badan manusia ketika sakit atau membantu dalam cara lain.

Kata mereka, faktor-faktor tersebut masih memerlukan kajian lanjut. “Penemuan ini menunjukkan tidak semua pesakit yang diklasifikasi mempunyai berat berlebihan atau obesiti tahap satu terutamanya mereka yang menghidap sakit kronik memerlukan rawatan pengurangan berat badan,” jelas mereka. Pengarah CDC, Thomas Friedan ketika mengulas penemuan tersebut berkata: “Kita perlu lebih belajar tentang obesiti termasuk kaedah terbaik untuk mengiranya”. – AFP


Selesai dahulu penempatan graduan Bahasa Inggeris

21 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) segera menyelesaikan masalah pengangguran graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih berlarutan.


“GMPK melihat KPM gagal mengatasi masalah yang berulang dalam proses penempatan guru ini. Ini bukan kali pertama bahkan saban tahun ia berlaku seolah-olah tidak ada perancangan jangka masa yang panjang untuk menyelesaikan permasalahan ini,” ujar Pengerusi GMPK merangkap Naib Presiden Gamis, Mohd Faiz Ismail.

Katanya, GMPK akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat supaya menyegerakan selesai masalah pengangguran guru dengan mempercepatkan penempatan guru dan GMPK turut akan menyampaikan bantahan terhadap hasrat kerajaan Malaysia mengambil guru Bahasa Inggeris dari India sedangkan (graduan) guru Bahasa Inggeris masih belum ditempatkan lagi.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah mengeluarkan kenyataan tidak beretika yang mempermainkan harapan graduan ISMP.

Dalam siaran Berita Harian online bertarikh 13 September 2012, beliau mengatakan seramai 10,200 graduan ISMP yang menganggur akan diketahui pada 28 September 2012 yang akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2013.

Graduan ISMP tertungu-tunggu berita tersebut tetapi malangnya pada tarikh tersebut tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari Perdana Menteri Malaysia ataupun KPM sehinggalah Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM) mengeluarkan kenyataan berhubung isu pengangguran graduan ISMP seminggu kemudiannya iaitu pada 4 Oktober 2012.

Dalam kenyataan tersebut, sekali lagi TPM memberi pengharapan seperti sebelum-sebelum ini bermain dengan ekstensif masa umpama menunggu buah yang tidak tahu hujung jatuhnya bila.

Walhal, graduan pendidikan dari institut pengajian tinggi terpaksa mananggung pinjaman PTPTN yang perlu dibayar, terbelenggu dengan perangkap kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan kerana memengang status graduan pendidikan, dan ia memberi tekanan emosi dengan janji yang tidak pasti dari kerajaan khususnya KPM.

Selain itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) turut mendesak agar kerajaan Malaysia menyelesaikan masalah pengangguran terhadap graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Presiden Gamis, Azan Safar turut menempelak kerajaan dengan mengatakan mahasiswa pada hari ini dibebankan dengan hutang pendidikan, kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang kian tipis.

“Sungguh kasihan mahasiswa sekarang dibuli oleh kerajaan sendiri. Pekerjaan tak dapat, hutang sudah menimbun di belakang.

“Atas dasar inilah Gamis menyokong teguh pendirian supaya menyelesaikan masalah pengangguran di Malaysia. Ini tidak syak lagi menambahkan keyakinan Gamis untuk meneruskan kempen ‘Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan’,” katanya lagi.

harakah/-

Jentera bomba bertembung sesama sendiri

21 Safar 1433H. [MOD] -

jentera bomba berlanggar sesama sendiri
Keadaan salah sebuah jentera bomba dan penyelamat selepas berlanggar sesama sendiri, semalam.
jentera bomba berlanggar sesama sendiri
Anggota bomba yang tercedera selepas kedua-dua jentera bertembung di Jalan Changkat Jong semalam.
jentera bomba berlanggar sesama sendiri
Saibani sedang melihat tiga motosikal miliknya dan anak-anak yang musnah dalam kebakaran itu.
TELUK INTAN - Angkara sebuah kereta rosak di tengah jalan, misi memadamkan kebakaran di Kampung Esso, di sini, terjejas apabila dua jentera bomba dan penyelamat berlanggar sesama sendiri.

Akibat kejadian itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan manakala lapan anggota lain selamat dalam kejadian tengah hari, semalam.

Mangsa, Mohd Hafiz Abdul Rahman, merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan cedera di bahagian kaki apabila jentera yang dinaikinya itu merempuh jentera di hadapannya.

Kejadian berlaku di kilometer 1, Jalan Changkat Jong, berhadapan bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 50 meter dari pasar raya terkemuka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.59 tengah hari semalam itu kedua-dua jentera berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Esso selepas menerima panggilan kecemasan beberapa minit sebelum itu.

Seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kedua-dua jentera berkenaan bergegas keluar dari balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang hanya 200 meter dari tepat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu jentera di hadapan yang dinaiki tiga anggota tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas terlihat sebuah kereta jenis Nissan Sunny di hadapan yang tidak bergerak dipercayai rosak dan ditinggalkan di situ.

“Sebaik menekan breknya itu, jentera dinaiki enam anggota yang mengekorinya di belakang itu tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jentera hadapan,” katanya.

Jentera bomba terbabas, rempuh pokok

Katanya, rempuhan tersebut mengakibatkan jentera di hadapan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahagian tepi kiri jalan manakala jentera di belakangnya terhenti pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.

Menurutnya, jentera di hadapan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang manakala jentera belakang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.


Minta bantuan bomba lain

Beliau berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk membantu memadamkan kebakaran di kampung berkenaan.

Kejadian itu telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Changkat Jong menghala ke pusat Bandar Teluk Intan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.


Warga emas nyaris rentung

Manakala, mangsa kebakaran di Kampung Esso, di sini, semalam, nyaris rentung apabila rumah yang didiami bersama suami dan seorang anak hangus dalam kejadian berkenaan.

Mangsa, Siti Asiah Salleh, 67, sendirian ketika kejadian berlaku, terselamat daripada rentung apabila diselamatkan jirannya.

Suami mangsa, Saibani Mohd Khairan, 60, berkata, ketika kejadian dia mengisi minyak pada motosikal manakala anaknya keluar makan bersama-sama rakannya.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang memberitahu rumah mereka sedang terbakar sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.


20 minit tunggu bantuan

Saibani berkata, sebaik dihubungi, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati isterinya  berada di rumah jiran sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan manakala sebahagian rumah yang berusia lebih 20 tahun itu sudah habis terbakar.

“Saya bersama anak dan beberapa jiran cuba untuk memadam kebakaran itu tetapi tidak berupaya kerana api semakin marak.

“Kami menunggu bantuan dari pihak bomba tetapi sudah hampir 20 minit namun, bantuan tidak  sampai-sampai menyebabkan saya buntu kerana keseluruhan rumah kami hangus terbakar,” katanya.

Saibani berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu sebuah kereta peronda polis tiba dan memaklumkan bahawa kedua-dua jentera Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian terlibat dalam satu kemalangan sesama sendiri.

Menurutnya, dia yang sedih apabila dimaklumkan berkenaan kemalangan melibatkan jentera bomba itu.

Kerugian lebih RM40,000

Saibani berkata, dia dan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa sehingga bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang tiba.

Menurut Saibani, walaupun harta bendanya musnah namun dia rasa bersimpati terhadap anggota-anggota bomba yang terlibat dalam kemalangan itu lebih-lebih lagi ketika sedang dalam perjalanan untuk membantu menyelamatkan rumahnya.

“Selain harta benda termasuk peralatan elektrik dan perabot musnah, tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran itu.

“Jumlah kerugian di anggarkan lebih RM40,000 dan katanya punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

sinar/-