07 Januari 2013

Minyak di Kelantan: Cabar dibentuk sokong titah Sultan

24 Safar 1433H. [MOD] - BACHOK: Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan minyak di Bachok (Cabar) hari ini secara rasminya melancarkan kempen sokong titah sultan dengan menampilkan logo (gambar) pelekat kenderaan yang istimewa khususnya untuk warga bachok. Pengerusinya Ahmad Marzuk Shaary berkata kempen ini sebagai menzahirkan manifestasi sokongan rakyat bachok terhadap titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang meminta agar minyak didaratkan di Bachok kerana pihak kerajaan negeri telah menyediakan zon prindutrian petroleum seluas 4000 ekar di Bachok semenjak tahun 1990. Mengulas lanjut mengenai kempen ini beliau berkata, ada beberapa komponen kempen yang akan dilaksanakan, semua aktivis anak muda akan digerakkan untuk sampaikan maklumat kepada rakyat. "Kemuncak kempen ini Insya Allah akan di adakan himpunan rakyat bachok dalam masa terdekat yang menampilkan kehadiran pemimpin utama yang akan berucap pada majlis tersebut," kata Ahmad Marzuk dalam satu kenyataan hari ini. Ketika ditanya mengapa NGO yang melaksanakan program ini, beliau berkata, ia bertujuan untuk mengajak semua rakyat Bachok untuk menyokong hasrat murni ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Penganjuran ini juga adalah kerana desakan sebahagian besar rakyat Bachok yang ingin melihat pembangunan dan perubahan berlaku dibachok dengan adanya pendaratan minyak dan gas. Ketika diminta mengulas tentang kenyataan salah seorang pemimpin tempatan Bachok baru-baru ni yang menyatakan bahawa kerajaan pusat tidak pernah janjikan pendaratan minyak di Bachok, beliau berkata, ia bukan soal janji. "Ini kerana Bachok adalah antara daratan yang paling hampir dengan telaga minyak yang ditemui. "Kita faham dengan mereka ini, janji 5 peratus royalti pun dicabuli inikan pula cadangan pendaratan. Kita akan tunjukkan bukti sokongan rakyat Bachok terhadap pendaratan ini," katanya. Beliau juga berkata, hujah mengenai bayaran pampasan kepada penduduk yang dikatakan sebagai penghalang untuk daratkan minyak menampakkan sikap tidak jujur dan serius membantu kelantan. "Sedangkan itu hanyalah soal mekanisma yang boleh diselaraskan antara kerajaan negeri, petronas dan penduduk setempat sebagaimana cadangan pendaratan minyak di Pengerang, Johor dan sejarah pendaratan minyak di Kerteh, Terengganu. Kita ada maklumat tentang itu. "Tidak timbul soal masalah pampasan kepada penduduk setempat jika benar-benar jujur dan ikhlas,” jelasnya. Beliau berkata, ia hanya alasan untuk memastikan kekayaan hasil bumi ini tidak diberikan kepada Kelantan, kerana akan menutup peluang mereka ini untuk ambil semula Kelantan menggunakan isu kemiskinan dan mundur. Ahmad Marzuk berkata, beliau bimbang sejarah lama pendaratan minyak yang sepatutnya ke kelantan dilarikan ke Songkhla dengan alasan yang sama akan berulang, sedangkan titah baginda sultan sangat jelas khususnya minyak dan gas dari telaga bumi selatan dan telaga surya selatan (blok PM 301 - Malay Basin) untuk didaratkan di bachok seperti yang tercatat dalam pembukaan persidangan dun kelantan penggal ke-12 pada 1 Mac 2012. “Saya yakin dan percaya rakyat Bachok khususnya tanpa mengira fahaman politik menyokong penuh dan menjunjung kasih terhadap titah Sultan Muhammad V yang terbukti mengutamakan rakyat dan menolak pemimpin tertentu yang menzalimi dan menafikan hak rakyat," tegas beliau. Harakah Daily

3 suspek kes tetak sudah dikenalpasti

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Polis sudah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek masih bebas yang dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang mekanik di sebuah rumah di tepi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Darau, Hulu Besut, Besut, Jumaat lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu adalah saudara terdekat suspek utama, 36, yang berjaya ditangkap di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Besut, jam 10 pagi, kelmarin. “Seorang daripada mereka adalah adik kepada suspek utama dan dua lagi anak saudaranya yang kini dipercayai sedang bersembunyi. “Jadi, mereka dinasihatkan agar menyerah diri di balai polis berhampiran dalam masa terdekat, bagaimanapun, kita yakin dengan maklumat yang diperoleh, kesemua suspek pada bila-bila masa akan ditangkap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam. Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang mekanik cedera parah di beberapa anggota badan setelah ditetak dengan pedang dan parang oleh sekumpulan lelaki dipercayai kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 29 tahun diserang empat lelaki dikenali di kediamannya bertubi-tubi sehingga menyebabkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di lengan, rusuk, dan ibu jari kanan serta luka belakang badan kini dilaporkan stabil. Sinar Harian

Insiden tembakan Colorado berulang

24 Safar 1433H. [MOD] - LOS ANGELES - Seramai tiga orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan dilakukan seorang lelaki bersenjata di sebuah kediaman di Aurora, Colorado, kelmarin. Jurucakap polis berkata, suspek yang ditembak mati pihak berkuasa terlebih dahulu menjadikan tiga mayat melibatkan dua lelaki dan seorang wanita sebagai pelindung diri sewaktu pasukan polis tiba. "Polis memberi pelbagai arahan agar suspek menyerah diri tetapi dia tidak mematuhinya. Suspek berkelakuan tidak waras sepanjang insiden itu," katanya. Suspek yang menyedari kehadiran pasukan SWAT tiba di pekarangan lokasi bertindak melepaskan beberapa das tembakan tetapi tidak menyebabkan kecederaan. Selang sejam kemudian, suspek muncul pada tingkap kedua kediaman itu dan melepaskan tembakan ke arah polis sekali gus mencetuskan tembakan balas pihak berkuasa yang menyebabkan suspek maut. Pada pertengahan Julai tahun lalu, daerah Aurora dikejutkan dengan insiden serangan tembakan yang meragut lebih 10 nyawa dan mencederakan lebih 100 penonton yang menyaksikan penayangan filem terbaru Batman, The Dark Knight Rises. - Al-Jazeera Sinar Harian

Budak korban letupan misteri di Gaza

24 Safar 1433H. [MOD] - BANDAR GAZA - Seorang kanak-kanak berumur enam tahun di Gaza terkorban manakala tiga lagi cedera dalam insiden letupan di Khan Yunis, menurut jurucakap hospital, kelmarin. Pihak berkuasa memaklumkan, mereka tidak dapat memastikan punca letupan misteri yang menyebabkan Moussa Kawaree terkorban. Dalam kejadian lain pada Jumaat lalu, seorang petani dilaporkan cedera selepas terkena tembakan askar Israel berhampiran pagar keselamatan di timur Beit Hanoun di utara Genting Gaza. Menurut saksi, insiden itu berlaku selepas kira-kira 20 lelaki dilihat berkumpul hampir dengan pagar sempadan. Mangsa, Abdallah Zaaneen, 32, kini dirawat di hospital. - AFP Sinar Harian

Dadah dalam mesin parut kelapa

24 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang sub kontraktor mesin rumput berdepan hukuman gantung sampai mati selepas polis menemui sejumlah dadah yang disembunyikan dalam mesin pemarut kelapa, di rumahnya dekat Renek, Jabi di sini, pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah kira-kira jam 7.40 pagi di rumahnya, di Kampung Kepala Gajah. Menurutnya, suspek yang telah berkeluarga itu terkejut dan tergamam apabila rumahnya diserbu polis sebelum menemui satu plastik cerah berpenutup merah jambu yang disorok dalam mesin pemarut kelapa di bahagian dapur rumah. “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 665 biji pil kemerahan dan enam biji pil kehijauan disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda) anggaran berat 73gram yang bernilai RM13,420 dalam plastik tersebut,” katanya kepada media terhadap kejayaan terbesar polis Terengganu terhadap tangkapan dadah pada tahun ini. Kamaruddin berkata lagi, polis turut menyita harta suspek yang disyaki diperoleh daripada hasil menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988. Menurutnya, harta tersebut adalah masing-masing seutas gelang tangan perak bernilai RM2,000, jam tangan bernilai RM300 dan tunai RM2,500. “Suspek dipercayai melakukan kegiatan pengedaran dadah untuk memperoleh pendapatan tambahan dan mula aktif pertengahan tahun lalu,” katanya. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut menjalankan aktiviti pengedaran dadah kepada penagih di kawasan Renek dan kampung sekitar. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Sinar Harian

Pertempuran diteruskan sebelum Assad berucap

24 Safar 1433H. [MOD] - BEIRUT - Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan menular ke seluruh negara sejam sebelum Presiden Bashar Al-Assad dijadual berucap buat kali pertama dalam tempoh dua bulan ini, semalam. Menurut pemerhati hak asasi kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain, pertempuran tercetus di selatan wilayah Daraa yang menjadi lokasi bermulanya kebangkitan rakyat menentang kerajaan Assad pada Mac 2011 lalu. Keganasan berdarah itu turut membadai kawasan kubu kuat pembangkang di pinggir bandar Damsyik yang mana digunakan oleh pemberontak sebagai pangkalan menyerang tentera kerajaan di ibu negara. Menurut rekod, kali terakhir Assad mengadakan ucapan umum pada November lalu yang mana beliau berjanji tidak sesekali akan meletakkan jawatan walaupun berhadapan sekatan antarabangsa yang mahu meruntuhkan rejimnya. Assad turut menyingkir beberapa cadangan yang menggesanya meninggalkan Syria serta kuasanya dengan berkata, 'hidup dan mati saya di Syria'. Sehingga kini, usaha diplomatik untuk menamatkan krisis 21 bulan di negara itu masih gagal walaupun pihak antarabangsa menggesa satu penyelesaian damai. - AP Sinar Harian

3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah

24 Safar 1433H. [MOD] - RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan. Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas. Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang. “Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda. “Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam. Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini. Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan. Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter. Sinar Harian

4 gol, Barcelona lebar jurang mata

24 Safar 1433H. [MOD] - BARCELONA melebarkan jurang mata dan kekal di kedudukan teratas persaingan La Liga selepas menewaskan Espanyol 4-0 di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi (waktu Malaysia). Dengan menjaringkan empat gol, kelab The Catalan terus berada di tangga teratas dengan meraih 52 mata berbanding Atletico Madrid yang mengumpul 41 mata selepas mengharungi 18 perlawanan setakat ini. Gol-gol Barcelona disumbangkan oleh Xavi Hernández (10), Pedro (15, 27) dan Lionel Messi (29). Sementara itu, Real Madrid juga mencatat kemenangan apabila menundukkan Real Sociedad 4-3 di Stadium Estadio Santiago Bernabéu. Dengan kemenangan itu, Madrid kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 36 mata dalam 18 perlawanan setakat ini. Berikut keputusan La Liga yang berlangsung awal pagi tadi: Celta Vigo 3 Valladolid 1 Real Madrid 4 Real Sociedad 3 Barcelona 4 Espanyol 0 Mallorca 1 - 1 Atlético Madrid Sinar Harian

Kempunan makan tengah hari

24 Safar 1433H. [MOD] - MUAR - Hasrat seorang juru wayar pulang menikmati makan tengah hari bersama keluarga di rumah, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kim Kee, di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 1 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Nazli Alfaisan Othman, 22, dengan sebuah kereta jenis Chevrolet. Mangsa dari Jalan Kim Kee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai dari arah sama iaitu Sungai Abong menghala ke Jalan Kim Kee. Pemandu kereta terbabit berusia 55 tahun mendakwa, cuba mengelak anjing yang melintas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa yang berada di belakang kereta. Difahamkan, pemandu kereta yang pada mulanya melarikan diri telah membuat laporan di balai polis berhampiran beberapa jam selepas kejadian itu berlaku. Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sinar Harian

Panik bas dinaiki terbakar

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA KANGSAR – Situasi panik menyelubungi 20 penumpang bas persiaran apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar di Kilometer (KM) 231.4 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Berapit, di sini, semalam. Kejadian berlaku sewaktu bas yang dinaiki penumpang terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Hatyai, Thailand. Insiden berkenaan berlaku pada kira-kira jam 1.20 petang dan disedari pemandu bas selepas melihat asap tebal di bahagian belakang kenderaan dan telah mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri. Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd Karim berkata, kebakaran itu menyebabkan bas persiaran dua tingkat milik Syarikat Konsortium Bas Ekspres Sdn Bhd itu musnah keseluruhannya. “Mereka memulakan perjalanan dari Johor malam. Pemandu itu menyedari kebakaran itu setelah melihat asap tebal keluar dari bahagian belakang bas yang menempatkan enjin. “Menyedari keadaan itu, pemandu terbabit segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun,” katanya. Menurutnya, dua jentera dan 13 anggota termasuk pegawai dari Kuala Kangsar dan Taiping dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dalam tempoh 15 minit. “Bas tersebut terbakar 70 peratus dan kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian belum dianggarkan,” katanya. Sinar Harian

Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan

24 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Hasrat seorang abang yang mahu mengajak adiknya menghadiri majlis memperingati kematian bapa saudara di sebuah kuil tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa, M Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. Adik mangsa, M Ravi, 40, berkata, abang kedua daripada lima beradik itu yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke pusat bandar tetapi tidak tahu tujuannya. Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa selepas menerima panggilan daripada abang sulung dari Kuala Lumpur memaklumkan kejadian. “Saya terkejut selepas abang sulung memaklumkan Mohgan terlibat dalam kemalangan dan sebaik menerima berita, saya terus bergegas ke tempat kejadian. “Sebaik sampai, keadaan abang berlumuran darah dan tidak bergerak lagi sedangkan pagi semalam dia menghubungi dan mengingatkan saya supaya tidak lupa mengambilnya untuk ke kuil sempena majlis memperingati kematian bapa saudara. “Mendiang seorang yang pendiam namun pemergiannya cukup menyedihkan kerana dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP). Sinar Harian

Tahan sakit selama 20 minit

24 Safar 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Dua sahabat terpaksa bertahan selama lebih 20 minit selepas terperangkap dalam kemalangan di Kilometer 217 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Lee Yong Ling, 33, bersama rakan, Loh Yim Keong, 34, dari Kuala Lumpur ke Melaka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan hingga kenderaan merempuh pengadang besi, tembok curam dan papan tanda. Menurut sumber, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di laluan kedua dan masuk ke laluan kiri namun muncul sebuah kereta memasuki laluan di hadapan kereta mangsa sebelum terbabas. "Mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pengadang besi lebuh raya dan papan tanda. "Kedua-dua mangsa terpaksa bertahan selama lebih 20 minit tanpa dibantu sesiapa berikutan keadaan sekeliling yang terlalu gelap tidak disedari pengguna lebuh raya lain," katanya, di sini semalam. Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, JPAM menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 3.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa sudah pun terbaring di tebing jalan. "Penumpang yang mengalami pendarahan pada telinga dan hidung diberikan rawatan di tempat kejadian manakala pemandu patah tangan dan bahu kanan serta cedera di lutut sebelah kiri dipercayai berlaku hentakan kuat ketika merempuh papan tanda. “Kedua-dua mangsa ditenangkan oleh anggota JPAM dan orang awam yang berhenti ketika dirawat sebelum mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi semalam. Sinar Harian

Pemuda maut motosikal dirempuh kereta

24 Safar 1433H. [MOD] - KLANG SELATAN – “Arwah berkeras mahu menghantar adik saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menaiki motosikalnya walaupun adik menolak beberapa kali, namun desakan arwah membuatkan adik dan kami semua akur,” demikian cerita Nasrullah, 25, berkenaan perangai pelik bapa saudaranya, Muhammad Sufyan Ahnaf Ahmad Jais, 26, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia akibat kemalangan di selekoh berhadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jambatan Kota, di sini semalam. Sebelum itu, Nasrullah berkata, sekitar jam 3 pagi, adiknya, Mohd Nazrin terjatuh motosikal di kawasan Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian lutut. “Saya, arwah dan rakan lain di situ cuba merawat adik bagaimanapun arwah menawarkan diri untuk menghantar adik ke hospital menaiki motosikalnya. “Awalnya adik enggan bagaimanapun akhirnya adik akur lalu membonceng motosikal arwah pada masa sama kami turut mengiringi mereka ke hospital,” katanya. Sementara menunggu adiknya mendapatkan rawatan menurutnya, arwah kelihatan muram bagaimanapun dia sempat berseloroh bersama rakan lain. “Ketika minum di kantin HTAR arwah mendiamkan diri bagaimanapun kami tidak menyedari itu petanda dia bakal meninggalkan kami semua. “Selesai rawatan, kami pulang dan arwah menunggang motosikal seorang diri sementara adik menaiki kereta bersama saya sambil memandu secara beriringan dengan lima rakan lain,” katanya yang ingin pulang ke Batu 4, Jalan Kapar. Nasrullah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia nampak sebuah kereta Proton Saga BLM yang berada di laluan kanan secara tiba-tiba memasuki laluan kedua ketika melalui selekoh agak tajam lalu merempuh bahagian belakang motosikal arwah. “Saya nampak arwah hilang kawalan lalu motosikalnya merempuh penghadang batu sebelum merempuh tiang lampu. “Dari jauh saya nampak dia tercampak ke jalan raya bersama motosikalnya,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang juga seorang mekanik beralamat di Sungai Kapar Indah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika dia bersama rakannya menghala ke Pusat Bandar Klang. Sementara itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala itu meninggal dunia di tempat kejadian. Sinar Harian

Suami isteri nyaris maut

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA ROMPIN – Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Johor Bharu berdekatan Janglau di sini, jam 7.30 malam Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki terlanggar bahagian tepi kiri lori yang berada di hadapannya. Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira yang dalam perjalanan dari Tanjung Gemok ke Rompin berpusing beberapa kali sebelum masuk ke lorong bertentangan. “Pemandu Proton Wira gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian tepi kanan sebuah Toyota Corolla SEG dari arah bertentangan," katanya. Johari berkata, penumpang Toyota Corolla SEG, Zarina Omar, 41, cedera di bahagian kepala selain luka di dahi dan pipi manakala suami, Zulikifli Mat Yusof, 46, dan seorang anaknya cedera ringan. “Mangsa dirawat di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital Muadzam Shah," katanya. Kata Johari, dua lagi penumpang Toyota Corolla dan pemandu Proton Wira yang bekerja sebagai penjaga bot di Jeti Tanjung Gemok, Pun Tiang Sang, 51, tidak mengalami kecederaan. Sinar Harian

Bengang digelar 'lembu', belasah rakan hingga cedera

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Bengang digelar ‘lembu’, seorang pekerja di sebuah syarikat pembuatan tongkang naik angin apabila nekad membelasah rakannya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka, dalam satu kejadian di sebuah jeti di sini, dua minggu lalu. Bagaimanapun, suspek, berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal, di sini, ditangkap di pejabatnya, lebih kurang jam 11 pagi, kelmarin. Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa, 20-an, yang bekerja di bidang sama tetapi berlainan syarikat telah menggelarkan suspek ‘lembu’ selepas tidak berpuas hati berhubung urus niaga penghantaran barang. “Dalam pertelagahan itu, mangsa telah mengeluarkan kata-kata suspek bekerja seperti ‘lembu’ sebelum suspek naik angin lalu menumbuk muka mangsa menggunakan tangannya. “Ekoran kejadian itu, mangsa cedera di bahagian dahi dan membuat laporan polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek. Katanya, suspek kini direman sehingga 9 Januari depan untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. Sinar Harian