31 Mac 2013

Anak bekas pengikut Al-Arqam antara ditahan

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Anak bekas pengikut  Al-Arqam antara ditahan
Mohd Zawawi (berdiri) bersama isteri dan anak termasuk Mohammad Qutaibah (duduk dua dari kanan).
Kuala Lumpur: Anak sulung Mohd Zawawi Aman, bekas pengikut Al-Arqam, adalah antara 86 rakyat Malaysia yang ditahan bersama Hatijah Aam, balu bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, kerana disyaki menyebar ajaran sesat dan melanggar Akta Imigresen Arab Saudi.

Mohammad Qutaibah, 20, seorang daripada lima anak Mohd Zawawi yang dibawa lari bersama oleh isterinya, Shamsiah Yusof, 45, lebih dua tahun lalu, selepas dipercayai terpengaruh dengan pergerakan yang diharamkan kerajaan pada 1994. 
Mohd Zawawi, 46, berkata maklumat penahanan itu diterima daripada pihak kedutaan di Arab Saudi selepas anaknya dikatakan tidak memiliki permit sah kerana tinggal lebih masa bersama pengikut Hatijah yang lain. 

Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan" Mohd Zawawi Aman, Bekas pengikut Arqam

Beliau yang pernah bersama pergerakan itu lebih 10 tahun, berkata empat anaknya iaitu Siti Khaulah Al Azwar, 19; Nur Samahah, 17; Mariam Al Adzra, 15, dan Muhammad Abdul Bar, 4, pergi ke Makkah menggunakan visa umrah tanpa pengetahuannya.

Kali terakhir Mohd Zawawi terima maklumat pada Oktober tahun lalu yang menyatakan Qutaibah bekerja di sebuah kafe milik Hatijah dikenali sebagai Bait Hassnah di Hayyu Sabi, Kaherah, Mesir.

Isteri beliau bersama empat lagi anak mereka ditempatkan di Mat’am Nur Muhammad atau Qisra Lebnon berhadapan Universiti Philidephia, Jordan.

“Saya berharap maklumat penahanan itu benar supaya saya boleh bertemu kembali selepas dua tahun ‘dihalang dan disembunyikan’ Hatijah. 
“Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mohd Zawawi berkata, isterinya enggan kembali taat walaupun pihak kedutaan sudah menyerahkan keputusan mahkamah berhubung perintah itu dengan alasan beliau mengutamakan kehendak jemaah ajaran Ummu Jah yang diterajui Hatijah berbanding mematuhi kehendak suami.

Lebih menyedihkan, katanya, isteri dan lima anaknya dipengaruhi ajaran sesat itu tanpa sedar mereka digunakan sebagai tenaga kerja di beberapa rangkaian restoran yang dimiliki Hatijah di Arab Saudi. 

“Salah satu faktor kekayaan Hatijah ialah semua pekerjanya bekerja tanpa diberi gaji, kononnya semua yang dilakukan untuk Hatijah adalah bentuk perjuangan yang ikhlas tanpa mengharap ganjaran. Sebaliknya pekerjanya hanya diberi upah yang sedikit, selain tempat tinggal dan makan sebagai keperluan hidup,” katanya.

Mohd Zawawi yang kini Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran An Najihah di Nilai, berkata pergerakan itu pernah mengadakan beberapa perjumpaan dengannya selepas beliau keluar organisasi itu pada 2009 dan berusaha memujuknya kembali ke pangkuan mereka. 

"Mereka turut menjelaskan pemisahan isteri dan anak dengan saya yang dilakukan mereka disebabkan perbezaan aliran pemikiran. Jika saya kembali kepada mereka, ia pasti tidak berlaku," katanya yang membuat lima laporan polis berhubung kejadian itu di negara ini.

Berita Harian/-

Pusat enggan, Kelantan bina sendiri stadium

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



PASIR PUTEH: Perletakan batu asas Kompleks Stadium Kelantan yang menelan belanja RM237 juta akhirnya berjaya dilaksanakan semalam.

Stadium yang bakal dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih itu terletak di Bukit Merbau, kira-kira 33 kilometer dari Kota Bharu.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diberi penghormatan untuk melakukan majlis pecah tanah dan perletakan batu asas.(Gambar atas)

Kompleks sukan itu didirikan di atas tanah seluar 50 ekar milik kerajaan negeri berbanding keluasan keseluruhannya 75 ekar.

Pembinaan stadium ini menjadi hasrat dan cita-cita rakyat untuk terus maju dalam bidang sukan khususnya bola sepak.

Tuan Guru ketika berucap memberitahu, kerajaan Pusat tidak pernah berhenti daripada mengkhianati Kelantan dalam segala hal termasuk soal pembangunan.

Jelasnya, kerana keenganan Pusat untuk membantu Kelantan menyediakan stadium yang lebih canggih membuatkan kerajaan negeri terpaksa berusaha sendiri.

“Hasil mahsul kerajaan negeri sendiri seperti royalti disekat oleh golongan ini semata-mata bertujuan untuk melihat Kelantan tidak mampu membantu rakyat,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis yang penuh bersejarah itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Abdul Fatah Mahmod.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Datuk Mohd Nasaruddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja B Md Anizam, Wan Ubaidah Omar.

Hampir 4,000 rakyat Kelantan hadir untuk meraikan majlis yang penuh bersejarah itu.

Terdahulu sebanyak 700 buah motosikal yang ditunggang anak muda mengiringi Tuan Guru masuk ke tempat perasmian.

Hadir sama pada majlis tersebut 20 orang pemain bola sepak lagenda Kelantan dan pemain antara tahun 70-an dan 80-an.

Husam ketika berucap pada majlis itu berkata, stadium tersebut bakal memuatkan 45,000 tempat duduk, ruang kemudahan untuk VIP dan VVIP, lapan ruang untuk solat.

Selain itu katanya, terdapat juga dewan, masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah, kemudahan media, admin, keselamatan, dataran serbaguna dan berbagai lagi.

“Tempat parkir kereta sebanyak 4,000 buah dan bas 50 buah, tempat parkir untuk media, pasukan keselamtan dan VIP juga turut disediakan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

‘Kelabu mata’ nampak duit

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


‘Kelabu mata’ nampak duit

Abdul Aziz (kanan) bersama pegawai penyiasat Inspektor Wan Khairul memegang gambar keempat-empat suspek kejadian samun di Lanchang semalam.
TEMERLOH - Seorang kontraktor pekerja ladang yang sedang mengagihkan gaji kepada pekerjanya melalui detik cemas apabila dia dan ahli keluarganya disamun RM36,000 oleh empat pekerja Indonesia.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku jam 2 petang, Jumaat lalu apabila mangsa, 62, dan isteri, 60, serta anak lelakinya, 31, memandu ke ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari pekan Lanchang untuk membayar gaji pekerja.

Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa RM50,000  dan mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang, kemudian membawa RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain pula.

“Ketika mangsa sedang agihkan gaji kepada empat pekerja terbabit di sebuah rumah kongsi, keempat-empat mereka yang baru dua bulan bekerja bertindak menyerang mangsa sekeluarga dengan batang besi dan kayu.

“Mereka  juga  merampas beg sandang mengandungi RM36,000 daripada anak lelaki mangsa,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata,  kesemua suspek berkenaan tidak merancang untuk melakukan  samun  tetapi mereka ‘kelabu mata’  apabila melihat kontraktor terbabit  membawa sejumlah  wang  yang  banyak  di hadapan  mereka.

Beliau berkata, kontraktor terbabit yang mengalami  kecederaan di dahi itu menerima lima jahitan, manakala  isterinya patah tangan kanan akibat dipukul dengan  batang besi dan kayu  tetapi anak kontraktor itu hanya alami  lebam-lebam di badan berikutan kejadian berkenaan.

“Keempat-empat suspek kemudian  melarikan  diri dengan berjalan kaki  mengikut  laluan tikus sejauh dua kilometer hingga ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Polis percaya suspek yang terlibat menghubungi  rakannya  dan  melarikan diri melalui  lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan lain,” katanya.

Abdul Aziz berkata,  polis  percaya  bahawa kesemua  suspek  berkenaan tidak merancang melakukan samun berikutan  pasport dan  pakaian  mereka ditinggalkan dalam  rumah  kongsi  tersebut.

Sinar/-

Ibu bapa berdepan perubahan dunia lebih terbuka, global

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Seminar Cabaran Ibu Bapa Dalam Era Milenium

Sebahagian ibu bapa yang hadir di Seminar Cabaran Ibu Bapa Dalam Era Milenium.
SHAH ALAM – Sebagai pemimpin dalam keluarga, ibu bapa hari ini berdepan situasi sukar dan mencabar kerana perubahan dunia yang lebih terbuka sehingga sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali berkata, cabaran globalisasi yang melanda dunia ketika ini, tempiasnya telah sampai ke negara kita.

Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian itu berkata, pendedahan maklumat yang dapat dicapai dengan sekelip mata akan menggugat keimanan jika tiada asuhan dan didikan yang kuat dalam keagamaan.

"Selain didikan, pemantauan, kasih sayang mestilah diberikan kepada anak-anak. Dahulu, ibu bapa mungkin risau keselamatan anak-anak yang pergi menangkap ikan kerana bimbang disengat haiwan berbisa namun sekarang pula lain cabaran lebih-lebih lagi dengan perubahan dunia yang lebih terbuka.

“Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak  untuk untuk memilih pendidikan yang tepat dan dapat menjamin masa depan, dalam masa sama perlu memantau pergaulan mereka,” katanya ketika berucap di Seminar Cabaran Ibu Bapa Dalam Era Milenium, di Universiti Selangor (Unisel), di sini, semalam.

Beliau berkata, masyarakat sekarang juga terdedah kepada perubahan sosial yang menyukarkan ibu bapa untuk mengawal pergerakan anak mereka.

“Cabaran menjaga anak zaman sekarang ini saya akui lebih banyak berbanding dahulu, ibu bapa kini perlu berfikiran terbuka untuk memahami anak mereka dengan meningkatkan komunikasi dan cuba bertoleransi," katanya.

Hadir sama memberi ceramah daripada Galeri Ilmu, Aliyah Sijari, Penceramah Motivasi, Dr Robiah K Hamzah dan Penceramah Smart Parents Netwook, Zaid Mohamad.

Penolong pengarah program, S Harikeshwaran berkata, objektif seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kesediaan ibu bapa untuk mendidik anak dalam era globalisasi.

Sinar/-

Hampir 200 orang termasuk 80 peserta daripada Persatuan Ibu Tunggal Taiping mengikuti program tersebut yang merupakan projek pelajar semesta tujuh, Fakulti Media dan Komunikasi, Unisel.

Kongsi hijrah artis

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Program Santai Belia

Barisan artis yang menjayakan Program Santai Belia, semalam.
PETALING JAYA – Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Petaling Jaya bercadang untuk mengadakan lagi program-program pengisian melibatkan perkongsian kisah penghijrahan artis-artis bagi mendorong golongan belia selepas Program Santai Belia Bersama Artis berjalan lancar.

Pengerusi program, Salimey Abu Bakar berkata, program julung kali diadakan melibatkan selebriti antaranya Aishah, Ali XPDC, Man Raja Lawak, Dayangku Intan dan Mel Wings itu baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan daripada belia di daerah itu.

Menurutnya, dalam program diadakan di Taman Dato Hormat, PJS 10 di sini itu, artis-artis jemputan itu berkongsi kisah lampau mereka sebelum ‘berhijrah’.

Katanya, ternyata kisah dikongsi oleh artis-artis itu mendapat respon positif daripada belia.

“Program tersebut berjalan lancar di mana artis-artis tersebut membuat pendedahan kehidupan mereka yang lalu untuk dikongsi bersama belia yang hadir.

“Mereka menjelaskan mengapa ‘berhijrah’ bagi menasihati belia-belia yang ada pada malam itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Program tersebut dirasmikan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, turut dihadiri Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Lebih 500 belia hadir pada malam itu untuk bersama-sama mendengar kisah yang dikongsi oleh artis-artis berkenaan.

Salimey berkata, rata-rata belia pada malam itu mahu pihaknya mengadakan lagi program seumpama itu.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan lagi program itu dan bakal memilih lokasi lebih strategik.

“Kita ingin mengadakan lagi program ini pada masa akan datang dan mungkin akan mengadakannya dengan PeBT di kawasan lain.

“Kita perlu berbincang dengan Adun kawasan masing-masing untuk mengusulkan perkara ini,” katanya.

Sinar/-

Dapur gas meletup

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Keadaan ruang dapur rumah mangsa yang terjejas akibat letupan yang berlaku.

Keadaan ruang dapur rumah mangsa yang terjejas akibat letupan yang berlaku.
KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita warga emas untuk menyediakan sarapan untuk ahli keluarganya tidak kesampaian apabila ruang dapur kediamannya di Danau Kota, di sini meletup semalam dan mengakibatkan beberapa bahagian badannya melecur.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa berusia 60-an itu mahu menghidupkan api dapur tanpa menyedari ruang dapur tersebut dipenuhi gas.

Sebaik api dinyalakan, berlaku letupan yang turut menyebabkan pintu serta tingkap di ruang terbabit pecah.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba  Robert James berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian letupan dan bertindak atas maklumat itu, satu jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati injap silinder gas tersebut tertanggal dan gas kemudiannya terkumpul di ruang  dapur itu disebabkan ketiadaan sistem pengudaraan yang baik.

“Mangsa melecur di bahagian kaki dan tangan akibat letupan itu. Tiga lagi ahli keluarganya yang turut berada di rumah berkenaan selamat kerana berada di ruang tamu.

“Kejadian tidak menyebabkan kebakaran tetapi bomba memantau dan memastikan tiada sisa gas,” katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan.

Robert mengingatkan orang ramai supaya lebih peka sekiranya terhidu bau ganjil kerana gas memasak mempunyai bau agak kuat.

Sinar/-

Kit Siang ke Johor tingkat sokongan untuk Pakatan

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


SEREMBAN: Lonjakan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina terus meningkat kepada 85 peratus apabila Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang mengumumkan akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum nanti.


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebelum ini sokongan bukan Melayu berada pada paras 80 peratus.

"Saya selalu mengatakan bukan senang untuk kita menang di Johor atau tawan kerusi di sana, tetapi perkembangan muktahir ini saya berkeyakinan bahawa Johor akan menjadi milik Pakatan Rakyat," jelasnya pada program ceramah Jelajah Negara Berkebajikan di Paroi, malam tadi.

Malah menurut beliau lagi, perkembangan terkini selain Johor, Sabah dan Sarawak juga akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

"Tanda-tanda bahawa Barisan Nasional (BN) akan tumbang tidak lama lagi telah ada.

"Kita lihat bagaimana Perdana Menteri masih belum lagi dianugerahkan dengan keberanian untuk bubar parlimen, malah Perdana Menteri juga sanggup memalukan dirinya apabila membiarkan Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri," ucap beliau lagi.

Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin turut menjelaskan prestasi Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan BN.

Harakahdaily/-

Nyaris disembelih Jeneral Musa

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Nyaris disembelih Jeneral Musa

Ajmain
 Nyaris disembelih Jeneral Musa

Rumah penduduk yang digeledah pengganas Kiram.
LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu.

Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup.

"Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang.
 
Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan.
 
"Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya.

Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat.

"Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya.

Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa.

“Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit.

“Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan,” katanya.

Sinar/-

Wanita maut leher tertusuk besi

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Wanita maut leher tertusuk besi

Keadaan kereta mangsa yang remuk dan terdapat kesan lubang di cermin bahagian hadapan.
 V Inthirani

V Inthirani
SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian  jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga  berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya.

"Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sinar/-

30 Mac 2013

"Tidak siuman" : 2 Markaz PAS disimbah cat di Kuala kangsar

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA KANGSAR ; Kehangatan bahang kempen PRU ke 13 makin terasa bila Markas Pilihanraya PAS Zon Manong yang terletak di Pekan Manong dan Pondok Panas PAS Cawangan Kg. Gua disimbah dengan cat merah oleh pihak tidak bertanggung jawab awal pagi tadi.

Penjaga Markaz Zon Manong tersebut, Ahmad Ibrahim semasa ditemui menjelaskan bahawa dia menyedari cat tersebut yg di isi dalam plastik berisi air di lempar pada dua tempat berbeza pada sekitar jam 6.00 pagi tadi.

" Saya jangkakan ianya dilakukan antara jam 2.00 pagi hingga 6.00 pagi tadi" katanya.

Sementara itu setiausaha markaz tersebut, Mohd Khairuddin Abd Aziz yang ditemui telah mengesah kejadian tersebut dan mengatakan bahawa dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Manong yang terletak sekitar 100 meter dari markaz tersebut.

Bila ditanya siapakah yang melakukan kerja tidak bermoral itu, beliau menjelas kan perkara tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan pemantauan.

"Kami tidak mahu menuduh siapakan yang melakukan kerja ini, tetapi suka saya jelaskan bahawa jawapannya mudah sahaja termasuk budak hingusan tahu siapa yang melakukannya" katanya.

Selain itu Ketua Cawangan Kg Guar, Abd Wahab bin Mohd Safri semasa di temui mengesahkan Pondok Panas PAS Cawangannya juga dilempar dengan cat merah awal pagi tadi.

Walaupun tidak kena kepada bangunan pondok ianya didapati berserakan di atas tanah berhampiran dengan bangunan pondok panas yang telah beroperasi sekitar seminggu itu.

Sementara itu satu lawatan telah dilakukan oleh ADUN Titi. Serong yang juga AJK PAS Kawasan Kuala Kangsar bersama YDP PAS Kawasan, Dr. Raja Ahmad Iskandar untuk melihat dengan dekat kejadian di dua tempat tersebut.

Dr. Raja Ahmad Iskandar semasa di temui melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang disifatkan tidak bertamaddun itu.

"Saya meminta semua penyokong PAS supaya bertenang dan tetap menghormati undang-undang yang sedia ada serta jangan mudah menggelabah dengan provokasi musuh" Jelasnya.

ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim memohon semua pihak menghormati markaz dan bahan kempen pihak lawan dengan menghindarkan tindakan tidak bermoral.

"Saya kira kita sudah berada ditahap yang matang dalam berkempen tetapi nampaknya masih ada pihak yang "tidak siuman" sehingga melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang yang sedia ada" Katanya

"Saya serahkan kepada rakyat menilai atas kejadian ini dan saya telah arahkan supaya cat tersebut jangan dibersihkan untuk dijadikan kenangan sampai habis PRU ke 13" katanya lagi. 





Dua cedera ditembak secara rambang

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dua cedera ditembak secara rambang

Zainuddin bertanya khabar mangsa berusia 42 tahun yang mendapatkan rawatan di HSA.
JOHOR BAHRU - Dua lelaki cedera apabila terkena tembakan rambang seorang individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Damai, Taman Serene, di sini, 27 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa berusia 42 tahun cedera di kaki kanan manakala seorang lagi berusia 51 tahun cedera di dada kiri selepas terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila suspek tiba-tiba muncul dan melepaskan lima das tembakan dalam premis berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat lebih 10 pengunjung dalam premis terbabit. Tiba-tiba seorang lelaki memakai topi keledar penuh memasuki pusat hiburan itu dan melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah orang ramai sebelum melarikan diri.

“Susulan kejadian itu, dua lelaki cedera selepas terkena tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

“Mereka kini stabil dan seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sulatan Aminah (HSA), di sini, semalam.

Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol semi automatik berdasarkan beberapa kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian oleh unit forensik.

“Polis kini sedang melakukan siasatan rapi termasuk menyiasat motif sebenar suspek melepaskan tembakan secara rambang hingga mengakibatkan dua mangsa tercedera.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sedang minum bersama rakannya sebelum terdengar bunyi tembakan dari arah pintu masuk premis terbabit ketika kejadian.

“Sebaik terdengar bunyi tembakan itu, saya cuba melarikan diri sebelum melihat kaki kanan saya dipenuhi darah mengakibatkan saya rebah, Saya sempat melihat orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Sinar/-

Wartawan Palestin dihukum penjara

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RAMALLAH - Mahkamah Tebing Barat menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang wartawan tempatan yang dituduh mempamerkan foto Presiden Mahmoud Abbas di laman Facebooknya dan melabelkan pemimpin itu sebagai pengkhianat, semalam.

Mamdouh Hamamreh juga wartawan stesen televisyen Al-Quds itu merupakan pesalah kedua membabitkan dakwaan menghina pemimpin Palestin.

Menurut penasihat Abbas, Nimer Hamad, tindakan pemuda itu langsung tidak menggugat pemimpin tersebut.

Sementara itu, pihak pendakwaan memberitahu, foto yang dimuat naik Hamad pada 2010 lalu menunjukkan Abbas berada bersebelahan dengan seorang pelakon drama  berwatak jahat di zaman pemerintahan kolonial Perancis di Levant.

"Watak penyangak itu adalah pemberi maklumat berbahasa Perancis dan tertuduh telah menulis perkataan 'mereka serupa' pada keterangan gambar itu," katanya dipetik dari AP.

Sinar/-

Serangan mortar: 15 pelajar terbunuh, 20 cedera

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Serangan mortar: 15 pelajar terbunuh, 20 cedera

Keadaan kawasan kantin fakulti seni bina yang musnah dan dipenuhi darah mangsa.
DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 15 pelajar terbunuh dan 20 yang lain cedera selepas sebutir mortar membedil kantin Fakulti Seni Bina Universiti Damsyik, dalam daerah Baramkeh, Syria, kelmarin.

Stesen televisyen Al-Ikhbariya menyiarkan, kawasan lantai kantin itu dipenuhi darah selain doktor bertungkus-lumus membantu memberi rawatan kecemasan.

"Kumpulan penyerang melepaskan mortar ke arah fakulti seni bina dan penduduk awam juga melihat insiden tragis itu," lapor stesen berkenaan.

Dalam perkembangan lain di wilayah selatan, kumpulan aktivis mendedahkan penyerang mula menyerang pusat kawalan ketenteraan Syria yang menjadi laluan ke Damsyik.

Sementara itu, pemerhati hak asasi kemanusiaan Britain berpangkalan di Syria berkata, kumpulan pemberontak kini sedang menuju ke Dael dan akan menyerang kawasan berdekatan menurut laporan Al-Jazeera.

Sinar/-

Kanak-kanak antara 3 lemas di Pantai Chendering

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Tiga dari satu keluarga mati lemas di Pantai Chendering di sini hari ini ketika keluarga berkenaan serta sanak saudara berkelah di kawasan pantai.
Insiden pada kira-kira 6.30 petang itu meragut nyawa Adam Daniel Mohd Hafiz, 7; bapanya Mohd Hafiz Harun, 32; dan bapa saudaranya Saifuddin Harun, 46.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air.
Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu.
Burhanuddin dan Idzham Tayib kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan pantai.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat.  - Bernama

BN, PR kini masuk fasa 'berkampung'

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kini memasuki fasa berkampung di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi mengenali pemimpin dan calon mereka.

Kedua-duanya menegaskan mereka sudah lama mengadakan program mendekati rakyat dan bukannya hanya ketika pilihan raya sudah semakin hampir.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menegaskan rakyat sentiasa berpeluang menyertai program anjuran BN kerana parti itu kerap menganjurkan majlis ramah mesra bersama rakyat.

“Kita buat majlis sepanjang masa dan ada macam-macam program. Saya sendiri pun buat program setiap minggu di Pontian selama lima tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Maslan juga yakin BN mampu menang 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat saban hari.

“Kita bukan takbur tapi kita yakin kita dapat menang dua pertiga. Saya dah pergi ke banyak tempat dan saya nampak sokongan terhadap BN semakin meningkat.

“Kami buat apa yang kami cakap dan tepati janji walaupun apa yang BN tunaikan tiada dalam manifesto parti,” jelas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan PR akan terus mengadakan majlis bertemu rakyat sehingga pilihan raya berlangsung.

Menurutnya, program bersama rakyat dijalankan secara berterusan selepas pilihan raya bersedia 2008 dan bukan hanya secara berkala.

“Momentum sekarang semakin meningkat kerana sudah hampir dengan PRU13. Saya rasa lebih banyak majlis akan berlangsung selepas ini,” ujarnya.

Ketika ditanya persiapan PR menjelang PRU13, Mustafa berkata persiapan mereka sudah lengkap dan PR yakin dapat menewaskan BN.

“Rakyat sekarang mahu tengok perubahan. Saya yakin PR boleh mencapai kemenangan tetapi tidaklah sampai dua pertiga, mungkin majoriti mudah,” katanya.

Sinar/-