31 Mac 2013

‘Kelabu mata’ nampak duit

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


‘Kelabu mata’ nampak duit

Abdul Aziz (kanan) bersama pegawai penyiasat Inspektor Wan Khairul memegang gambar keempat-empat suspek kejadian samun di Lanchang semalam.
TEMERLOH - Seorang kontraktor pekerja ladang yang sedang mengagihkan gaji kepada pekerjanya melalui detik cemas apabila dia dan ahli keluarganya disamun RM36,000 oleh empat pekerja Indonesia.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku jam 2 petang, Jumaat lalu apabila mangsa, 62, dan isteri, 60, serta anak lelakinya, 31, memandu ke ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari pekan Lanchang untuk membayar gaji pekerja.

Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa RM50,000  dan mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang, kemudian membawa RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain pula.

“Ketika mangsa sedang agihkan gaji kepada empat pekerja terbabit di sebuah rumah kongsi, keempat-empat mereka yang baru dua bulan bekerja bertindak menyerang mangsa sekeluarga dengan batang besi dan kayu.

“Mereka  juga  merampas beg sandang mengandungi RM36,000 daripada anak lelaki mangsa,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata,  kesemua suspek berkenaan tidak merancang untuk melakukan  samun  tetapi mereka ‘kelabu mata’  apabila melihat kontraktor terbabit  membawa sejumlah  wang  yang  banyak  di hadapan  mereka.

Beliau berkata, kontraktor terbabit yang mengalami  kecederaan di dahi itu menerima lima jahitan, manakala  isterinya patah tangan kanan akibat dipukul dengan  batang besi dan kayu  tetapi anak kontraktor itu hanya alami  lebam-lebam di badan berikutan kejadian berkenaan.

“Keempat-empat suspek kemudian  melarikan  diri dengan berjalan kaki  mengikut  laluan tikus sejauh dua kilometer hingga ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Polis percaya suspek yang terlibat menghubungi  rakannya  dan  melarikan diri melalui  lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan lain,” katanya.

Abdul Aziz berkata,  polis  percaya  bahawa kesemua  suspek  berkenaan tidak merancang melakukan samun berikutan  pasport dan  pakaian  mereka ditinggalkan dalam  rumah  kongsi  tersebut.

Sinar/-

Tiada ulasan: