19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUPANG - Seekor ular sawa batik sepanjang lebih tiga meter berjaya ditangkap penduduk Taman Anggerik, di sini yang kebetulan melihat haiwan pemangsa itu.
Ular itu ditemui menyusur di sebatang jalan di kawasan perumahan itu sebelum ditangkap penduduk yang mendapatkan bantuan orang ramai.
Penduduk, Nor Rahman Osman, 50, dari Kampung Charuk Bemban berkata, ular itu cuba melawan, tetapi berjaya ditangkap orang ramai.
Menurutnya, kehadiran ular sawa di kawasan taman itu kemungkinan untuk mencari makanan ataupun mencari pasangan.
“Bagaimanapun, kawasan taman itu hampir dengan kawasan kebun dan semak samun. Jadi, tidak mustahil haiwan ini berkeliaran di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Rahman yang juga seorang penangkap ular turut mengingatkan agar tidak mencederakan haiwan yang berbahaya ini.
Jelasnya, ular sawa tidak begitu agresif berbanding ular yang berbisa, tetapi harus berjaga-jaga. "Walaupun ular sawa tidak mempunyai bisa, belitannya mampu mengancam keselamatan kita.
“Disebabkan itu, usaha menumpaskan haiwan ini perlu dilakukan oleh lebih dari seorang. Sekurang-kurangnya, rakan dapat membantu jika terjadi perkara tidak dingini,” katanya.
Katanya, ular itu akan dibuang ke dalam hutan ataupun diserahkan kepada pihak bertanggungjawab.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan