31 Mac 2013

Saipul kekal calon Selising

19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Saipul kekal calon Selising

Nik Abdul Aziz menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stadium Negeri Kelantan di Bukit Merbau dekat Pasir Puteh, semalam.
PASIR PUTEH - Adun Selising, Saipul Bahrin Mohamad, yang difitnahkan mempunyai skandal, kekal bertanding di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan keputusan mencalonkan semula Saipul Bahrin di kawasan itu sebagai tindakan Pas menempelak sesetengah pihak yang membuat fitnah terhadap Saipul Bahrin.

“Kalau dia (Saipul) bersalah, kenapa tidak bawa dia ke mahkamah? Benda tiada apa-apa, tapi ada pihak memperbesarkannya.

“Jangan harap dosa orang memfitnah diampunkan ALLAH selagi (mereka yang membuat fitnah itu) tidak minta maaf kepada Saipul,” kata Mursyidul Am Pas itu selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stadium Negeri di Bukit Merbau, dekat sini, semalam.

Pada PRU 2008, Saipul Bahrin mendapat 6,737, menewaskan calon Barisan Nasional Hashim Ismail, yang mendapat 5,954 undi.

Stadium Negeri Kelantan, yang terletak di kawasan kompleks sukan di atas tanah seluas 34.5 hektar itu, boleh menampung 45,000 penonton dalam satu-satu masa.
Stadium ini juga akan dilengkapi surau di beberapa sudut dan pelbagai kemudahan lain.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Bekas pemain bola sepak Kelantan yang turut hadir ialah Dali Omar, Mahadi Yusof, Nik Fauzi Hassan, Yasin Mohd Nor, Salim Mahmud, Hashim Mustapa, Aziz Mustafa dan Zainuddin Ariffin.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau sendiri menerima banyak surat layang yang membuat berbagai tuduhan.

“Dia (penulis surat layang itu) tak tulis nama pada surat itu supaya orang tidak tahu, tapi dia lupa malaikat tahu. Kita letak Saipul lagi di Selising; ajar pemfitnah. Kita pakat sokong Saipul,” katanya.

Mengulas mengenai berita kemungkinan DAP diharamkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berikutan masalah yang timbul dalam pertandingan parti baru-baru ini, beliau berkata, kesanggupan calon DAP bertanding di bawah lambang Pas itu sahaja sudah merupakan kemenangan besar kepada Pas dan Pakatan Rakyat (PR).

“DAP sudah membuat kenyataan secara terbuka bahawa mereka menerima Pas sebagai lambang parti untuk PRU13.

"Islam yang digambarkan dengan pelbagai fobia akhirnya diterima bangsa lain,” katanya.

Beliau berkata, langkah diambil kerajaan negeri seperti cuti bekerja dua hari seminggu, akhirnya ditiru Kerajaan Pusat, walaupun pada mulanya menganggap ia tidak produktif.

“Kita arah supaya wanita bekerja dengan kerajaan negeri menutup kepala kerana itu bukan kehendak Pas, tapi kehendak Islam.

"Alhamdulillah perkara itu juga menjadi ikutan. Cuma ada seorang dua yang tidak ikut, Itu kita kira sebagai kes terpinggir,” katanya.

Sinar/-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Stadium Negeri Kelantan.
Alhamdulillah berkat ketelusan Kerajan Negeri Kelantan dibawah pimpinan TG Nik Aziz kini Kelantan melakar sejarah kedua untuk membina sebuah stadium baru pula,pada hujung tahun lepas Kelantan melancarkan pembinaan Lebuh Raya.Terkedu kerajaan pusat..ha.ha.ha.ha. Syabas....