19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA – Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Petaling Jaya bercadang untuk mengadakan lagi program-program pengisian melibatkan perkongsian kisah penghijrahan artis-artis bagi mendorong golongan belia selepas Program Santai Belia Bersama Artis berjalan lancar.
Pengerusi program, Salimey Abu Bakar berkata, program julung kali diadakan melibatkan selebriti antaranya Aishah, Ali XPDC, Man Raja Lawak, Dayangku Intan dan Mel Wings itu baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan daripada belia di daerah itu.
Menurutnya, dalam program diadakan di Taman Dato Hormat, PJS 10 di sini itu, artis-artis jemputan itu berkongsi kisah lampau mereka sebelum ‘berhijrah’.
Katanya, ternyata kisah dikongsi oleh artis-artis itu mendapat respon positif daripada belia.
“Program tersebut berjalan lancar di mana artis-artis tersebut membuat pendedahan kehidupan mereka yang lalu untuk dikongsi bersama belia yang hadir.
“Mereka menjelaskan mengapa ‘berhijrah’ bagi menasihati belia-belia yang ada pada malam itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Program tersebut dirasmikan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, turut dihadiri Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Lebih 500 belia hadir pada malam itu untuk bersama-sama mendengar kisah yang dikongsi oleh artis-artis berkenaan.
Salimey berkata, rata-rata belia pada malam itu mahu pihaknya mengadakan lagi program seumpama itu.
Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan lagi program itu dan bakal memilih lokasi lebih strategik.
“Kita ingin mengadakan lagi program ini pada masa akan datang dan mungkin akan mengadakannya dengan PeBT di kawasan lain.
“Kita perlu berbincang dengan Adun kawasan masing-masing untuk mengusulkan perkara ini,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan