02 Mei 2013

Lumpuh kerana masalah air

Lumpuh kerana masalah air21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Zaimingah menunjukkan bil air yang melambung tinggi dari biasa sehingga menyebabkan ibunya tertekan.
SEREMBAN – Dipercayai akibat tertekan dengan masalah bil air yang melambung tinggi menyebabkan seorang wanita jatuh sakit lalu lumpuh.

Zainon Mohd Said, 70, didakwa jatuh sakit selepas bingung memikirkan bil air rumahnya di Kampung Labu Hilir, dekat sini yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) mencecah RM1,492.17.

Anak mangsa, Zaimingah Yusof, 53, berkata, ibunya menerima bil berkenaan empat tahun lalu dan cuba untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, bil berkenaan dipercayai melambung kerana digunakan kontraktor yang membina rumahnya itu.

“Saya bersyukur kerana permohonan membina rumah PPRT bersebelahan rumah adik saya diluluskan kerajaan.

“Tapi yang saya kesalkan kerana sepanjang projek pembinaan tersebut, kontraktor dipertanggungjawabkan menggunakan bekalan air rumah adik saya sehingga bil melambung tinggi,” katanya.

Menurutnya, dia sudah memanjangkan masalah kepada pihak berwajb, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

Malah, Zaimingah yang juga ibu tunggal mendakwa, masalah ditanggungnya itu menyebab ibunya jatuh sakit kerana terlalu tertekan.

“Saya bukannya ada banyak duit, lagipun air itu bukan saya gunakan. Tapi kerana bil tidak dibayar akhirnya kemudahan air terpaksa dipotong.

“Pada 2011 saya terpaksa merayu kepada Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan (Sains) untuk menyambung kembali bekalan air kerana saya dan anak saya mahu tinggal di situ,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Zaimingah berkata, sehingga kini, dia tetap dibelenggu perasaan resah kerana masalah bil air terbabit masih belum diselesaikan.

Selain itu, katanya, dia juga hairan kenapa rumah PPRT yang dibina tidak dilengkapi meter air baru tetapi perlu dikongsi dengan rumah lama.

“Mengenai meter air pun saya sudah beberapa kali panjangkan kepada pihak berkaitan tapi jawapan yang saya terima jika rumah lama tidak dirobohkan, rumah PPRT yang dibina perlu menggunakan meter lama.

“Masalahnya rumah lama ini rumah adik saya. Tapi saya mohon bina rumah PPRT di tanah sama. Saya tidak mahu berkongsi meter kerana akan menimbulkan masalah pada jangka masa panjang,” katanya.

Kata Zaimingah, dia amat berharap masalah itu dapat diselesaikan kerana mahu tinggal di situ dalam keadaan selesa tanpa dibelenggu perasaan resah.

“Sekarang ini saya tinggal di rumah emak kerana dia tidak sihat. Tapi saya harap masalah bil air dan isu meter baru ini dapat diselesaikan,” katanya.

sinar/-

Balik mengundi, gagalkan pengundi hantu BN

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

IPOH: PAS Perak merayu pengundi di perantauan balik mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) ini bagi merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kembali kerajaan di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pelbagai taktik kotor dan penipuan sedang dilakukan pihak-pihak tertentu bagi mengekalkan kuasa parti politik BN lebih-lebih lagi melihat mood rakyat yang tidak sabar menolak mereka.

Menurutnya, beberapa penipuan dan ketidaktelusan di kesan sepanjang proses pilihanraya termasuklah undi pos serta undi awal yang sangat meragukan.

Katanya, ditambah lagi pendedahan PAS Perak berhubung ramai individu yang mempunyai kad pengenalan Sabah yang akan mengundi di Perak dalam pilihanraya ini dan ianya kemungkinan kesan daripada projek IC Sabah.

Jelasnya lagi, isu terbaru berkaitan dakwat kekal yang diragui ketahanannya dan kemungkinan akan berlaku kes mengundi dua kali sudah pasti mempunyai agenda tersendiri.

Pengerusi Pakatan Rakyat Perak itu berkata, paling membimbangkan PAS ialah wujudnya sejumlah 35,425 pengundi yang gagal dikesan indentitinya di negeri Perak yang disahkan oleh jentera Pakatan Rakyat.

“Semua ini telah menimbulkan keraguan terhadap proses pengundian pada pilihanraya kali ini dan dengan agenda-agenda tersebut boleh menggagalkan hasrat rakyat dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kembali negeri Perak serta menawan Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, Mantan Menteri Besar Perak itu berkata, pengundi di perantauan perlu pulang untuk menyelamatkan negeri daripada segala perancangan jahat yang sedang dilakukan.

“Saya dengan serendah-rendah hati dan penuh rayu agar pengundi yang berada di luar Perak yang dalam rekod kami sejumlah 10, 000 sebagai pengundi kami (PAS) pulang mengundi.

“Gunakan kesempatan ini untuk memberikan keadilan dan harapan baru kepada warga Perak, kami pohon kepada seluruh pengundi di luar Perak agar berusahalah untuk pulang ke negeri tercinta ini pada 5 Mei nanti dan zahirkan harapan anda dengan memangkah PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya kali ini,” rayu beliau kepada pengundi Perak di perantauan.

Tegasnya, PAS beranggapan pengundi perak di perantauan ini khususnya di Lembah Klang sebagai aset penting dalam usaha melakukan perubahan dan mengambil alih kembali kerajaan Pakatan Rakyat yang dirampas.

“Kami sangat memerlukan undi anda agar kerajaan baru dapat direalisasikan dan dengan undi anda dapat membantu kami kerana kita lihat BN menggunakan pelbagai cara untuk menggagalkannya.

“Maka pulanglah wahai perantau, realisasikan perubahan ini demi masa depan anak cucu kita. Ini kalilah!,” jelas beliau.

harakahdaily/-

Jadikan 5 Mei hari tutup fitnah 13 Mei – Kit Siang

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Semua pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan mengundi calon-calon Pakatan Rakyat di seluruh negara pada hari mengundi 5 Mei ini.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, hanya dengan memilih Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, rakyat Malaysia dapat membuka lembaran baru untuk mendedahkan apa yang benar dan apa yang fitnah.

Katanya, golongan yang memfitnah beliau dengan tuduhan menjadi dalang peristiwa 13 Mei 1969 masih terus berbuat demikian tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak yang berkuasa, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan calon saingan beliau bagi Parlimen Gelang Patah, Datuk Abdul Ghani Othman.

“Golongan yang memfitnah saya telah memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan pengundi, terutamanya orang Melayu, dengan mengapi-apikan sentimen perkauman,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka menyangka rakyat Malaysia masih hidup dalam tahun-tahun 1960-an yang mudah terpengaruh dengan emosi kaum.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri, memohon agar semua pengundi Malaysia menjatuhkan hukuman berat kepada golongan penyebar fitnah ini bersama dengan para pemimpin yang merestui perbuatan keji mereka dalam PRU ini,” katanya lagi.

Tambahnya, seperti yang dijelaskan semalam, dengan mandat baru oleh pengundi Malaysia, beliau akan mencadangkan kepada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Parlimen untuk menyiasat apa, mengapa dan siapa punca sebenar berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Ini, ujarnya adalah penting kerana sampai sekarang tiada siapa yang tahu mengapa, apa dan siapa yang menjadi punca peristiwa 13 Mei itu.

Lagi pun, kata beliau kerajaan Umno BN selama ini tidak mempedulikan cadangan itu.

Malah, tambahnya pimpinan Umno BN terus membenarkan penyokong mereka menabur fitnah menuduh beliau menjadi dalang peristiwa itu.

Baginya, PRU13 ini bukan lagi sekadar persaingan di antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional tetapi perjuangan di antara seluruh rakyat Malaysia menentang BN yang semakin teruk korupsi mereka dan tidak boleh lagi dipulihkan keangkuhan kuasa mereka.

“Dengan itu, saya menyeru supaya semua pengundi membuat pilihan yang bijak, terbaik dan amat penting untuk diri, keluarga dan masyarakat serta masa depan anak-anak kita pada hari Ahad 5 Mei ini untuk membuka satu lembaran baru untuk Malaysia.

“Ubah! Ini kali lah!” tegasnya.

harakahdaily/-

Husam yakin Pas boleh menang 54 kerusi

 Datuk Husam Musa21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Datuk Husam Musa
PETALING JAYA - Pas, komponen Pakatan Rakyat (PR) yakin boleh menguasai 54 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan pusat, kata Naib Presidennya, Datuk Husam Musa, hari ini.

Menurut beliau, ia tambahan kepada 23 kerusi Parlimen yang disandang sekarang.

Kata Husam, pihaknya juga yakin akan memperoleh kemenangan tujuh kerusi tambahan, diyakini dimilik Pas ekoran sokongan ditunjukkan oleh pengundi Cina kepada calon parti berteraskan Islam itu.

"Kita ada lima kerusi panas yang akan dimiliki Pas termasuk Kuala Kangsar, Tasek Gelugor, Sepang, dan Dungun.

"... saya tak boleh sebut semua kerusi takut Barisan Nasional (BN) pergi buat kajian pula.

"...pengundi Cina bertambah di tahap maksimum di Sungai Besar, Selangor," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Husam yang juga calon kerusi Parlimen Putrajaya berkata, kerajaan PR boleh memerintah negara sama seperti kerajaan BN yang berteraskan Islam dan Melayu.

Namun beliau juga berkata, apa yang membezakannya kerajaan korup atau kerajaan yang bertakwa.

"Kita akan pimpin negara berteraskan Melayu-Islam apa yang beza PR dan BN, takwa atau korup, adil atau rasis?" katanya.
Pengundian PRU13 berlangsung Ahad ini.

sinar/-

Beri RM200 juta: Tun khianat Umno K'tan dalam senyap?

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jika benar dakwaan bahawa Tun Dr. Mahathir memberikan RM200 juta hingga RM300 juta kepada kerajaan PAS Kelantan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, bermakna Mahathir sebenarnya sudah lama mengkhianati Umno Kelantan secara senyap-senyap.

"Rupa-rupanya sudah lama Mahathir khianat kepada UMNO Kelantan, dalam pada UMNO Kelantan berikhtiar merebut Kelantan sekian lama, Mahathir telah khianat dengan diam-diam hulur bantuan kepada PAS Kelantan," kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sinis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan hari ini yang memetik kenyataan seorang aktivis Umno yang mendakwa PAS Kelantan menerima sebanyak RM200 juta hingga RM300 juta setahun daripada Mahathir ketika menjadi perdana menteri.

Beliau juga mendakwa wang itu diserahkan sendiri oleh Mahathir kepada Tuan Guru Datuk Nik Aziz, dan dialah yang menjadi pemandu membawa Tok Guru untuk mengambil wang tersebut setiap enam bulan sekali.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata jika benar perkara itu berlaku, ianya sesuatu yang agak pelik kerana ianya tidak direkodkan.

"Rupa-rupanya sebanyak RM200 - RM300 juta boleh hilang begitu sahaja tanpa direkodkan di dalam pentadbiran kewangan kerajaan Umno.Jika mahu membeli sebentuk cincin dengan jumlah itu pun tidak menjadi masalah, apatah lagi jika mahu membeli seekor lembu berharga RM250 juta.

"Akhir sekali, cerita itu hanyalah lawak jenaka semata-mata. Ia bertujuan segar angin sebelum PRU13," katanya.

harakahdaily/-

Kota legenda purba ditemui

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KAHERAH – Sebuah patung gergasi purba telah ditemui di laut Mediterranean yang membawa kepada penemuan kota legenda purba, Heraklion.

Pada sedekad lalu, tiada siapa mengenali Heraklion yang dipercayai sebuah kota pelabuhan purba dengan kesahihan kewujudan kota tersebut dipertikai.

Namun, akhbar Telegraph melaporkan, sekumpulan penyelidik menemui kota itu di dalam laut pada kedalaman 45.72 meter di Teluk Aboukir, Mesir.

Antara artifak yang ditemui termasuk 64 buah kapal, patung batu setinggi 4.87 meter, 700 buah sauh dan sejumlah duit syiling emas.

Pakar arkeologi laut dalam yang menemui kota purba berkenaan, Franck Goddio mendakwa, kota itu dipercayai wujud sekitar kurun kelapan sebelum masihi (SM).

Menurutnya, usia Heraklion adalah lebih tua daripada kota purba terkenal, Iskandariah.
“Kami mungkin perlu meneruskan kerja-kerja penyelidikan kajian untuk 200 tahun lagi sebelum rahsia kota ini dapat dibongkar sepenuhnya kata Goddio. – Reuters


PAS mampu tawan semula Parlimen Parit

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PARIT: Parlimen Parit bakal dimenangi oleh PAS buat kali ketiga berpandukan sokongan terhadap Pakatan Rakyat naik mendadak sejak seminggu selepas penamaan calon yang lalu.
"Paling ketara genarasi muda menunjukkan sokongan yang luar biasa, mereka sanggup bekerja untuk menjamin kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di kawasan ini," kata calon PAS bagi Parlimen Parit, Ustaz Mohammad Ismi Mat Taib sewaktu ditemui di sini semalam.

Parlimen Parit dimenangi oleh PAS kali pertama pada pilihanraya umum 1969 apabila Hashim Gera menewaskan calon Perikatan, Datuk Hussein Nordin.

Kali kedua PAS berjaya menawan Parlimen Parit pada pilihanraya umum ke-10 apabila calon PAS, Ustaz  Basir Rahmat menewaskan timbalan menteri ketika itu, Datuk Megat Junid Megat Ayub.

Pada pilihanraya umum ke-10 itu, BN turut di dua Dun dalam parlimen itu iaitu Dun Belanja dan Dun Bota.

Menurut Ustaz Mohammad Ismi, terdapat juga bekas-bekas ketua kampung dan bekas ketua Umno cawangan di bahagian telah mula beralih kepada PAS.

Pengundi-pengundi di sini rata-rata sudah tidak mahu lagi memberikan sokongan kepada calon BN kerana sudah begitu lama menerajui Umno bahagian itu yang dilihat hanya menabur janji sahaja.

“Tanah hutan simpan kekal yang telah yang dahulunya ditebang untuk projek kambing, tetapi kini tanah tersebut telah dijual kepada bangsa asing, BN sewajar dipersalahkan dalam hal ini,” katanya.

(Gambar: Ustaz Ismi bersama penyokong dari kalangan kaum India.)

Dalam masa yang sama juga, manifesto Pakatan Rakyat cukup berkesan di hati pengundi seperti menurunkan harga minyak dan kereta, menghapuskan PTPTN dan menghapuskan tol.

“Wanita di sini juga cukup teruja dengan manifesto Pakatan Rakyat yang meletakkan caruman untuk suri rumah dan telah membuka mata pengundi wanita di sini yang melihat Pakatan Rakyat lebih menghargai wanita berbanding BN,” ujarnya.

Pada PRU13 kali ini, beliau berdepan calon BN, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan di kawasan yang mempunyai 33,600 pengundi dengan pecahan Melayu 92.95 peratus, Cina (3.22%), India (3.79%) dan lain-lain (0.04%).

harakahdaily/-

JPM bawa ribuan warga asing masuk untuk mengundi

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Anwar bersama Datuk Husam, Teng Chan Khim dan Dr Rani dalam sidang media hari ini)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri dan beberapa agensi kerajaan terlibat dalam operasi membawa masuk ribuan penduduk dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia untuk mengundi.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya  mempunyai bukti berhubung kemasukan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan sewa khas.

Pihaknya juga mendapat maklumat mengenai kenaikan mendadak kemasukan
warga asing dari Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar melalui Bukit Kayu Hitam dan juga dari Indonesia melalui Pelabuhan Klang.

Mengikut pengiraan pihaknya, sebanyak 16 penerbangan dibuat dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia menggunakan jumbo jet iaitu sebanyak 4,500 penumpang tiba di KLIA setiap hari bermula 25 April hingga 1 Mei.

Ini bermakna sebanyak 40,500 orang tiba di KLIA dalam tempoh ini.

"Dokumen dari MAS ada penerbangan banyak sekali yang dimport khas termasuk jumbo jet 747 dari Kuching dan Kota Kinabalu ke KLIA.

"Kita dapat maklumat penerbangan ini diuruskan oleh JPM dan ada tandatangan menteri.

"Ini dibimbangi dilakukan untuk pilihan raya pada 5 Mei ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR bersama pemimpin PAS dan DAP, dekat sini hari ini.

HARAKAHDAILY/-

Kempen BN jejas perniagaan di Pasar Jerai?

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kehadiran jentera BN berkempen di Pasar Awam Jerai baru-baru ini didakwa telah menyebabkan golongan peniaga merasa tidak selesa, seterusnya mengakibatkan perniagaan mereka terjejas.
Calon PAS di Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sebilangan besar peniaga merungut kehadiran bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad, Calon BN, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan jenteranya menyebabkan perniagaan mereka terjejas.

"Ramai peniaga merungut kepada saya kedatangan jentera BN berkempen menjejaskan perniagaan mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau melahirkan kebimbangan golongan peniaga yang rata-ratanya merasakan kempen BN kali ini banyak memberi masalah kepada rakyat khasnya dalam penggunaan jentera kerajaan.

Selain itu, BN juga dikatakan telah menggunakan premis kerajaan khasnya sekolah, jabatan kerajaan untuk berkempen, sedangkan dalam peraturan ianya suatu yang dilarang.

"Sekiranya kami menerajui Putrajaya sekalipun nanti, kami tidak akan menggunakan kuasa kami seperti mana yang BN buat masuk berkempen ke sekolah, jabatan kerajaan dan agensi tertentu untuk meraik sokongan," katanya lagi.

Sementara itu, Firdaus juga memaklumkan terdapatnya usaha Umno BN menghasut pengundi di sebahagian kawasan kampung di Jerai untuk tidak terpengaruh dengan perkembangan politik semasa.

"Mereka kata kepada pengundi di kampung, jangan peduli hal politik kerana itu urusan pemimpin, hingga ada penduduk yang percaya dan mula merasakan berpolitik itu hak mereka.

"Mereka juga menghasut agar pengundi hanya mendengar saluran maklumat Kerajaan Pusat sahaja. Mereka sekat penyebaran maklumat alternatif yang lebih sahih," katanya lagi.

Beliau yang mendapat 26,510 undi menewaskan calon BN, Datuk Badruddin Amiruldin dengan majoriti 2,299 undi pada PRU12 lalu. Pada PRU13 ini, beliau ditentang oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengundi di Parlimen Jerai pada PRU13 ini seramai 74,583 orang dengan pecahan Melayu sebanyak 79.11 peratus, Cina (13.99%), India (6.31%) dan lain-lain (0.59%).

HARAKAHDAILY/-

Sokong PAS: Ini bukan ilusi tetapi realiti

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -





Penerimaan PAS dari kalangan warga kita yang berada diluar negara terutamanya anak-anak muda dan pelajar cukup hebat dan memberangsangkan sekali... KENYATAAN BUKAN REKAAN.

Bukan saja warga Melayu/Islam menerima perjuangan PAS malahan disokong padu oleh yang bukan beragama Islam.

Rakyat Gua Musang diminta tolak penderhaka

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Tengku Ibrahim berucap di depan Tuanku Sultan dan rakyat Kelantan yang memenuhi Dewan Sivik Gua Musang)

GUA MUSANG: Kerabat DiRaja Kelantan, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal atau lebih dikenali sebagai Ku Yeem meminta agar rakyat khususnya di Gua Musang menunjukkan taat setia mereka kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), Tuanku Sultan Muhammad V dan tidak menerima seorang penderhaka.

Ucapan tersebut dibuat oleh Tengku Ibrahim di hadapan baginda Sultan Muhammad V pada Program Majlis Mesra Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke-V bersama rakyat di Dewan Sivik Gua Musang pagi ini.

Dalam ucapan tersebut beliau turut memberitahu seorang calon BN merupakan perancang utama kepada kemuncak penderhakaan kepada Tuanku Sultan apabila mempertikaikan dan cuba mencabar kedudukan KDYMM Tuanku Sultan Muhammad V.

Jelasnya, komplot penderhakaan ini bermula sejak 24 Mei 2009 apabila KDYMM Tuanku Sultan Muhammad V yang ketika itu dilantik menjadi Pemangku Raja, mereka cuba untuk memecat Tuanku Sultan dari menjadi Pemangku Raja dan melantik orang lain sebagai pemangku pada 25 Mac 2010.

"Allah Maha mengetahui dan Maha menentukan, usaha mereka tidak berjaya, tapi ia tidak tamat di situ sahaja apabila KDYMM Sultan Muhammad V mahu diputuskan untuk dimasyhurkan sebagai Sultan pada 13 September 2010," katanya.

(Dewan Sivik Gua Musang penuh sesak ketika ucapan dibuat oleh Tengku Ibrahim di depan Tuanku Sultan Kelantan)

Orang berkenaan gagal hadir di dalam mesyuarat Majlis Perajaan tanpa memberi apa-apa sebab kepada YBM Yang Di Pertua Majlis Perajaan Negeri, ucap beliau.

Ucap Tengku Ibrahim lagi, kemuncak kepada penderhakaan ini berlaku setelah KDYMM Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010, di mana pihak tidak bertanggungjawab telah membuat pelbagai kenyataan media yang bersifat biadap.

Mereka dengan lantang mengisytiharkan kemasyhuran Tuanku Sultan Muhammad V tidak sah, malah turut meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan campur tangan dalam hal ini.

Namun, Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan tidak menghiraukan permintaan pihak tersebut.

"Tidak tamat di situ sahaja, mereka berani mencabar kesahihan pemasyhuran KDYMM Sultan Muhammad V sebagai sultan di mahkamah, tapi usaha mereka itu sia-sia sahaja.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam penghakimannya pada 26 November 2010 dan pada 10 Februari 2011 telah menjadi bukti yang jelas dan muktamad bahawa segala titah dan tindakan Baginda Sultan adalah mengikut kehendak undang-undang dan Perlembagaan Negara serta Negara," jelasnya di hadapan ribuan yang hadir di luar dan di dalam dewan.

Katanya lagi, sudah terlalu lama rakyat Gua Musang dipermainkan. Jadi sebagai tanda kasih sayang kepada Tuanku Sultan Muhammad V serta keperihatinan Tuanku kepada rakyat, beliau berharap agar rakyat menolak penderhaka.

Bukan setakat percakapan sahaja tetapi seluruh jiwa raga dan juga perbuatan serta tidak bersengkokol dengan penderhaka.

Beliau berharap dengan penjelasan ini dapat memberi pemahaman sebenar serta jelas kepada semua rakyat berkenaan dengan kesultanan Kelantan yang berdaulat.

Pendedahan tersebut disambut dengan laungan takbir dan daulat tuanku. Pada majlis tersebut, Tuanku Sultan Kelantan juga turut menyerahkan geran tanah kepada 101 pemilik yang layak.

harakahdaily/-

Kampung, masjid dibakar

Kampung, masjid dibakar21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Keadaan dalam masjid menjadi sasaran serangan penyerang anti-Islam di Okkan, semalam.
YANGON - Seorang terkorban dan sembilan cedera dalam insiden terbaru keganasan etnik di tengah Myanmar, semalam.

Kelmarin, bandar Oakkan di utara Ranggon dicemari rusuhan selepas insiden kemalangan seorang sami.

Susulan kejadian itu, kira-kira 200 hingga 300 penyerang bertindak menyerbu empat kampung di bandar itu  dan membakar 77 rumah termasuk tiga masjid.

Seorang penduduk Soe Myint, 48, berkata, semua penduduk terpaksa melarikan diri berikutan  ratusan penyerang bertindak memusnahkan harta benda milik mereka di kampung Mie Laung Sakhan.

"Masjid musnah teruk. Kami kesal kerana pihak berkuasa lambat menghantar bantuan dan hanya tiba selepas keganasan itu berakhir," jelasnya dipetik dalam laporan AP.

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia turut mengutuk tindakan sambil lewa pihak berkuasa dalam menangani insiden keganasan tersebut.

Mac lalu, sekurang-kurangnya 43 terbunuh manakala ribuan lagi hilang tempat tinggal selepas keganasan etnik tercetus di beberapa bandar di tengah negara tersebut.

sinar/-

Balik mengundi, jangan biar warga asing tentukan kerajaan

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



(Siapakah mereka...datang melancong ramai-ramai dekat dengan musim pilihan raya)

TEMERLOH: “Jangan biarkan keputusan pilihanraya umum ke 13 dicuri. Tiada cara lain. Anda mesti balik mengundi!” – Begitulah kata-kata Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebooknya hari ini.

Harakahdaily hari menerima menerima dua keping gambar menunjukkan kebanjiran warga Bangladesh dan Myanmar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam dan pagi ini.

Apakah kebanjiran pelancong dari Bangladesh dan Myanmar ini pada masa getir tiga hari sebelum pilihanraya umum ke 13 ada muslihat lain?

Di Johor, kubu kuat Umno, Pakatan Rakyat semakin mendapat sambutan luar biasa – dengan anggaran 60,000 ke 100,000 setiap ceramah perdananya.

Semalam di Sutera Mall, lebih 80,000 rakyat Johor datang mendengar ceramah Pakatan Rakyat.

“Tiba-tiba masa ini kita mendapati banyak pula pelancong dari Bangladesh dan Myanmar yang masuk ke negara secara luar biasa ramainya.

"Rakyat kena balik mengundi. Elakkan pihak yang tidak sepatutnya menentukan masa depan negara, mencuri keputusan PRU13 milik rakyat Malaysia. Hanya rakyat Malaysia yang berhak tentukan keputusan PRU13!” kata Tuan Ibrahim yang dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.



(Siapakah mereka ini yang datang dengan topi BN, kawalan penuh polis di lapangan terbang kita)

harakahdaily/-

Tujuh sebab mesti undi PR

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Tujuh sebab mengapa rakyat perlu mengundi Pakatan Parti Rakyat, PAS, PKR dan DAP demi untuk pastikan seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, agama, adat resam dan keturunan mendapat hak mereka sebagai warga negara Malaysia yang selama ini kurang diberikan perhatian atau hampir dipinggirkan.

Pertama, kerana sumber pendapatan kebanyakan rakyat di negara ini tidak seimbang dengan harga barangan yang naik mendadak yang sudah tentu boleh membebankan dan terpaksa mengikat perut untuk teruskan hidup. Sebahagian besar rakyat pula hidup dengan berhutang yang kadangkala hutang tidak dapat dilangsaikan hingga keakhir hayat.

Sebab kedua, kekayaan negara tidak diagihkan dengan betul. Ramai yang masih di dalam kategori miskin sedangkan orang yang sudah kaya bertambah lagi kaya dengan sumber cara yang tidak betul untuk mendapatkan hasil dan boleh dipertikaikan tetapi disebabkan 'kekebalan' dan keistimewaan' saperti ada yang melindunginya maka mereka ini terselamat daripada apa juga tindakan.

Ketiganya ialah pembersihan perasuah dan mereka yang melakukan penyelewengan masih lagi kekal malah mendapat tempat pula dalam pentadbiran. Sedangkan rekod mereka ini boleh dipertikaikan dan ini termasuklah mereka diberikan peluang untuk menjadi calon semula. Iklan basmikan rasuah melalui media massa hanya retorik sahaja yang mana hanya ikan bilis dan anak ikan yang diberkaskan tetapi bapa ikan dan ikan jerung yang besar-besar terlepas begitu sahaja sedangkan bukti yang nyata dan kita nampak kehidupan kemewahannya yang terlampau tidak dapat disorokkan lagi itu terserlah dihadapan mata kita.

Sebab keempat - bebanan yang terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat adalah apabila keluar sahaja daripada halaman rumah masing-masing iaitu pondok tol sedang menunggu melambai-lambai menanti anda apabila masuk sahaja kelebuhraya. Kalau hendak dikirakan harga perbelanjaan untuk mengisi minyak dengan harga tol yang dikenakan adalah lebih kurang sama banyaknya.

Kelima, mengapa dan kenapa rakyat mesti membeli minyak dengan harga yang mahal sedangkan negara kita adalah pengeluar minyak yang bukan sahaja mampu menampung untuk keperluan rakyat tetapi juga dapat menjanakan ekonomi negara. Mengapa harus diberikan alasan yang kurang bijak  bahawa harga minyak dinegara jiran berlipat kali ganda apabila dibandingkan harganya dinegara kita sedangkan negara mereka tidak setitik pun hasil buminya adalah minyak dan kita melimpah-limpah minyak dianugerahkan itu.

Keenamnya -  rakyat tidak berpuas hati dengan terlalu ramainya pendatang asing terutama sekali pendatang haram seolah-olah negara ini saperti negara mereka – ekoran itu berlaku berbagai-bagai masalah sosial serta jenayah yakni di negara mereka sendiri pun mereka tidak berani melakukannya.

Sebab ketujuh adalah untuk mencuba yang baru kerana mungkin yang baru boleh menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih baik lagi. Hal ini tidak dinafikan apabila melihatkan perkembangan semasa iaitu sambutan rakyat tidak kira yang tua atau pun muda dan apa juga bangsa, miskin atau pun kaya -  mereka inginkan perubahan drastik itu telah meluahkan perasaan tidak puas hati mereka dengan berduyun-duyun mendengarkan ceramah pemimpin parti PR yang kini mereka anggapkan sebagai alternatif untuk berubah dan diubah.Terimalah hakikat dan kenalah akur bahawa kita hanya mampu berusaha dan merancang apa juga yang kadangkala tidak mengikut sunnah saperti yang dituntut oleh Islam itu tetapi apa pun jawapannya adalah Allah jugalah akan menentukan segala-galanya.

harakah/-