02 Mei 2013

Balik mengundi, gagalkan pengundi hantu BN

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

IPOH: PAS Perak merayu pengundi di perantauan balik mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) ini bagi merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kembali kerajaan di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pelbagai taktik kotor dan penipuan sedang dilakukan pihak-pihak tertentu bagi mengekalkan kuasa parti politik BN lebih-lebih lagi melihat mood rakyat yang tidak sabar menolak mereka.

Menurutnya, beberapa penipuan dan ketidaktelusan di kesan sepanjang proses pilihanraya termasuklah undi pos serta undi awal yang sangat meragukan.

Katanya, ditambah lagi pendedahan PAS Perak berhubung ramai individu yang mempunyai kad pengenalan Sabah yang akan mengundi di Perak dalam pilihanraya ini dan ianya kemungkinan kesan daripada projek IC Sabah.

Jelasnya lagi, isu terbaru berkaitan dakwat kekal yang diragui ketahanannya dan kemungkinan akan berlaku kes mengundi dua kali sudah pasti mempunyai agenda tersendiri.

Pengerusi Pakatan Rakyat Perak itu berkata, paling membimbangkan PAS ialah wujudnya sejumlah 35,425 pengundi yang gagal dikesan indentitinya di negeri Perak yang disahkan oleh jentera Pakatan Rakyat.

“Semua ini telah menimbulkan keraguan terhadap proses pengundian pada pilihanraya kali ini dan dengan agenda-agenda tersebut boleh menggagalkan hasrat rakyat dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kembali negeri Perak serta menawan Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, Mantan Menteri Besar Perak itu berkata, pengundi di perantauan perlu pulang untuk menyelamatkan negeri daripada segala perancangan jahat yang sedang dilakukan.

“Saya dengan serendah-rendah hati dan penuh rayu agar pengundi yang berada di luar Perak yang dalam rekod kami sejumlah 10, 000 sebagai pengundi kami (PAS) pulang mengundi.

“Gunakan kesempatan ini untuk memberikan keadilan dan harapan baru kepada warga Perak, kami pohon kepada seluruh pengundi di luar Perak agar berusahalah untuk pulang ke negeri tercinta ini pada 5 Mei nanti dan zahirkan harapan anda dengan memangkah PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya kali ini,” rayu beliau kepada pengundi Perak di perantauan.

Tegasnya, PAS beranggapan pengundi perak di perantauan ini khususnya di Lembah Klang sebagai aset penting dalam usaha melakukan perubahan dan mengambil alih kembali kerajaan Pakatan Rakyat yang dirampas.

“Kami sangat memerlukan undi anda agar kerajaan baru dapat direalisasikan dan dengan undi anda dapat membantu kami kerana kita lihat BN menggunakan pelbagai cara untuk menggagalkannya.

“Maka pulanglah wahai perantau, realisasikan perubahan ini demi masa depan anak cucu kita. Ini kalilah!,” jelas beliau.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: