21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU – Calon Pas di Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sebagai ‘berpenyakit’.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata BN membawa penyakit aqidah, ekonomi dan masyarakat yang perlu diubati.
Sehubungan itu beliau berkata, perkara itu menjadi alasan yang perlu dipertimbangkan rakyat supaya penyakit tersebut dapat diubati melalui peralihan kuasa politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.
“Kerajaan Umno dan BN ini sebenarnya banyak penyakit dan perlu diubati. Jika sukar untuk berubat kita kena ‘buang’ dia pada pilihan raya kali ini,” katanya selepas mengadakan kempen di Pasar Besar Kedai Payang, di sini.
Turut hadir beberapa calon dari Pakatan Rakyat (PR) iaitu calon Dun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, calon Dun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan calon PKR Dun Bandar, Azan Ismail.
Dalam masa sama, calon di kerusi P36 itu juga turut memberi jaminan untuk terus memelihara Pasar Besar Kedai Payang yang merupakan ikon Terengganu sekiranya menang pada pilihan raya umum nanti.
Arkitek terkenal itu yang bakal bersaing dengan calon BN, Mohd Zuber Embong menafikan pihaknya menentang pembangunan, sebaliknya mahu menyelamatkan seni dan warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah tersendiri di negeri ini.
Pasar Payang bakal dirobohkan apabila kerajaan negeri bakal membangunkan projek bernilai RM400 juta di tapak pasar tersebut yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
Raja Bahrin juga turut memberitahu usaha membaik pulih bangunan tersebut akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan di negeri ini.
“Jika kita memerintah, kita tidak akan buang pasar ini dan akan dibaik pulih dengan lebih baik dan cantik, insya ALLAH,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan