02 Mei 2013

Ayam gulai masakan terakhir isteri

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Ayam gulai masakan terakhir isteri

Najib meluangkan masa melawat Ghazali di HSNZ semalam. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (dua, kiri) dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa (kiri).
KUALA TERENGGANU – Superintendan Ghazali Daud, 49, memberitahu sempat menjamah nasi dan ayam gulai yang merupakan masakan terakhir isterinya sebelum kejadian kemalangan maut yang mengorbankan isteri dan dua anaknya, di Marang, kelmarin.

Mengakui tidak melihat sebarang ‘petanda ajal’ daripada ketiga-tiga mangsa, beliau memberitahu, berdasarkan perancangan asal beliau akan pulang seorang diri ke Terengganu, namun isterinya, akur untuk mengikutnya bersama tujuh orang anak selepas diminta berbuat demikian.

Dalam kejadian malang itu, Ghazali yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman memberitahu berhenti tidur di persimpangan jalan beberapa kali sebelum terlelap beberapa saat ketika memandu sehingga mengorbankan tiga ahli keluarganya.

“Saya terlelap kira-kira dua saat dan apabila sedar sudah terbabas sebelum orang ramai datang menolong. Saya juga sempat mendengar isteri memanggil ‘abang’. Isteri berada di sebelah kiri dan dua anak yang meninggal juga berada di sisi yang sama,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi kelmarin, tiga terbunuh iaitu isteri Ghazali, Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya, Ahmad Firdaus Izzudin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10, di Kilometer 27 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Tapai, Marang.

Lima anak Ghazali yang lain turut cedera dan beliau sendiri cedera di paha kanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam lawatan sehari ke Terengganu, semalam, sempat menziarahi dan bertanya khabar keadaan pegawai polis tersebut, selain menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, Ghazali yang juga adik kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Othman Daud berkata, beliau redha dengan takdir yang telah ditentukan ke atasnya sekeluarga dan belum memikirkan sebarang perancangan terhadap keluarganya.

“Saya mahu sembuh dahulu dan saya akan bincang dengan keluarga macam mana, untuk jaga anak dan sebagainya memandangkan anak-anak ada yang akan ambil periksa tahun ini,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: